NuffNang

Nuffnang

Translate


Monday, November 15, 2010

Merapatkan atau memusnahkan ukhwah?

Ada orang yang mudah untuk memberikan maaf dan susah menerima maaf dan begitu juga sebaliknya. Tetapi kata orang, itu semua bergantung kepada jenis kesalahan yang terlah dilakukan. Ada orang begitu lembut hatinya sehingga mudah menerima maaf. Tetapi apa-apa pun kita sebagai manusia biasa yang berugama Islam, perkara memberi maaf dan menerima maaf ini adalah perkara biasa. Ada yang sering memberi dan menerima maaf dan ada juga yang hanya memberi dan menerima maaf hanya setahun sekali sahaja.

Pemberian dan penerimaan permohonan maaf ini dapat merapatkan ukhwah sesama manusia tanpa mengira kedudukan. Ia memainkan peranan secara langsung dan juga secara tidak langsung. Tetapi ini dapat dilakukan apabila perbalahan itu terjadi antara dua individu sahaja. Jarang perbalahan ini dapat menjadi damai apabila ianya melibatkan lebih dari 2 orang. Ada juga perbalahan yang tidak dapat di damaikan langsung. Sebab itulah sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud :

'Tiada bersunyi2an antara seorang lelaki & wanita , melainkan wujudnya syaitan sebagai orang ketiga antara mereka'

Apabila dua orang ingin berdamai dan ingin mengukuhkan ukhwah, akan ada orang yang menghasut di antara mereka. Orang ketiga itulah umpama syaitan sama seperti yang dimaksudkan dalam hadis tersebut. Orang seperti inilah yang sepatutnya kita jauhkan kerana orang seperti inilah yang akan menghancurkan Islam.

Sepatutnya apabila ada perbalahan berlaku dan melibatkan orang ketiga, hendaklah perkara ini dibawa berbincang secara tenang dan bijaksana. Ingatlah, kita ini adalah manusia bertamadun dan mempunyai peribadi yang terpuji. Kita ini bukanlah manusia yang tidak bertamadun yang sukakan keganasan. Kita ini bukanlah manusia yang terjadi dari evolusi beruk kepada manusia seperti dalam teori 'darwin'.

Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila manusia lebih suka menikam dari belakang atau memburukkan individu yang lain dari memilih untuk bersemuka secara baik. Mungkin disebabkan kerana ego yang melampau atau hati yang mudah terusik membuatkan penyelesaian yang baik tidak dapat dilakukan.

Punca kepada perpecahan ukhwah ini juga boleh berlaku jika salah seorang dari mereka mempunyai pengaruh yang kuat dan pengikut yang ramai. Ini kerana dia dapat mempengaruhi kawan-kawan yang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk sama-sama memusuhi orang tersebut. Niat untuk berbaik semula juga boleh terbantut kerana terdapat ramai 'syaitan' yang akan menghasut. Jika pengaruh yang ada itu dapat digunakan untuk membuat perkara yang baik, alangkah bagusnya. Dapat membawa kawan-kawannya yang lain untuk sama-sama berdamai adalah lebih baik dari menghasut atau tidak ambil peduli.

Kadang-kala punca terjadinya perpecahan ukhwah ini disebabkan kerana kata-kata kasar kita sendiri. Alasan seperti "aku kasar sejak azali" atau "dah jadi darah daging" dan sebagainya itu amatlah tidak boleh diterima. Ini kerana sifat kita ini bukanlah satu kejadian dari Allah dan ianya bukanlah satu cacat kekal yang membolehkan kita mendapat status OKU. Tetapi kita sendiri yang menanam sifat tersebut dan kita sendiri yang menjadi punya kepada keburukan yang ada dalam diri kita sendiri. Jadi kita sendirilah yang boleh mengubahnya. Jika kita menggunakan alasan seperti itu, maka penjenayah juga boleh menggunakan alasan sebegitu dengan mengatakan mereka mula membunuh sejak dari perut ibu lagi. Alangkah sedihnya rasa jika kita asyik membina alasan dari membina diri. Alasan ini hanyalah untuk mereka yang berhati busuk, degil, ego dan hanya hendak melepaskan diri sendiri sahaja.

Apa pun juga punca kepada perpecahan ukhwah ini, kita sebagai umat Islam harus sedar yang semakin kita berpecah-belah, semakin itulah kita akan lemah. Cukup-cukup la dengan perpecahan disebabkan fahaman politik yang berlainan. Janganlah kita menambah lagi kerosakkan terhadap agama kita sendiri. Kita mula berpecah dan Islam mula lemah sejak kewafatan baginda Nabi Muhammad saw dan semakin parah apabila terciptanya mahzab.

Jesteru, kita hendaklah mulakan dari sekarang untuk mengukuhkan ukhwah sesama kita. Janganlah disebabkan seseorang itu berlainan pendapat atau berlainan 'kepala', orang itu dipinggirkan atau di pulaukan. Siapa kita untuk membezakan dan meletakkan setiap orang itu di dalam kumpulan yang tertentu? Layakkah kita untuk menjalankan tugas Allah di bumi ini? Hanya orang yang Islam pada nama sahaja yang akan menidakkan hukum Allah ini dan membuat sesuka hati. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal adalah perkara biasa bagi orang jenis ini.

Kawan yang baik adalah kawan yang tidak takut untuk menegur dan menghalang kita dari melakukan perkara yang salah. Kawan yang baik adalah kawan yang sentiasa memberikan nasihat dan ilmu. Jadi tanyalah diri anda sendiri, adakah kawan anda sekarang ini kawan yang baik? Jika tidak, nasihatilah mereka dan bantulah mereka dengan bijaksana dan berhemah supaya mereka dapat berubah kepada kebaikkan. Adat manusia akan ada yang benci kepada manusia yang baik, jadi janganlah risau jika ada yang membenci anda kerana melakukan kebaikkan. Yang rugi adalah mereka, bukan anda.

Fikirkanlah....

Muhasabah diri.....