NuffNang

Nuffnang

Translate


Sunday, September 28, 2008

Pengertian Maaf.

Assalamualaikum Warahmatullah.

1 Syawal adalah hari yang paling ditunggu oleh semua manusia yang beragama Islam di dunia. Pada hari inilah semua umat Islam di dunia meraikan Aidilfitri yang mulia. Pada hari inilah semua umat Islam bermaaf-maafan sesama sendiri. Tetapi tahukah mereka apa itu pengertian 'MAAF' ?

Surah Al Imran, 134-136, yang bermaksud : “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang membuat perkara-perkara yang baik.”


Maaf tidak lain dan tidak bukan adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam. Dengan bermaafan, kita dapat menghindari segala sifat dendam di dalam hati. Tetapi tidak ramai orang yang bermaafan kemudian berbaik-baik seterusnya. Mereka hanya bermaafan, tetapi masih mempunyai sifat dendam dan benci didalam hati mereka.


Surah Al A’raaf, 199, yang bermaksud : “Jadilah engkau pema'af dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh. “


Jadi disini dapat disimpulkan, mereka yang tidak memaafkan sesama mereka seperti yang sepatutnya adalah orang yang rugi. Ini kerana mereka akan kekurangan kawan dan memutuskan rahmat dari Allah kerana mereka memutuskan silaturahim antara mereka. Jadi mereka yang bukan pemaaf hendaklah dijauhkan diri kerana mereka ini adalah orang-orang yang bodoh dan rugi.

Pengertian memaafkan :-

1)Anda melupakan hasrat membenci mereka.

2)Anda membatalkan hasrat untuk membalas dendam.

3)Anda membatalkan hasrat menghukum mereka.

4)Anda membatalkan untuk menyimpan dendam.


Inilah pengertian maaf yang sebenarnya. Jadi tanyalah diri sendiri, adalah kita ini seorang yang pemaaf? dan adakah maaf yang kita ucapkan itu adalah maaf yang dituntut? adakah ianya maaf yang sebenarnya? Jika tidak, perbaikilah diri kita sendiri dan muhasabahlah diri sendiri, adakah kita ini lebih baik dari orang lain sehinggakan kita ini tidak dapat memafkan orang lain? hebatkah kita? Sempurnakah kita? Tepuk dada, tanyalah iman.


Wassalam.

Hukum Minum Arak Dan Hal-Hal Yang Berkaitan Dengannya.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Allah S.W.T berfirman maksudnya :

"(Wahai orang-orang yang beriman), sesungguhnya (meminum khamar, berjudi, berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang, maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)." Surah Al-Maidah : 90-91.

Rasulullah S.A.W bersabda :

"Sesiapa minum arak, nescaya Allah akan memberi minum dari air panas neraka jahannam."
(Riwayat Bazzar)

Rasulullah S.A.W bersabda :
"Setiap minuman yang memabukkan itu haram, dan di sisi Allah ada suatu perjanjian dengan orang yang minum minuman yang memabukkan, yakni Allah akan memberinya minum dari "Tiinaful khabaal." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah "Tiinatul Khabaal" itu? Baginda bersabda: "Yakni keringat penghuni neraka atau bau badan mereka."
(Riwayat Muslim dan Nas'ai)

Rasulullah S.A.W bersabda :
"Jauhilah arak, sebab arak itu kunci segala kejahatan."
(Riwayat Hakim)

Penjelasan:

Memandangkan minum arak sangat besar keburukkannya, maka hendaklah dihindari. Sebab arak boleh membawa bermacam-macam jenis penyakit dalam tubuh dan yang paling utama ia boleh menjerumus kepada bermacam-macam perkara maksiat dan kejahatan. Semua ini telah terbukti dan jelas telah membawa bermacam-macam kerosakkan di muka bumi Allah ini. Tetapi mereka yang jahil ini tidak mempedulikan larangan ini. Cuba lihat disekeliling kita dan jawablah sendiri, siapa yang paling banyak meminum arak dan membawa kerosakkan di negara kita ini? Jawapannya sudah pastilah orang melayu yang beragama Islam itu sendiri. Semua kejahatan seperti rogol, buang anak, dan bunuh, semuanya terdiri dari rakyat Malaysia yang mempunyai 'bin', 'binti' di dalam kad pengenalan mereka. Kenapa semua ini masih lagi terjadi dan tiada kesudahan? Jawapannya ialah kerana kerajaan Malaysia tidak begitu serius dalam membenteras penjualan arak ini. Arak dijual secara terbuka dan tiada had dan halangan bagi yang menjualnya. Semuanya salah pemimpin yang kononnya ingin membenteras kejahatan ini dari akar umbi. Pada hal akar segala kejahatan ini adalah pada arak!! Saya mengambil risiko menulis tajuk blog kali ini kerana saya merasakan merekalah yang harus bertanggungjawab. Bukan niat untuk menimbulkan kekacauan atau hasutan, tetapi inilah hakikatnya sekarang. Jika mereka serius, mereka harus mengambil pendekatan 'mencegah lebih baik dari mengubati'. Marilah kita berfikir sejenak, jika penjualan arak ini dicegah di tempat yang terbuka, pasti sedikit sebanyak segala macam jenis jenayah pasti akan dapat dikurangkan. Jadi fikirkanlah tindakan yang sewajarnya wahai pembaca blog sekalian. Anda mempunyai akal dan hati, jadi bezakanlah mana yang betul dan mana yang tidak.

Wassalam.

Monday, September 22, 2008

Akibat orang yang maksiat.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Berikut adalah beberapa akibat atau kerugian bagi orang yang maksiat. Jika anda seorang yang maksiat, maka lihat dan fikirlah sama ada betul atau tidak apa yang telah dijanjikan oleh Allah kepada kamu. Diantara akibat itu adalah :

  1. Terhalang masuk Ilmu, kerana Ilmu adalah Nur (cahaya) yang diletakkan oleh Allah di dalam hati seseorang, sedangkan maksiat memadamkan Nur.
  2. Terhalang dari mendapat rezeki yang halal.
  3. Rasa duka dan takut di dalam hati orang yang berbuat maksiat.
  4. Jiwa yang kasar dan sikap yang bengis. Ini menyebabkan hubungan dengan manusia tidak berjalan dengan wajar dan normal, khususnya dengan orang yang baik-baik.
  5. Urusan menjadi sukar dan tidak dapat petunjuk ke jalan yang lurus.
  6. Gelap hati dan jiwa sebagaimana gelapnya malam.
  7. Lemah hati, jiwa dan tubuhnya dan terhalang daripada taat, pendek umur, terhapus keberkatan dan hilang seperti debu yang beterbangan.
  8. Orang yang maksiat menjangkiti orang yang disekelilingnya, hingga orang lain berusaha menjauh dan membencinya.
  9. Lemah jiwa dan hilang dorongan untuk kebaikan, sebaliknya kuat dorongan untuk melakukan keburukan dan lemah untuk melaksanakan hal-hal yang mendorongnya bertaubat sehingga orang itu tidak mempunyai kemahuan untuk bertaubat sama sekali.
  10. Hilang penghormatan diri sendiri sehingga ia tidak merasa apa-apa apabila orang lain memandang rendah atau tidak mahu bercakap dengannya.
  11. Maksiat menyebabkan hinanya seseorang itu disisi Allah.
  12. Seseorang yang terus menerus melakukan dosa, ini adalah petanda kebinasaan dan sesat.
  13. Maksiat merosakkan akal dan akan sesat dan lalailah akal.
  14. Terhalang doa Rasulullah s.a.w dan doa malaikat.
  15. Hilang perasaan malu dari hati.
  16. Lemah dan kurang hati untuk mengagungkan Allah.
  17. Menyebabkan orang yang yang berkenaan tidak memperdulikan Allah.
  18. Melenyapkan nikmat dan kurnia, sebagai gantinya ditimpakan seksa.
  19. Menyebabkan hati berpenyakit.
Saya yakin, semuanya ini ada dalam hati dan diri seorang pemaksiat. Buatlah check-list untuk tahu hal yang sebenar. Saya yakin semuanya ada dan semuanya benar. Jadi tepuklah dada dan tanyalah iman. Muhasabah diri anda sendiri.

Wassalam.

Saturday, September 13, 2008

Jangan Hampiri Zina!!

Assalamualaikum Warahmatullah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Dan mereka yang memelihara kehormatannya" (Surah Al-Mukminun : 5)

"Dan janganlah kamu hampiri perbuatan keji, baik yang lahir mahupun yang batin"
(Surah Al-An'nam : 151)

"Katakanlah kepada orang-orang mukmin lelaki supaya mereka merendahkan pandangan mereka (melihat yang terlarang) dan menjaga kehormatan (jangan berzina). Itu lebih suci bagi mereka."
(Surah An-Nur : 30)

"Barangsiapa yang berbuat demikian, nescaya akan menemui dosa (seksa)."
(Surah Al-Furqan:68)

Dari firman Allah s.w.t di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa zina itu adalah satu perkara yang amatlah besar dosanya. Tetapi sudah lumrah manusia, bila dikata JANGAN! maka perkara itulah yang paling akan mereka lakukan. Setiap malam minggu mereka bermaksiat dan berzina, berjoget bagaikan kera dan melakukan kerosakkan sesama sendiri di bumi Allah ini. Akibat dari berzina ini, terdapat 6 hal atau 6 hukuman dari Allah. Dirawikan dari seorang sahabat Rasulullah s.a.w. berkata, "Hindarkan akan zina. Di dalamnya ada enam hal. Tiga di dunia dan Tiga di Akhirat. Yang di dunia ialah berkurangnya rezeki, putus ajal dan bermuka durja. Ada pun yang di Akhirat, kemurkaan Allah, hisab yang berat dan masuk Neraka."

Dirawikan bahawa Nabi Musa a.s. berkata, "Ya Tuhan, apakah seksaan untuk orang yang berzina?"
Allah s.w.t menjawab, "Ku kenakan padanya baju besi dari Neraka. Kalau di letakkan di gunung, tentu hancur."

Dirawikan ini bermaksud "Diriwayatkan". Allah sudah menjawab pertanyaan Nabi Musa a.s. tentang hukuman bagi penzina semasa di Neraka itu nanti. Tidak cukupkah lagi dengan firman Allah s.w.t ini? Mengapa masih lagi berzina dan menjadi orang-orang yang lalai? Apakah yang mereka cari dengan berzina itu? Apa yang mereka dapat dengan berzina itu? melainkan dari dimurkai oleh Allah dan juga di benci oleh orang yang disekeliling kecuali dari orang-orang yang tidak beriman atau orang-orang yang fasiq iaitu orang yang sedosa dengan mereka sahaja. Dirawikan bahawa perempuan nakal lebih disukai Iblis daripada seribu lelaki jalang. Dalam kitab al Mashabih, Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Jika seseorang berzina, hilanglah Imannya dan di atas kepalanya akan ada semacam kegelapan. Jika dia bertaubat dari perbuatan itu, Iman akan kembali kepadanya."

Jadi, bertaubatlah segera selagi masih sempat dan masih mempunyai masa. Sesungguhnya taubat yang diterima Allah adalah taubat yang bersungguh-sungguh dan cukup syaratnya. Dari kata-kata yang saya petik dari buku Tuan guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertajuk 'Insan, Ingatlah!'. "Dianjurkan kepada orang yang bertaubat, setelah dia meninggalkan majlis maksiat, maka hendaklah dia mendekati para 'Fuqara' dan 'Solihin'. Golongan Fuqara ini adalah orang-orang yang faqir dan tidak memiliki harta. Mereka tidak mempunyai pergantungan selain dari Allah s.w.t, mereka tidak mempunyai apa-apa sandaran sama ada harta dan sebagainya, kecuali bersandar dan mengharap pertolongan dari Allah s.w.t."

Ini bagus kerana ia dapat memberi kesan yang baik kerana ia akan melenyapkan rasa bangga diri dan juga membesarkan diri. Ia akan menyebabkan mereka sentiasa merendahkan diri dan sudi semajlis dengan mereka. Rasulullah juga sangat menyayangi golongan Fuqara ini. Sesungguhnya hisab dari Allah s.w.t itu adalah maha cepat, jadi janganlah diikutkan hawa nafsu yang seperti binatang yang akan hanya membinasakan diri sendiri. Saya mengingatkan diri saya dan anda semua agar jauhilah dari zina.

Wassalam.

Wednesday, September 10, 2008

Kewajipan Menuntut Ilmu dan Mengajarkannya.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Dalam kehidupan seharian, kita sering mempalajari sesuatu perkara baru. Tiada seorang pun di dunia ini lahir dalam keadaan berilmu atau sudah cukup ilmunya. Kewajipan menuntut ilmu dan mengajarkannya adalah satu kewajipan bagi setiap muslim. Jika menuntut Ilmu itu satu kewajipan bagi setiap muslimin, maka mengajarkan Ilmu itu yang sudah dedapati itu juga merupakan kewajipan.

Pada malam semalam (Selasa, 9hb Sept. 2008), saya telah berjumpa 3 orang sahabat yang baru saya kenali. Walaupun begitu mereka seperti sudah lama saya kenali dan kami begitu mesra sekali. Tetapi tujuan saya berjumpa dengan mereka kerana saya ingin hendak mendengar penerangan mereka tentang sesuatu dan mempelajari sesuatu dari mereka iaitu tentang Al-Quran. Sungguh pun pada waktu itu adalah satu waktu yang singkat, saya dapat suatu Ilmu yang baru yang tidak dapat diperolehi sama ada melalui darah keturunan atau dari duduk bersenang-lenang. Saya berasa senang hati dan suka kerana mereka sudi berkongsi Ilmu pengetahuan yang tidak semua orang boleh ada dan dapat kepada saya. Mereka memberinya tanpa meminta apa-apa balasan dan jauh sekali meminta upah.

Baginda Rasulullah s.a.w bersabda dan maksudnya :

"Sekiranya Allah menghendaki kebaikan buat seseorang, nescaya Dia akan memberi kefahaman tentang Agama kepada orang tersebut."

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda dan maksudnya :

"Menuntut Ilmu adalah fardhu kepada setiap orang Islam, dan meletakkan ilmu kepada yang bukan ahlinya tidak ubah seperti menggantungkan permata, mutiara dan emas kepada seekor babi."

(Riwayat Ibnu Majah)

Jadi disini dapatlah disimpulkan menuntut ilmu itu hukumnya wajib ke atas setiap orang Islam, tidak mengira jantina. Sedangkan menuntut ilmu ini pula tidak terhad kepada batasan umur seseorang itu. Syeikh Burhanuddin al-Zarnuyij di dalam kitabnya, Ta'lim al-Muta'allim, menyebutkan bahawa ilmu yang paling utama iaitu yang paling wajib dituntut ialah 'Ilmu-Hal'. Ilmu-hal ialah ilmu yang sangat perlu bagi setiap orang yang sudah baligh. Dengan kata lain, Ilmu yang wajib itu adalah diantaranya ialah Ilmu tauhid dan Ilmu Fiqh (Fikah) kerana tanpa kedua-dua ilmu ini nescaya seseoang muslim tidak dapat beramal. Ilmu tauhid ini membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah ketuhanan, dan yang mula-mula dipelajari ialah tentang keesaan Allah s.w.t. sendiri, kemudian sifat-sifatNya, termasuklah sifat yang wajib ada padaNya dan yang mustahil disifatiNya. Ilmu tauhid ini juga termasuklah dalam ruang lingkup rukun Iman, iaitu percaya kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul-rasulNya, hari Kiamat dan kepada Qada' dan Qadar.

Ilmu Fiqh pula membincangkan soal-soal yang berhubungan dengan cara-cara serta kaifat beribadah kepada Allah s.w.t. dan ebrgaul sesama makhluk, khususnya sesama manusia. Jadi jelaslah sekarang bahawa kedua-dua ilmu itu perlu dikuasai terlebih dahulu supaya seseorang muslim itu mampu hidup dengan baik dan teratur. Selepas itu barulah kita menuntut ilmu-ilmu yang lain seperti perubatan, sains dan teknologi dan lain-lain ilmu yang mendatangkan kebaikkan kepada manusia.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dan maksudnya :

"Malaikat membentangkan kepaknya kepada orang yang menuntut ilmu kerana ia gembira dengan apa yang diperbuatnya (menuntut ilmu ini)."

(Riwayat Ibnu 'Asakir)

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang maksudnya :

"Sesiapa yang mati ketika menuntut ilmu, maka ia akan menemui Allah s.w.t., sedangkan jaraknya ketika itu dengan para nabi tidak ada, kecuali satu darjat kenabian."

(Riwayat Tabrani)

Dengan adanya dua lagi hadis ini, maka dapatlah kita mengetahui kepentingan menuntu ilmu itu. Kepentingan menuntut ilmu ini sungguh mulia sehingga malaikat membentangkan sayapnya untuk memayungi orang-orang yang menuntut ilmu itu. Tetapi ilmu itu hendaklah ilmu yang baik, lebih-lebih lagi ilmu berkaitan agama, kerana ianya akan beroleh rahmat serta keredaan dari Allah s.w.t. Ilmu yang didapati pula hendaklah dikongsi bersama kerana ianya merupakan sedekah kepada orang yang hendak diajarnya itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda dan maksudnya :

"Sedekah yang paling afdal ialah apabila seseorang muslim yang belajar sesuatu ilmu dari saudara muslimnya, kemudian ia mengajarkan ilmunya itu kepada saudara muslimnya."

(Riwayat Ibnu Majah)

Jadi, marilah kita semua muslimin dan muslimat menuntut ilmu, supaya kita dapat memperkasakan diri kita dan juga umat islam kembali. Kerana realitinya sekarang ini, umat islam sudah jauh ketinggalan terutamanya di negara kita Malaysia. Walaupun pahit, tetapi itulah yang sebenarnya telah berlaku.

Wassalam.

Tuesday, September 9, 2008

Jauhi Dari Jadi Hamba Nafsu.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Puasa adalah salah satu dari pada Rukun Islam yang lima. Ada banyak hikmahnya dalam menjalani ibadah puasa ini. Selain untuk kesihatan diri kerana sistem pencernaan dapat direhatkan setelah 11 bulan bekerja 24 jam, ia juga dapat mengajar kita untuk menjadi seseorang yang tidak menurutkan nafsu. Nafsu ini pula bagi saya ada 2 nafsu utama yang sering menjadi punca seseorang Islam itu sesat atau terpesong. Nafsu yang pertama ialah nafsu perut dan nafsu yang kedua ialah nafsu syahwat. Kedua-dua nafsu ini jika tidak dikawal, akan jadilah seperti binatang yang tidak tahu berfikir untuk mencari makanan yang halal dan haram serta syubhat.

Tetapi pada masa sekarang ini, manusia yang beragama Islam lebih bersifat binatang malah lebih teruk dari binatang itu sendiri. Mereka membuat semua perkara dengan sesuka hati tanpa mengira adakah benda itu halal atau haram. Meminum arak seperti arak itu halal dan memakan makanan yang haram seperti ianya halal. Boleh la dikatakan mereka ini seperti 'khinzir', iaitu binatang yang memakan dan meminum apa saja yang ia mahu. Adakah manusia ingin disamakan dengan khinzir? Sudah pastinya tidak, tetapi mengapa perilakunya sahaja sudah melambangkan binatang hina itu? Sesungguhnya nafsu syahwat dan nafsu perut sudah banyak menjerumuskan manusia ke lembah dosa, bahkan sejarah awal manusia Adam dan Hawa mendapat kemurkaan Allah, setelah mereka teperdaya oleh iblis yang mengeksploitasi keinginan untuk mendekati buah dari pohon larangan di dalam syurga hingga terpaksa menerima risiko yang tinggi kehilangan kewarganegaraan syurga.

Dalam mengharungi cabaran dunia moden, manusia terus dilanda krisis nafsu perut, krisis ketagihan arak berlaku di semua peringkat kehidupan, sejak dari istana yang pernah mendapat kemudahan mengimport arak tanpa cukai, majlis-majlis eksklusif yang dihadiri oleh menteri-menteri dan orang kenamaan. Arak juga menjadi daya penarik bagi pelancong-pelancong asing sehingga dijual hampir di seluruh hotel dan premis perniagaan kedai serbaneka meskipun yang menjual itu adalah orang Islam. Kedai serbaneka yang paling nyata ialah 7-Eleven di mana penjualnya adalah orang Islam. Nyata skali yang kedai 7-Eleven itu tidak menghormati orang Islam yang bekerja disitu. Kejadian ini tidak boleh disalahkan sebelah pihak sahaja. Sepatutnya yang menjual harus melarang pembelian minuman keras ini oleh orang Islam. Jika tidak, mereka juga turut mendapat 'saham' atau 'share' dosa dari peminum arak ini kerana bersubahat. Ini tidak termasuk dengan orang-orang Islam yang bekerja di kelab malam dan kelab hiburan. Mereka seperti tidak mengendahkan apa yang mereka lakukan itu sama ada betul atau tidak. Alasan mereka ialah, niat mereka ingin mencari rezeki yang halal. Persoalannya ialah, halalkah kerja itu? dari mana duit itu datang? Di mana letaknya akal yang dikurnia Allah? Kenapa bodoh sangat?

Sepatutnya PBT harus lebih bertanggungjawab dalam mengangani isu-isu seperti ini. Bukan sahaja sekadar melawat kawasan apabila pilihanraya tiba atau sekadar mencari publisiti murahan. Jabatan Agama Islam harus menjalankan kerja mereka dengan lebih keras lagi. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Setiap kali di ajukan soalan berkenaan akhlak ini kepada mereka, alasan yang diberikan ialah sibuk dan tidak cukup anggota. Sebenarnya itu bukan alasan, ianya antara 'mahu' dan 'tidak mahu' sahaja. Kalau tak cukup anggota, tambahlah anggota atau buatlah kerjasama dengan agensi lain. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kalau kita bersungguh-sungguh, pasti kita akan berjaya mengurangkan gejala kerosakkan akhlak pada masa sekarang ini. Terus terang saya katakan, saya menyalahkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan dan kerana tidak mengambil berat perkara ini. Mereka mementingkan perihal pencalonan politik didalam parti mereka sehinggakan rakyat yang lalai menjadi taksub kepada perjuangan politik duniawi mereka. Rakyat yang mengundi juga harus di persalahkan kerana salah memilih pemimpin. Bagi Islam, dalam kriteria untuk memilih pemimpin jika kedua-keduanya adalah beragama Islam, hendaklah dipilih berdasarkan yang mana paling kuat agamanya. Jadi, bersama-samalah kita berfikir dan memuhasabah diri sendiri. Apakah yang akan jadi pada generasi akan datang negara kita nanti? Adakah generasi akan datang kita adalah generasi kaki botol generasi yang berlandaskan nafsu? Kedua-duanya tidak elok, dan kedua-duanya menuju kepada kehancuran. Rakyat rosak akhlak, Negara hancur warisan.

Wassalam.