Sukanya saya membuka bicara pada hari ini dengan mempersembahkan 3 potong hadis yang saya petik dari e-hadith JAKIM.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong”.
Riwayat Muslim
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.”
(Abu Daud)
Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Saya dengar nabi SAW bersabda:”Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak.”
(Bukhari)
Tiga hadis ini sudah cukup untuk kita ketahui bahawa buruk padahnya jika kita berbohong sesama saudara islam itu sendiri. Saya tidak tahu macam mana lagi hendak dihuraikan hadis ini kerana hadis ini bukanlah satu hadis yang mempunya maksud tersirat. Ianya amat jelas dan terang tentang keburukan berbohong. Rasulullah SAW menjelaskan sifat-sifat orang yang munafik, diantaranya ialah apabila dia berkata, ia berbohong, apabila berjanji, ia mungkiri dan apabila ia diberi amanah, ia khianat. Maka wajar jika Rasulullah mengatakan yang berbohong dan berdusta itu termasuk dalam satu dosa besar. Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini, Rasulullah SAW berwasiat kepadanya, "Hanya dengan satu perkara: Laa Takzib! (Jangan berbohong)." Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu."Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab:”Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum", fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.
Pada masa sekarang ini, berbohong menjadi satu amalan yang dipupuk dari sejak kecil lagi. Ibu bapa menipu anak-anak mereka yang kononnya untuk kebaikkan anak mereka. Tetapi percayalah yang kebenaran itu walaupun pahit, kita harus berterus terang kepada anak-anak kita untuk kebaikkan dan itulah yang sebetulnya. Jika tidak, apabila mereka sudah dewasa, berbohong itu telah pun menjadi sebati dalam diri mereka sendiri. Contoh yang paling jelas sekali ialah pada pasangan yang bercinta. Sudah pasti tidak dapat melarikan diri dari berbohong kepada pasangan masing-masing. Kekadang sampai tidak tahu hendak berbohong apa lagi, sehinggakan pembohongan yang sama juga digunakan. Saya ni mempunyai tabiat suka mendengar orang berkata-kata. Kerana dari percakapan orang itu, saya dapat tahu macam mana peribadi orang tersebut. Jika orang itu jenis yang menipu, saya dapat tahu berapa banyak yang dia tipu. Ini adalah salah satu dari cara untuk saya mengenal pasti yang mana satu kawan dan yang mana satu lawan.
Sikap suka berbohong ini merupakan satu ketagihan yang melampau jika penipuan itu berjaya. Bagi saya, orang yang suka menipu ini hanya akan memperlihatkan kebodohan mereka saja. Sebab bila dah terbongkar segala penipuannya itu, hasilnya amatlah buruk dan tidak boleh di selamatkan lagi. Orang yang menipu ini hanya akan menempah kecelekaan mereka sendiri sahaja. Firman Allah SWT :-
Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang-orang yang berbuat dusta terhadap Allah, mukanya menjadi hitam. Bukankah dalam neraka Jahannam itu ada tempat bagi orang-orang yang menyombongkan diri?
Surah Az Zumar (Ayat 60)
Kesimpulannya disini, saya tidak dapat hendak berkata apa-apa lagi tentang orang yang suka menipu ini. Tiada apa yang dapat mengubah diri mereka melainkan mereka sendiri. Akibatnya yang buruk sudah sedia maklum oleh semua orang. Apa nama pada Islam jika umatnya sendiri tidak mahu berubah. Apa nama pada Islam jika umatnya tidak tauhid dan tidak kuat. Apa nama pada Islam jika kemungkaran di depan mata tidak di tegah. Apa nama pada Islam jika Ibu bapa pun merelakan kemungkaran yang dilakukan oleh anak mereka berlaku di depan mata. Apakah perasaan Nabi Muhammad apabila melihat umat baginda sedemikian rupa. Fikirkanlah wahai sahabatku, jika anda semua benar-benar Islam. Sebarkanlah segala kebenaran meskipun ianya pahit.
Wassalam.