NuffNang

Nuffnang

Translate


Monday, July 28, 2008

Kenapa masih hendak menunggu bala tiba baru berubah?

Assalamualaikum.

Pada masa sekarang ini keruntuhan akhlak semakin teruk di kalangan umat Islam di negara kita. Usah dikatakan kaum yang muda sahaja, yang tua yang layak bergelar datuk dan yang belum akil baligh pun sama saja teruknya. Baik di kota atau pun di pekan kecil, aurat wanita menjadi perhiasan yang sentiasa didedahkan, kemesraan pasangan sama ada yang sama jantina atau yang berlainan jantina sudah menjadi kemesraan. Arak pula menjadi minuman yang biasa dan senang didapati dimana-mana sahaja, suami atau isteri orang ramai yang curang. Tidak cukup dengan melakukan kemungkaran, maksiat kini menjadi kebanggaan. Sebenarnya bila dilihat kembali, semua ini adalah kerana kurangnya didikan Agama pada diri mereka. Subjek Agama Islam yang diajar disekolah tidak di praktikkan diluar sekolah. Mereka ini bukannya buta pada hukum Allah, tapi kedegilan dan kesombongan dan keseronokkan duniawi mengatasi segala-galanya. Sebenarnya, semua itu tidak kekal....keseronokkan yang haram disisi agama tidak akan mendapat apa-apa pun dari Allah kecuali kemurkaan dariNya.

Pada masa sekarang ini ramai yang bersenang lenang dengan duit rebat. Mereka menggunakan duit rebat itu untuk memuaskan hawa nafsu syaitan yang beraja dihati. Mereka tidak menggunakan duit rebat itu seperti yang sepatutnya. Paling menyedihkan lagi ialah orang-orang ini menggunakan ke jalan maksiat dan zina! Mereka gunakan nikmat yang di berikan oleh Allah untuk kejalan yang tidak benar, malah tidak mensyukuri segala pemberianNya. Seperti apa yang telah diceritakan oleh Utbah bin Amir, bahawa suatu hari dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

"Apabila kamu melihat Tuhan mengurniakan kekayaan dunia kepada orang yang `ahsi (ahli maksiat), maka sesungguhnya yang demikian itu merupakan istidraj daripada Allah. Ketika mereka lupa akan ajaran dan peringatan-peringatan, maka Allah bukakan pintu-pintu segala kesenangan dunia. Tetapi di saat mereka terlalu gembira dengan kekayaan itu, tiba-tiba Allah rentap segalanya serta-merta."

Istidraj bererti suatu pemberian daripada Allah yang tidak direstuiNya, atau ibarat umpan yang diletakkan di dalam perangkap. Perangkap itu perangkap musang, tujuannya ialah untuk menangkap haiwan jahat itu. Musang yang terperdaya dengan umpan akhirnya ia terperangkap ketika sedang ghairah hendak menikmati makanan yang tidak disedari sebagai umpan itu. Sebenarnya Allah tidak melakukan aniaya terhadap hamba-hambaNya dengan cara memberi umpan dan sebagainya kerana Allah bersifat Maha pengasih dan Maha penyayang. Tetapi manusia itu sendiri yang menganiaya dan menzalimi diri sendiri. Kenapa hendak diikuti jalan yang berliku sedangkan ada jalan yang lurus? Kenapa akal yang diberi tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikkan? Kenapa harus bertindak seperti orang yang tidak berakal?

Sudah lupakah kita kepada bala sengsara yang telah ditimpakan oleh Allah kepada umat yang sebelumnya? Tidakkah segala bala bencana yang terjadi disekeliling cukup untuk kita sedar yang semuanya itu terjadi kerana balasan dari Allah? Sebenarnya semua orang sedar akan semua ini, semua tahu dosa dan pahal dan tahu halal dan haram. Tapi kenapa masih hendak dibuat dan langgar juga larangan Allah itu? Tidakkah tindakan itu lebih sesuai dikatakan sebagai menempah maut atau BODOH?

"Sudah nampak kerosakan di darat dan di laut kerana perbuatan tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka supaya mereka kembali (ke jalan benar)." - Surah Ar-Rum: Ayat 41.

Sedarlah wahai sahabatku sebelum terlamat. Kenapa hendak ditunggu bala itu datang, barulah kita nak berubah? Allah itu Maha Adil, Maha cepat dan tepat perhitungannya. Allah tidak pernah memungkiri janjiNya kepada hamba-hambaNya. Paling teruk hukuman dan dosa seseorang itu jika dia mempunyai pengikut yang sama melakukan dosa. Jika seseorang itu berpakaian seksi, membuat maksiat, berzina dan berjudi dan ada orang yang mengikut perbuatannya itu, maka suatu hari nanti jika dia mati dan pengikutnya masih meneruskan apa yang dipelajari itu, maka yang mati itu turut mendapat bahagian dosa dari pengikutnya itu. Katakanlah kalau saudara atau kakak kita sering berpakaian seksi, dan adik perempuannya itu pun mengikut jejaknya, bukankah dia secara tak langsung mempunyai pengikutnya sendiri? tidak kesiankan dia pada saudara atau adik perempuannya itu? Kalau dia dah rosak, hendakkah dia adiknya juga turut rosak? begitu juga dengan lelaki. Kalau kita sayangkan keluarga kita, dan keluarga kita itu sahajalah yang kita ada, kenapa tidak kita berubah untuk kebaikkan? kenapa masih sombong dan riak dengan dosa yang dilakukan itu?

Pada yang berpasangan, sering bertukar pasangan atau yang kononnya jujur dan setia pada satu pasangan. Pasti kita hendakkan pasangan yang baik, dan boleh membimbing kita suatu hari nanti bagi perempuannya. Kenapa hendak dicari pasangan yang dijumpai di kelab malam atau dipesta kemaksiatan? Dimanakah letaknya akal? Hendakkan pasangan yang baik mestilah kita sendiri menjadi baik. Sebab Allah dah menjanjikan pasangan yang baik hanya untuk yang baik sahaja, dan penzina hanya layak bersama dengan penzina atau pun orang kafir. Itu telah dijanjikan didalam Al-Quran dan tiada siapa pun yang dapat mengubahnya. Ada yang berkata hendak bertaubat bila sampai masanya, kenapa tidak sekarang? kenapa bila dah tua baru hendak bertaubat? sempatkah nanti? selamatkah mereka itu nanti? Hendak ke nanti zuriat itu turut menyambung legasi maksiat dari ibubapa mereka? Kaum perempuan yang selalu berzina, dimanakah letaknya maruah mereka? dikaki? kenapa harus dicalar dan dipijak lagi maruah yang telah tersedia tercalar itu? kenapa tidak di bela maruah itu dan diangkat maruah itu kembali supaya ia dihormati kembali?

Persoalan arak pun sudah basi diceritakan buruk dan dosanya. Tapi kenapa masih ada lagi yang tidak mengendahkannya? Ada yang sanggup membawa botol-botol arak yang kononnya cantik dan unik itu ke rumah untuk dijadikan perhiasan. Perbuatan apakah itu? Rumah untuk tempat beribadat, tetapi dicemarkan dengan perkara seperti ini. Kalau ada dikalangan ahli keluarga yang masih kecil dan naif yang melihat dan ingin mencuba, tidakkah itu secara tidak langsung akan memberi pengaruh buruk kepada mereka? Fikirlah wahai saudara sekalian, perkara sebeginikah yang kita hendak terjadi kepada keluarga kita?

Sebenarnya ramai yang tahu apa itu dosa dan pahala. Ada dikalangan ahli maksiat cuba menasihati orang lain, saudara atau adik-beradiknya untuk berbuat kebaikan. Disuruhnya solat dan beramal soleh. Sebenarnya benda itu bagus, sekurang-kurangnya dia masih ingat akan Allah dan takut orang yang disayanginya itu dari mengikut jejaknya. Tetapi, kepimpinan melalui tauladan. Budak-budak kecil yang masih belajar pasti tidak akan mengikuti nasihat dan kata-kata ahli maksiat itu kerana mereka berfikir, "kenapa hendak di ikut nasihat itu sedangkan diri dia sendiri pun masih membuat perkara yang dilarang itu?" dan bila ini berlaku, maka rosaklah masa depan anak-anak itu sendiri. Kata-kata dari mulut seorang penzina, ahli maksiat dan peminum arak adalah ibarat angin yang bertiup. Masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri seolah-olah tidak bermakna.

Inikah yang kita mahu terjadi kepada orang yang kita sayangi? Inikah yang kita impikan terjadi kepada keluarga kita? Adakah kita hendak ditimpakan dengan penyakit AIDS atau sudah mengandung atau terkena penyakit lain barulah kita hendak bertaubat? Sebenarnya semua didikan Agama dan kebaikan hendaklah bermula dari rumah. Ibu bapalah yang mesti memainkan peranan mentarbiyah anak-anak mereka di rumah. Jika di rumah seseorang itu kurang amal Agamanya, yang keluar nanti adalah isi yang buruk dan kurang Iman dan Agamanya. Sahabatku sekalian, katakanlah umur kita ini hanya mencapai 60 tahun iaitu sekitar umur Rasulullah S.A.W. 1/3 hidup kita telah terhakis percuma dengan tidur sahaja. 1/6 pula berlalu semasa kanak-kanak, bakinya hanya 30 tahun sahaja yang tinggal. Cukupkah dengan 30 tahun itu untuk kita mempersiapkan diri untuk hari Akhirat nanti? Bagaimana pula jika 10 tahun itu dihabiskan dengan maksiat dan zina, hanya tinggal 20 tahun sahaja lagi untuk kita mempersiapkan diri kita....cukupkah? Fikirlah sahabat-sahabatku......jangan la dibanggakan dan riak dengan kerja maksiat yang sedang dilakukan itu. Tak kemana diri itu kalau masih diikutkan kepala yang degil dan sombong dengan perkara maksiat. Terimalah teguran dan nasihat dari orang yang menyayangi diri kita walaupun orang itu bukanlah sesiapa. Janganlah di tunggu bala itu tiba kemudian barulah kita hendak berubah.

"Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka gembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa." - Surah al-An'am (6: 44)

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.