NuffNang

Nuffnang

Translate


Friday, March 11, 2011

SN243 - MUHASABAH TERHADAP HARAKAH ISLAM YANG MENGAKUI SISTEM TAGHUT

SN Keluaran 7 Januari 2011
 
  alt
 
MUHASABAH TERHADAP HARAKAH ISLAM YANG MENGAKUI SISTEM TAGHUT
 
[SN243] Setelah hancurnya Daulah Khilafah pada tahun 1924, banyak harakah (gerakan) Islam yang telah muncul dan bangkit berjuang untuk mengembalikan kejayaan Islam. Pelbagai harakah Islam ini berjuang dengan tujuan, idea dan metode perjuangan masing-masing. Walaupun jalan yang diambil oleh harakah Islam ini berbeza-beza, namun Insya Allah semuanya mendapat ganjaran dari Allah SWT selama mana mereka ikhlas berjuang untuk Islam dan menuruti jalan yang lurus. Namun begitu, tidak semua perjuangan ini relevan dengan qadhiyah masiriyah (masalah utama) umat Islam atau sesuai dengan tuntutan ajaran Islam dalam melakukan taghyir (perubahan). Jadi, ‘ikhlas’ sahaja tidaklah mencukupi meskipun keikhlasan memang tuntutan mendasar dalam amal perjuangan. Keikhlasan mestilah disertai dengan pemahaman dan pelaksanaan HUKUM-hukum Islam secara benar di dalam usaha untuk melakukan perubahan yang dikehendaki oleh syarak. Kebenaran hanya akan dapat dicapai apabila kita berpandu kepada nas (Al-Quran dan Sunnah), bukannya kepada akal.

Di dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah dan menegakkan sebuah Negara Islam, maka sudah semestinya kita wajib meneledani perjuangan Rasulullah SAW di dalam menegakkan negara. Sesungguhnya Islam adalah agama yang komprehensif yakni bukan sekadar agama spiritual tetapi juga agama yang mengatur segenap aspek kehidupan, baik secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Dengan kata lain Islam adalah agama dan sekaligus negara. Maka dari itu, sejak Rasulullah SAW diutus sebagai Nabi dan Rasul, yang menjadi fokus utama perjuangan baginda dan para sahabat adalah bagaimana untuk mengamalkan agama Islam secara menyeluruh, dari kehidupan individu hinggalah kepada kehidupan bernegara dan seterusnya untuk mengatur dunia.

Bermula dari perjuangan di Mekah di mana baginda diutuskan, Rasulullah SAW telah berhasil mewujudkan Islam dalam kehidupan bernegara setelah baginda berjaya menegakkan Daulah Islamiyyah di Madinah. Daulah Islam ini kemudiannya dilanjutkan oleh para khulafa' sesudah baginda selama lebih 1300 tahun sehinggalah kehancurannya (Khilafah) di Turki pada tahun 1924. Sejak saat itulah umat Islam hidup terpecah belah dalam puluhan negara-bangsa (nation-states) yang memerintah dengan sistem taghut (selain Islam) dan hidup menderita kerana menjadi sasaran penindasan pemimpin mereka sendiri dan juga kuffar Barat.

Oleh kerana Islam adalah agama dan negara, bukan sekadar agama spiritual, setiap perjuangan harakah Islam wajib memperhatikan masalah ini dalam perjuangan masing-masing. Inilah yang disebut sebagai qadhiyah masiriyah (masalah utama / vital issue) umat Islam - untuk mengamalkan keseluruhan ajaran Islam di dalam kehidupan bernegara dalam bingkai Negara Khilafah. Dengan demikian, perjuangan harakah Islam seharusnya terfokus pada dua hal.

Pertama; membebaskan umat Islam dari penjara sistem taghut (sistem sekular, demokrasi, teokrasi, monarki, federasi, diktator dan sebagainya) yang telah memecah belah umat Islam dan menjadikan mereka tidak berdaya menghadapi hegemoni Barat.

Kedua; mengembalikan umat Islam ke dalam satu institusi politik pemersatu umat iaitu Negara Khilafah Islamiyyah. Kuffar Barat dan para penguasa dunia Islam sebagai pemimpin sistem taghut ini sangat memahami akan hal tersebut. Oleh yang demikian mereka senantiasa merancang dan melakukan strategi untuk membendung dan ‘menjinakkan’ harakah-harakah Islam. Mereka telah pun berhasil di dalam misi ini di mana sebahagian besar harakah Islam berjaya dijinakkan. Harakah Islam ini akhirnya menjadi harakah yang pragmatis dan tunduk kepada realiti, malah mereka ‘menundukkan’ pula Islam dengan realiti.

Namun, tidak kesemua harakah Islam berjaya dijinakkan Barat di mana ternyata terdapat harakah Islam ideologis yang tidak tunduk kepada kehendak Barat. Harakah jenis ini sangat faham bahawa satu-satunya jalan yang benar untuk menyelesaikan masalah umat Islam adalah dengan cara taghyir (merombak total) bukannya dengan islah (memperbaiki) sistem taghut/sekular yang sedia ada. Mereka juga faham bahawa  umat Islam perlu dipimpin dengan menerapkan hukum Islam secara kaffah (menyeluruh) melalui tegaknya Negara Khilafah. Malangnya harakah Islam ideologis ini sering diburuk-burukkan dan dilabel dengan negatif oleh Barat dan sering menghadapi tentangan dari penguasa kaum Muslimin itu sendiri. Dalam masa yang sama, Barat berusaha membela dan membelai harakah Islam yang pragmatis dan Barat selalu memuji dan ‘menyanjung’ mereka kerana bersifat moderat. Akhirnya harakah Islam pragmatis ini telah berjaya ‘disesatkan’ oleh Barat hingga tunduk kepada realiti sehingga mereka tidak lagi sedar akan qadhiyah masiriyah umat Islam. Mereka malah mengakui ‘kesahihan’ (validity) sistem taghut yang sedia ada serta berjuang dari dalam sistem taghut itu untuk memperbaiki (islah) sistem kufur tersebut.

Kuffar Barat dan penguasa zalim di dunia Islam sememangnya suka ‘memelihara’ harakah Islam pragmatis. Ini kerana, dari dua jenis harakah Islam yang ada, harakah pragmatis tidak mengajak umat untuk mengubah sistem taghut secara total, sebaliknya mereka mengakui kesahihannya dan tunduk kepadanya. Harakah pragmatis pada prinsipnya memang ‘tidak ada masalah’ untuk hidup dalam sistem taghut baik sistem itu demokrasi, teokrasi, monarki atau apa sahaja. Oleh itu, penguasa di dalam sistem taghut tidak perlu (dan tidak akan) khuatir terhadap harakah pragmatis semacam ini, walaupun harakah ini menggembar-gemburkan slogan-slogan Islam atau slogan ‘Negara Islam’, selama mana slogan (atau Negara Islam) yang diperjuangkan itu adalah di dalam ruang lingkup sistem taghut seperti demokrasi. Semua ini tidak akan merisaukan Barat atau penguasa Muslim di dalam sistem taghut kerana harakah pragmatis ini sesungguhnya masih tetap mengakui kesahihan sistem taghut yang sedia ada. Dengan jalan ini, harakah pragmatis ini sebenarnya telah melakukan ‘penyesatan politik’ yang telah menyimpangkan umat dari perjuangan yang benar untuk menegakkan Islam. Ini kerana, keterlibatan harakah pragmatis dalam sistem taghut bererti mereka telah melegitimasi sistem kufur, yang sekaligus telah mempersulitkan usaha harakah ideologis dan umat Islam lainnya untuk menghancurkan sistem kufur ini.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh harakah Islam adalah mengubah dan menghancurkan sistem taghut ini, bukan mempertahankannya. Pertamanya, perubahan ini hendaklah dilakukan dengan jalan tidak mengakui kesahihan sistem taghut (sekular) ini, kerana sistem  ciptaan penjajah ini hakikatnya adalah musuh Islam dan hanya merupakan kehendak kaum kuffar penjajah. Seterusnya, perubahan ini mesti dilakukan dari luar sistem bukan dari dalam (sebagai contoh cuba memperbaikinya dengan melibatkan diri di dalam kabinet atau parlimen). Perubahan ini juga harus disertai dengan usaha untuk memimpin umat agar memahami dan berjuang secara sahih sebagaimana perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasululah SAW dan para sahabat sehingga tegaknya sebuah Negara Islam berdasarkan jalan wahyu. Umat Islam juga harus difahamkan bahawa Negara Khilafah adalah negara Islam yang sama sekali berbeza dengan negara demokrasi (dan lain-lain bentuk sistem taghut) yang sedia ada. Umat Islam juga perlu dijelaskan bahawa setelah Negara Khilafah berdiri, maka kaum Muslimin yang terpecah belah mengikut negara-bangsa sekarang ini, wajib bersatu di bawah satu bendera dan di bawah satu payung pemerintahan.

Strategi Barat Terhadap Harakah Islam

Barat telah membahagi kaum Muslimin  kepada dua golongan utama iaitu golongan fundamentalis (ekstremis/teroris) dan golongan moderat. Dari keduanya, Barat hanya mendokong golongan moderat bahkan mereka sentiasa berusaha mendudukkan golongan ini ke kerusi kekuasaan. Ini kerana golongan moderat sememangnya tidak akan menimbulkan bahaya bagi sistem politik dunia dan eksistensi Barat di dunia Islam. Inilah strategi umum Barat dalam  ‘menyesatkan’ harakah-harakah Islam. Contoh nyata strategi ini adalah sepeti apa yang terjadi kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (PKP) pimpinan Recep Tayyip Erdogan di Turki. Turki tetap sahaja sekular bahkan menjalankan kebijakan (polisi) AS dan Israel meskipun PKP telah berhasil berkuasa. Inilah bukti nyata bahawa PKP telah menjadi harakah Islam yang disesatkan oleh Barat sehingga PKP justeru menjadi pelaksana kepada hegemoni dan kehendak Barat.

Sayangnya ramai generasi muda umat Islam yang telah terpukau dengan harakah pragmatis seperti PKP. Mereka menganggap PKP yang berhasil meraih kekuasaan telah melayani kepentingan Islam dan umat Islam. Padahal dengan sekilas tinjauan sahaja, akan terlihat PKP sangat jauh dari ajaran dan politik Islam. Buktinya, PKP mengumumkan tidak akan memusuhi Barat (penjajah), mempercayai demokrasi, ingin menjadi bahagian dari Eropah serta menjadi sekutu Israel dan mengadakan perjanjian militer dengannya. PKP juga terlibat dalam operasi militer NATO di Afghanistan untuk memerangi Islam dan umat Islam di sana. Dan lebih dari semua itu, PKP adalah pendukung idea-idea Mustafa Kamal Ataturk laknatullah, manusia hina yang menjadi musuh Islam dan penghancur Daulah Khilafah. Harakah seperti PKP inilah yang amat didambakan Barat, sehingga Barat berusaha mewujudkannya di pelbagai negara di dalam dunia Islam dan menyekat harakah Islam ideologis dari meraih kejayaan.

Memang Barat telah menggariskan karakter tertentu untuk harakah Islam agar sesuai dengan kepentingan mereka. Barat menghendaki agar harakah Islam dapat menerima dan mempertahankan sistem taghut yang dibawa oleh mereka. Agar diterima oleh umat Islam, Barat menyebut aktivis harakah ini sebagai kaum moderat dan golongan yang baik, tidak sebagaimana kaum fundamentalis atau ekstremis yang dikatakan merbahaya. Selain terjebak dengan kehendak Barat dan ‘selesa’ disebut sebagai golongan moderat, hakikatnya golongan Islam moderat ini tidak jauh berbeza dengan puak Islam liberal. Jika dicermati, lontaran idea harakah Islam pragmatis sama sahaja dengan idea kelompok liberal-sekular di mana mereka telah meletakkan Islam sebagai suatu agama yang bersifat ‘anjal’ dan boleh berubah mengikut zaman dan tempat. Sedar atau tidak, mereka telah menundukkan Islam dengan realiti yang ada. Akhirnya, kedua-dua kelompok ini menafsir dan mengaplikasikan Islam sesuai dengan kehendak Barat. Umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan permainan istilah dan pengggunaan simbol-simbol Islam yang dibawa oleh kelompok-kelompok ini. Contoh nyata adalah seperti PKP di Turki di mana parti ini sangat sering mengeksploitasi istilah dan simbol Islam. Padahal pelbagai strategi dan langkah politiknya, seribu kali lebih berbahaya bagi umat Islam daripada kelompok-kelompok liberal-sekular.

Setiap harakah Islam seharusnya sedar akan jerat kuffar Barat dan tidak seharusnya terlibat di dalam sistem taghut yang akhirnya memberi kelebihan kepada orang-orang kafir/sekular dan melemahkan diri mereka sendiri. Lebih buruk, mereka sebenarnya telah menggadaikan Islam dan perjuangan mereka sendiri kerana meletakkan hawa nafsu dan kepentingan dunia lebih tinggi dari Islam. Umat Islam pula perlu sedar bahawa ada di antara harakah Islam yang, sama ada sedar atau tidak, sebenarnya telah menjadi pelaksana kepada kehendak Barat di dalam menjaga dan memelihara sistem kufur yang dibawa oleh Barat. Setiap ahli gerakan Islam harus sedar bahawa niat yang ikhlas (untuk memperjuangkan Islam) sahaja tidak cukup, tetapi mesti disusuli dengan langkah perjuangan yang benar menurut syarak.

Karakter Harakah Islam Yang Mengakui Sistem Taghut

Setidak-tidaknya terdapat enam karakter utama harakah Islam yang mengakui sistem taghut dan menjadi pelaksana kepada kehendak kuffar Barat:-

Pertama; menganut sikap pragmatis (waqi’iyyah) iaitu bertindak bukan atas dasar pertimbangan syarak tetapi atas dasar waqi’ (fakta/realiti) yang ada dengan pertimbangan untung-rugi (maslahat/manfaat).

Kedua;
tidak mempunyai pemikiran Islam yang jelas. Mereka menyerukan Islam secara umum sahaja dengan penafsiran yang disesuaikan dengan fakta yang ada demi meraih keridhaan penguasa yang zalim dan kaum penjajah (Barat).

Ketiga; tidak berusaha mengubah secara total (taghyir) sistem sekular yang ada, melainkan hanya memperbaikinya (islah) secara sebahagian pada aspek-aspek tertentu sahaja. Mereka mempunyai anggapan dasar bahawa sistem yang sedia ada ‘sudah sah’ dan ‘sudah final’. Justeru, yang perlu diubah bukanlah ‘sistem’nya melainkan hal-hal tertentu yang memerlukan pembaikan misalnya masalah rasuah, penyelewengan, kehakiman, birokrasi, peraturan pilihanraya dan seumpamanya.

Keempat; mempunyai wawasan dan aktiviti yang hanya bersifat lokal. Mereka tidak menekankan persoalan umat Islam yang bersifat global, misalnya mempersatukan seluruh umat Islam dalam satu negara Khilafah. Malah ada di antara mereka yang tidak mahu menyatukan umat Islam di bawah satu negara dan ada pula yang menganggapnya sebagai idea yang khayal. Mereka lebih suka berjuang atas dasar kebangsaan dan tanahair (assabiyyah dan wathaniyyah).

Kelima; selalu berusaha menampakkan diri sebagai kelompok moden dan moderat dengan dalih bahawa Islam adalah agama yang fleksibel atau anjal dan boleh berubah mengikut masa dan tempat. Mereka mengecam harakah Islam ideologis sebagai kelompok garis keras (mutasyaddidun) yang hanya mencari masalah dengan ‘menentang’ pemerintahan yang sah. Mereka menggembar-gemburkan pemikiran tertentu yang disandarkan kepada Islam seperti fiqh al-waqi’ (hukum fikih yang tunduk kepada realiti), fiqh al-mashalih (hukum fikih yang tunduk kepada kemaslahatan) dan semisalnya. Mereka masuk ke dalam parlimen atau bergabung dengan pemerintahan taghut yang ada dengan dalih untuk menegakkan agama.

Keenam; mementingkan personaliti/tokoh (figure). Mereka adalah harakah yang mengamalkan ‘pensucian’ individu. Kerana itulah mereka senantiasa mengedepankan tokoh pimpinan (qiyadah) daripada mengedepankan fikrah (pemikiran) Islam itu sendiri. Jika berhadapan dengan masalah yang perlu diputuskan, pertimbangannya bukanlah kepada hukum-hakam Islam tetapi kepada keputusan atau kehendak pimpinan, walaupun sudah jelas lagi nyata bahawa si pemimpin telah ‘tertawan’ oleh realiti keadaan dan sistem yang rosak.

Harakah dengan karakter-karakter inilah yang sesungguhnya telah ‘menyenangkan’ Barat dan juga penguasa dalam sistem taghut. Harakah seperti inilah yang selalu dimanfaatkan dan diperalat oleh puak kuffar untuk mengalihkan perhatian umat dari harakah ideologis yang berjuang ‘di luar kotak’ demi menukar sistem taghut kepada sistem Islam. Dengan demikian, di samping telah ‘melarikan’ gambaran perjuangan Islam yang hakiki,  harakah pragmatis ini juga telah mempersulit perjuangan ke arah perubahan total yang dikehendaki oleh Islam. Padahal sudah jelas, keterlibatan harakah pragmatis di dalam parlimen dan dalam sistem yang sedia ada sesungguhnya adalah suatu bentuk ketaatan dan ketundukan mereka kepada sistem taghut dan telah memperpanjangkan umur kebatilan. Hal ini juga telah menyebabkan kekeliruan di dalam kefahaman umat Islam mengenai sistem taghut sehingga sebahagian kaum Muslimin menganggap sistem taghut yang ada adalah ‘ok’ apatah lagi apabila perjuangan harakah Islam pragamatis ini didokong oleh ramai ulama dan tokoh yang terkenal.

Dari seluruh penjelasan di atas, kita berdoa dan mengharapkan agar seluruh harakah Islam pragmatis menyedari kekeliruan langkah mereka dengan membuang sejauh-jauhnya sikap taksub kepada gerakan mahupun pimpinan sehingga mereka terjerumus berjuang untuk menegakkan Islam dengan mengiktiraf sistem taghut yang ada. Sesungguhnya setiap perjuangan yang dilandasi anggapan bahawa sistem taghut (demokrasi dan lain-lain) yang sedia ada sudah ‘sah’ dan tidak perlu diubah, hanya akan sia-sia dan mendatangkan kerugian kepada mereka sendiri serta akan mengundang kemurkaan Allah, meskipun mereka berniat ikhlas. Namun, sama ada mereka mahu berfikir dan keluar dari kepompong pragmatisme, lalu bersedia untuk berjuang di luar sistem taghut, ini  bergantung kepada kesedaran dan keikhlasan masing-masing. Allah SWT bertanya,

“Maka apakah orang yang berjalan dengan wajah terlungkup, lebih berpetunjuk atau adakah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus (lebih berpetunjuk)?” [TMQ al-Mulk (67):22].

Dan Dia mengingatkan,

“Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidak bersikap sebagai orang-orang yang tuli dan buta.” [TMQ al-Furqan (25):73].

Wallahu a’lam.

[Diterjemah dan disunting dari artikel Amaa Aan li al-Harakat al-Islamiyah allatiy Ta’tarifu bi Syar’iyyah Al-Anzhimah an Tash-huw, oleh Dr. Hazim Badar, Palestine,  Majalah Al-Waie (Arab), no. 282, Edisi Khusus Rajab 1431 H/ Julai 2010].

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.