Apa itu tauhid? Ramai orang hanya tahu menyebutnya sahaja. Ada juga yang tidak tahu langsung, itu lagi teruk. Bagi yang sudah tahu itu baguslah, tapi sekadar tahu sahaja itu tidak mengcukupi kerana tidak lengkaplah iman seseorang itu. Jadi pada hari ini saya hendak menerangkan mengenai Tauhid dari segi istilah dan juga pembahagian dalam ilmu Tauhid. Sebelum itu biarlah saya terangkan apa kebaikkan dan faedahnya dalam mempelajari ilmu Tauhid ini. Ilmu Tauhid ini sangat banyak faedahnya kepada kita. Umpamanya, seseorang yang mempunyai pendirian dan pegangan Tauhid yang kukuh, tidak akan merasa rendah diri dan rasa takut. Akidah yang kukuh juga akan menimbulkan sifat yang berani, tabah hati dalam menghadapi segala perjuangan hidup, tidak mudah berputus asa, tidak cepat kecewa, tidak malu kerana kemiskinan dan tidak sombong kerana kaya dan banyak lagi faedah yang ada. Selain dari itu, kita juga akan mendapat pahala dari Allah S.W.T kerana mempelajari ilmu Tauhid ini dan orang yang tidak mempelajarinya adalah berdosa. Ini kerana hukum mempelajari ilmu Tauhid ini adalah fardu ain. Iaitu difardukan ke atas setiap mukmin dalam mengetahuinya secara Ijmali (himpunan) dan fardu kifayah mengetahuinya secara Tafsili (terperinci). Sebab itulah saya katakan yang belum lengkaplah iman seseorang itu jika dia tidak tahu mengenai ilmu Tauhid.
Mari kita lihat apa takrif ilmu Tauhid ini. Kalimat Tauhid berasal dari kata "Wahhada" yang kemudian diubah menjadi Tauhid. Dari segi bahasa ia bermaksud meng "Esa" kan, yakni meng "Esa" kan Allah S.W.T. Adapun dari segi istilah, ilmu Tauhid itu ialah :
"Suatu cabang Ilmu Pengetahuan yang membahaskan masalah yang berhubungan dengan wujud Tuhan dan segala sifat-sifatNya, sama ada sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah, juga membahaskan masalah yang berhubung dengan Rasul-rasul serta sifatnya."
Saya juga ada terbaca dalam sebuah buku Fardu ain yang mengatakan para ulama Tauhid merumuskan definisi atau takfir ilmu Tauhid itu sebagai berikut :
"Menentukan bahawa manusia hanyalah untuk Allah sahaja. mengiktikadkan tentang keesaanNya pada sifat, zat dan perbuatanNya."
Jadi, Tauhid adalah suatu sikap rohaniyah yang mesti memancar dan terlihat dalam seluruh aspek kehidupan manusia, sama ada berupa zahiriyyah mahupun batiniyyah. Dari definisi-definisi diatas dapatlah kita fahamkan bahawa perkara utama yang diperkatakan dalam ilmu Tauhid ialah masalah wujudnya Allah, kemudian disusul dengan pembahasan mengenai sifat-sifatNya, terutama tentang ke "Esa" anNya. Itulah sebabnya dikatakan ilmu Tauhid itu ialah ilmu yang memperkatakan tentang cara bagaimana manusia dapat mempercayai bahawa Allah ialah adalah Maha Esa. Selain dari itu, masalah-masalah lain yang berkaitan akidah Islam juga merupakan perkara yang diperkatakan dalam ilmu Tauhid. Masalah yang diperkatakan dalam ilmu Tauhid ini ialah rukun iman yang enam yang didasarkan kepada sebuat sabda Rasulullah S.A.W sebagai berikut :
"Iman itu ialah bahawa percaya engkau kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, pada akhirat dan engkau juga percaya akan kadar baik dan kadar jahat (datang daripada Allah)."
Ilmu Tauhid ada mempunyai beberapa nama, iaitu :
- Ilmu Tauhid.
- Ilmu Kalam.
- Ilmu Ushuluddin.
- Ilmu Aqidah.
- Ilmu Sifat.
- Tauhid Ubudiyyah - Maksudnya ialah bahawa Allah saja yang berhak untuk disembah oleh hambaNya, baik manusia, jin mahupun malaikat dan kepada Allah sajalah segala doa dan permintaan manusia dapat dipohonkan. Makhluk-makhlukNya seperti batu, kayu, patung, berhala, kubur dan lain-lainnya tidak mempunyai hak untuk disembah dan tidak pula berhak untuk menerima permohonan dari sesama makhluk. Sikap mengesakan Tuhan seperti ini disebut dengan "Tauhid Ubudiyyah".
- Tauhid Uluhiyyah - Maksudnya ialah pandangan atau pendirian yang menyakini bahawa Allah itu Esa, dan Esanya itu tidak tersusun daripada setengah tambah atau lain-lainnya. Dalam istilah Tauhid, cara mengesakan Allah seperti ini dikenal dengan "Tauhid Uluhiyyah".
- Tauhid Rububiyyah - Maksudnya ialah iktikad atau keyakinan bahawa hanya Allah sahajalah yang mempunyai kesanggupan mutlak untuk menciptakan dan memelihara segala sesuatu yang dikehendakiNya, tanpa memerlukan bantuan dari pihak-pihak lain. Dalam istilah Ilmu Tauhid, keyakinan atau akidah seperti ini dikenal dengan "Tauhid Rubu-Biyyah". Oleh yang demikian, maka Allah sentiasa disebut dengan "Rabbu'l-'Alamin".
Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.