NuffNang

Nuffnang

Translate


Thursday, August 14, 2008

Ingatlah Pada 'Zikrul Maut' Kerana Ia Boleh Menginsafkan Kita.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Sebagai manusia biasa, kita seringkali dikaitkan dengan sifat lupa dan lalai. Sebab itu kita sebagai manusia seringkali memerlukan peringatan, teguran dan bimbingan. Bila ada sahabat yang menegur kita, mereka mengutuk malah menghina sabahat itu. Malah mereka mengumpat yang kononnya sahabat itu berlagak baik atau berlagak alim. Sebenarnya tidak kira lama atau baru bertaubat atau berdakwah, sahabat itu melakukan perkara yang betul. Walaupun ilmu yang ada pada dirinya tidak mencukupi lagi.

Sabda Rasulullah S.A.W :
"Sampaikan dari Ku walau sepotong ayat".

Jadi tidak kiralah berapa banyak atau sedikit ilmu yang kita ada, jika ada kemungkaran di depan mata, hendaklah kita menggunakan apa saja cara yang terdaya untuk mencegah kemungkaran itu. Jika tidak mampu menggunakan tangan, gunakanlah mulut dan jika tidak mampu lagi membencilah dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman. Apa yang sahabatnya buat itu baik, tetapi orang yang ditegurnya itulah yang rugi dan bodoh kerana tidak mendengar dan mengambil iktibar dari nasihat sahabat yang menegur itu. Sebelum itu, Allah S.W.T juga telah mengutuskan pada rasul a.s bagi menerima wahyu, dan wahyu itulah yang telah menjadi petunjuk dan peringatan yang diperlukan oleh manusia bagi mengatasi sifat lupa dan lalai itu.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesunggnya peringatan itu
bermanfaat bagi orang-orang yang beriman."

Surah Adz-Dzariat ayat 55.

Ini bermakna petunjuk dan peringatan dari wahyu Allah S.W.T ini hanya akan berguna kepada mereka yang beriman sahaja. Seperti cerita yang diatas tadi, peringatan itu tidak berguna kepada orang yang ditegur itu tadi sebab mereka sudah jauh terpesong, sesat dan tidak beriman. Ibarat air yang dicurah ke atas tanah, pasti akan menyuburkan tanaman dan akan membuahkan hasil. Tetapi jika disiram ke atas batu, pasti tidak akan mendatangkan sebarang kesan. Begitulah juga sama keadaannya dengan petunjuk dan peringatan Allah S.W.T, ia akan berguna jika segala nasihat dan peringatan itu jatuh ke lembah hati yang lembut. Tetapi batu yang keras lama kelamaan akan lekuk juga jika dititis dengan air setiap hari dan sama jugalah dengan hati yang keras. Oleh itu janganlah berputus asa dalam memberi peringatan dan nasihat. Hati ini memainkan peranan yang penting dalam menentukan keperibadian dan watak seseorang itu. Sama ada orang itu akan menjadi orang yang berguna dan baik atau sebaliknya.

Sabda Rasulullah S.A.W :

" Sesungguhnya di dalam diri seseorang itu ada seketul daging, jika baik maka baiklah seluruh anggota, dan jika rosak ia maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah bahawa ia adalah hati"

Setiap manusia yang beriman yang sentiasa mendalami wahyu Allah S.W.T pasti mempunyai keyakinan yang setiap yang hidup pasti akan mati. Mereka juga yakin akan dihidupkan dan dibangkitkan semula dan mereka akan menghadapi suatu rangkaian hidup yang abadi. Bermula dengan datangnya ajal dan diikuti babak peristiwa alam barzakh hingga menemui hari kebangkitan di Mahsyar dan alam akhirat bagi menentukan syurga atau neraka untuk seseorang itu. Pada akhir zaman ini, semakin kurang orang yang bercakap tentang kematian, alam barzakh dan seterusnya hari mahsyar. Saiyidina Ali r.a pernah berkata, "Bahawa manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya."

Sebagaimana kisah nabi Ibrahim Khalilullah yang didatangi oleh malaikat maut.

"Apakah anda hendak mengambil nyawaku?" tanya nabi Ibrahim kepada Izrael.

"Benar," jawab malaikat maut.

"Tidakkah anda tahu bahawa aku adalah Khalilullah (Kekasih Allah) yang selalu di dampingi dan mendampingiNya? Adakah munasabah seseorang kekasih hendak mengambil nyawa kekasihnya?"


Dan dengan kata-kata nabi Ibrahim a.s. itu maka malaikat maut kembali semula mengadap Allah S.W.T, lalu Allah perintah Izrael supaya menemui nabi Ibrahim dengan membawa pesanan dari Allah.

Malaikat maut pun berkata pada Nabi Ibrahim ,"Justeru dengan kematian itu, bererti Allah Yang Maha Pengasih telah menjemput kekasihNya agar datang menemuiNya."

Dengan penjelasan itu maka nabi Ibrahim amat gembira menghadapi kematian itu.

Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, "Hendaklah kamu membanyakkan ingat akan perkara yang boleh meleburkan kelazatan hidup," bertanya Abu Hurairah, "Apakah yang boleh meleburkan kelazatan hidup itu?" Jawab Rasulullah, "Zikrul Maut" iaitu mengingati akan mati.

Apabila kita sudah mati, segala apa yang ada didunia ini akan kita tinggalkan kecuali amalan kita. Segala harta kekayaan, pangkat, isteri atau suami yang disayangi dan saudara atau kawan-kawan akan ditinggalkan dan hilang dalam sekelip mata. Pada orang yang beriman, segala ini tidak menjadi masalah dan sebaliknya kepada orang yang tidak beriman, mereka begitu benci kepada kematian. Bayangkan jika secara tiba-tiba kita terlantar di padang pasir yang tandus, bila kita dahaga lalu kita terbayangkan akan pentingnya air, tetapi bila kita sedar bahawa tidak sedikit pun air yang kita bawa sebagai bekalan. Ini bermakna orang yang beriman, mereka sudah pasti sudah bersedia dengan segala bekalan untuk perjalanan yang jauh ini, tetapi tidak pada orang yang tidak beriman. Mereka hanyut dengan hal-hal dunia, maksiat dan zina sehingga mereka menyangka mereka sempat bertaubat dan sempat mengumpul dan membawa bekalan untuk hari akhirat itu nanti.

Kesimpulannya disini, ingatlah kita pada kematian, sesungguhnya dengan mengingati kematian itu sahajalah kita dapat memperingati dan mendekatkan diri kita kepada Allah. Janganlah letak akal anugerah Allah itu di kaki, tetapi gunakanlah untuk yang sepatutnya. Hanya orang yang jahat sahaja akan disukai oleh orang yang jahat. Tetapi orang baik pula, dia disukai oleh semua orang termasuklah orang yang jahat.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.