Soalan :
Adakah cara dengan membuat orang takut pada kita merupakan cara yang terbaik untuk orang menghormati kita. Kerana pada masa sekarang ini, ramai orang sudah tidak hormat kepada orang tua. Di pejabat juga kakitangan bawahan sudah tidak lagi menghormati pegawai atasan. Tetapi ada orang kata, lebih baik kita takutkan orang untuk mendapatkan kehormatan daripada orang hormatkan kita seperti biasa.
Jawapan saya :
Firman Allah SWT yang bermaksud :
Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (4:59)
Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (46:15)
Pada saya memanglah kita perlu saling menghormati antara satu sama lain. Tetapi jika ibu bapa atau pemimpin kita berbuat kemungkaran, bukannya kita tidak perlu menghormati mereka. Kita mesti menghormati mereka selagi mereka mengerjakan kebaikan dan solat.
Hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang-orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu. Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di kalangan kamu ialah orang-orang yang kamu benci mereka, dan mereka pun benci kepada kamu. Kamu melaknat mereka dan mereka juga melaknat kamu. Auf bin Malik bertanya kepada Rasulullah, “Apakah kita tidak boleh menentang mereka? Sabda baginda,”Jangan menentang mereka selama mereka masih mendirikan sembahyang di kalangan kamu.”
Jika mereka masih bersolat, maka tidak sepatutnya kita membenci mereka dan tidak sepatutnya kita tidak menghormati mereka. Tetapi sebagai pemimpin, kita juga haruslah menjadi seorang pemimpin yang baik untuk mendapatkan penghormatan dari orang lain. Jika kita hendak orang lain menghormati kita, kita dulu harus menundukkan kepala kita. Tetapi jika orang itu tidak menghormati kita seperti yang sepatutnya, kita haruslah menegur orang itu. Adalah biasa jika pemimpin tidak menerima teguran atau mempunyai hati batu sehinggakan teguran orang lain dianggap sebagai ancaman. Tetapi janganlah kita membenci mereka, tetapi berpalinglah dari mereka sehingga mereka sedar.
Sebenarnya sudah lama amalan hormat-menghormati ini diamalkan dan selama itu jugalah amalan ini semakin dilupakan. Orang muda tidak menghormati orang yang lebih tua dan masyarakat tidak menghormati antara satu dengan lain. Tapi janganlah ianya dijadikan alasan untuk membuat orang lain takut kepada kita semata-mata untuk mendapat kehormatan dari orang lain. Jika kita membuat demikian, apalah bezanya antara kita dan juga firaun yang memerintah pada zaman dahulu kala itu? Kepada orang atasan, memang susah untuk mendapatkan kepercayaan dan kehormatan dari orang bawahan. Tetapi orang atasan terlebih dahulu cuba menyelami diri orang bawahan dan mengambil tahu perihal orang bawahan supaya orang bawahan tahu yang orang atasan itu mengambil berat. Paling utama, orang atasan haruslah berani meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan dan cuba mengambil hati orang bawahan itu kembali.
Menggunakan suara yang tinggi ketika marah itu sudah menjadi amalan biasa. Tetapi amalan ini tidaklah baik dan tidaklah harus di amalkan lagi. Ini kerana suara yang tinggi sudah pasti akan didengari oleh orang-orang di sekitar kita. Ini sudah pasti akan menimbulkan perasaan kurang selesa dan juga aib kepada orang yang dimarahi itu. Untuk apa hendak menjerit-jerit apabila bercakap? Bukannya orang tak mempunyai telinga atau pekak. Bagi saya orang yang marah menjerit-jerit itu ibarat orang yang dirasuk syaitan atau lebih tepat lagi 'GILA'. Apabila ada kesilapan yang terjadi, hendaklah ditegur dengan cara yang berhemah. Jika hendak marah pun, marahlah di tempat yang tersembunyi dan dengan cara yang berhemah lagi bijaksana. Jika kita memarahi orang menggunakan akal dan ilmu dan kemudian mendengar pula kata orang itu untuk membela diri, saya percaya yang suatu hari nanti kita akan dihormati kerana kebijaksaan dan keperihatinan diri kita.
Jadi bagi saya, untuk mendapatkan penghormatan dari orang lain, kita terlebih dahulu mesti menghormati orang itu terlebih dahulu. Itu lebih baik daripada membuatkan orang hormatkan kita kerana takut. Dengan cara ini juga, tidak akan ada cakap-cakap belakang atau umpatan dari orang lain.
No comments:
Post a Comment
Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.