NuffNang

Nuffnang

Translate


Friday, September 10, 2010

Salam Aidilfitri, Eidul-Fitri, Idulfitri Lebaran, Hari Raya Fitrah. Apakah maksud raya yang sebenar?



Pada 1 Syawal 1431 bersamaan dengan 10hb September 2010, seluruh umat Islam di seluruh negara akan menyambut perayaan Hari Raya. Menandakan tamatnya puasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Pada masa ini, seluruh umat Islam akan meraikannya dengan meriah sekali. Segala persiapan telah di lakukan sama ada seminggu atau mahupun sebulan sebelum raya. Segala kuih-muih, ketupat dan rendang telah siap di masak. Boleh dikatakan segalanya baru dan tiada yang lama. Bagi yang kaya, persiapan yang berbeza dilakukan berbanding yang miskin. Walau bagaimanapun, kemeriahan tetap sama dan tetap dirasai.

Jika di tanya kepada rakyat generasi sekarang apakah itu 'Hari Raya Idulfitri' pasti ada yang tahu dan ada yang tidak tahu. Mengikut kepada pendapat orang kebanyakkan, Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah. Idulfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.

Dalam kita merayakan Idulfitri ini setidak-tidaknya ada tiga perkara yang mesti dilakukan iaitu:
  1. Pertama, bertakbir mengagungkan Allah atas segala petunjuk-Nya, sehingga kita tetap berada di jalan-Nya.
  2. Kedua, bersyukur dengan membahagikan rezeki yang diperoleh dengan membayar zakat fitrah.
  3. Ketiga, menahan marah dan bermaaf-maafan.
Tetapi ingin saya bertanya, apakah ini kemenangan yang sepatutnya kita raikan? Kemenangan apa? Kebebasan apa? Kemerdekaan apa? Jika diikut kepada sejarah Nabi Muhammad SAW, Baginda cuma menyambut Idulfitri hanya sekali sahaja didalam seumur hidupnya, iaitu ketika kemenangan umat Islam terhadap orang Kafir Quraisy. Pada masa itu, umat Islam sudah berjaya menawan kota Mekah kembali dan menjadi agama yang terkuat dan mempunyai pengaruh yang besar kepada dunia peradaban pada masa itu.

Jika dilihat pada masa sekarang ini, kita menyambut Idulfitri setiap tahun, tanpa mengetahui apakah maksud Idulfitri itu sendiri. Kebanyakkan dari kita menyambut Idulfitri secara membuta-tuli sahaja. Bagi generasi sekarang, pengertian Idulfitri bagi mereka adalah balik kampung, kuih raya, baju raya, sembahyang raya dan juga duit raya. Bagi mereka yang sudah dewasa pula, bagi mereka Idulfitri itu adalah sama dengan penjelasan yang di atas di mana telah saya petik dari sebuah blog. Tetapi apakah Idulfitri itu yang sebenarnya? Kenapa kita perlu bertakbir, bertahmid dan bertasbih? Mari kita mengenal sejarah Idulfitri ini terlebih dahulu.

Umat Islam seluruh dunia bersama-sama melafazkan takbir, tahmid, dan tasbih membesarkan Allah SWT. Zikir ini adalah tanda kesyukuran di atas kejayaan kita mendidik nafsu dalam meraih kelebihan Ramadhan Al-Mubarak yang lalu. Kalimat-kalimat agung ini dilaungkan berulang kali oleh setiap muslimin dan muslimat semalaman suntuk sejak malam Idulfitri. Takbir ini diucapkan oleh golongan tua, muda, kanak-kanak, remaja dan dewasa di mana-mana sahaja mereka berada sama ada di rumah, di surau atau masjid. Kadangkala gema takbir ini diadakan secara perarakan di sesetengah kampung dan taman perumahan. Untuk lebih menghayati kalimah agung ini adalah lebih baik kita fahami maknanya seperti berikut:

“ Allah Maha Besar, Allah Maha Hebat, Allah Maha Agung. Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Agung itu dan bagi-Nyalah segala puji-pujian. Maha Besar Allah, Maha Terpuji Allah, Maha Suci Allah, baik di  waktu pagi atau di waktu petang, baik di waktu yang silam atau sekarang dan di masa-masa yang akan datang.”

“ Tidak ada Tuhan selain Allah, Dia menepati segala janji-Nya, membantu hamba-hamba-Nya yang berjuang menegakkan kebesaran dan kebenaran kalimah-Nya, Maha kuat tentera dan pasukan-Nya, sanggup Dia menaklukkan seluruh tentera dan mana-mana pasukan pun. Tidak ada yang kita sembah selain hanya Allah. Kita ikhlaskan diri menganut agama ini hanya kerana Allah, kerana Dia semata-mata, sekalipun akan  mengakibatkan benci dan irihati orang-orang kafir.”

“ Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Ya Allah, limpahkan jualah selawat dan salam atas junjungan kami Muhmmad SAW, keluarga sahabat dan pengikutnya yang sudah berjuang menegakkan kalimahmu, beribadat menyembahmu, sebagai obor yang menerangi agama, memberi petunjuk dan pimpinan yang cemerlang”.
Kalimah-kalimah tersebut pertama kali dilafazkan oleh Rasulullah SAW dalam khutbah baginda sesudah menawan Kota Mekah. Dalam usaha merampas semula Mekah, Rasulullah SAW membuat persiapan rapi. Rasulullah SAW memimpin 10,000 orang tentera Islam yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar. Tentera Islam bertolak dari Madinah pada tanggal 19 Ramadan tahun ke-8 Hijrah menuju ke Kota Mekah melalui celah-celah pergunungan dan bukit pasir. Dalam perjalanan itu Rasulullah bergabung pula dengan setiap kabilah yang baginda temui. Akhirnya, tentera Islam memasuki Kota Mekah melalui empat penjuru. Adapun Rasulullah SAW memasuki Kota Mekah melalui Jabal Nur di mana terletaknya Gua Hira tempat turun wahyu pertama. Baginda berhenti sebentar di kubur bapa saudaranya Abu Talib dan di kubur Khadijah r.ha. Salah satu tanda yang menjadi bukti kebesaran Allah ialah masuknya tentera Islam ke Kota Mekah tanpa sebarang pertempuran dan pertumpahan darah. 

Hal ini adalah disebabkan hampir seluruh musuh menyerah diri atau lari meninggalkan Kota Mekah. Sebagai tanda kesyukuran baginda terus menuju ke Kaabah untuk bertawaf sebanyak tujuh pusingan dengan menunggang seekor unta. Setelah selesai bertawaf, baginda masuk ke dalam Kaabah dan berdiri di pintunya sambil berucap kepada kaum muslimin yang sudah berhimpun.
Kemudian baginda membaca ayat 13 dari surah Al-Hujurat yang bermaksud :
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semuliamulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”
Seterusnya baginda menawarkan kebebasan kepada puak musyrikin Quraish tanpa dijadikan tawanan perang. Rasulullah SAW tidak menghukum dan membalas dendam kepada puak musyrikin Mekah walaupun mereka pernah menzalimi baginda dan melakukan kekejaman terhadap orang muslim.  Seterusnya baginda menawarkan kebebasan kepada puak musyrikin Quraish tanpa dijadikan tawanan perang. Rasulullah SAW tidak menghukum dan membalas dendam kepada puak musyrikin Mekah walaupun mereka pernah menzalimi baginda dan melakukan kekejaman terhadap orang muslim.
Kalimat-kalimat agung yang diucapkan oleh Rasulullah sewaktu pembukaan Kota Mekah itu merupakan lafaz takbir yang kita ucapkan pada hari-hari Raya Idulfitri dan Iduladha. Lafaz takbir yang kita ucapkan pada hari raya ini adalah kerana kita juga merasai kemenangan yang gemilang dalam menunaikan ibadat puasa dan berjaya menundukkan musuh-musuh kita yang bernama hawa nafsu. Bahkan menurut Rasulullah SAW musuh yang bernama hawa nafsu ini jauh lebih berat untuk dikalahkan berbanding musuh berupa pasukan tentera. Malah pemimpin politik yang sukar ditumbangkan atau jeneral tentera yang tidak dapat dikalahkan di medan perang pun dapat dikalahkan oleh hawa nafsunya sendiri.

Pada masa kini, adakah generasi-generasi ini tahu akan sejarah agung ini? Bukan sahaja yang muda, malah yang tua pun ada yang tidak tahu akan sejarah ini. Seperti perbalahan di antara parti politik, yang di sana mengatakan disini sesat, disini pula mengatakan yang disana sesat. Jadi siapa yang sesat sebenarnya? Kerana perasaan marah dan dendam, mereka memecah belahkan orang Islam dan agama Islam itu kepada dua bahagian. Mereka menggunakan kalimah Allah dan kata-kata Nabi Muhammad saw semata-mata kerana kepentingan politik mereka sendiri. Yang menjadi musuh Islam dipuja dan dilindungi oleh ulama-ulama ini. Seperti firman Allah di dalam ayat 107 di dalam surah At-Taubah :
" Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka Sesungguhnya bersumpah: "Kami tidak menghendaki selain kebaikan." Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya). "
Amat hina dan keji orang seperti mereka ini kerana mempergunakan Al-Quran dan Hadis semata-semata kerana kepentingan diri sendiri. Dimanakah kemenangan yang hendak di sambut di dalam Idulfitri ini? Apakah makna Idulfitri itu sendiri jika kesucian Islam itu sendiri di cemar oleh orang-orang yang bertanggungjawab dalam memakmurkan dan memelihara kesucian Islam ini?
Saudara dan saudari pembaca sekalian, kenapa takbir yang di laungkan oleh nabi Muhammad saw ini adalah sebanyak 3 kali dan bukan 2 kali sahaja seperti di dalam takbir sembahyang yang lazim? Ini kerana, takbir ini menunjukkan manusia sudah kembali kepada fitrah Allah. Fitrah Allah yang tidak akan berubah sampai bila-bila ialah kita sebagai manusia yang hidup di muka bumi ini mestilah menggunakan Al-Quran. Seperti dalam ayat 30 surah Ar-Ruum :
"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
Jika kita tidak hidup dengan menggunakan Al-Quran, maka terjadilah segala macam kerosakkan di muka bumi Allah ini. Ibarat seperti ketika kita membeli sebuah komputer, jika kita tidak mengkaji, mempelajari dan menggunakan panduan yang diberikan, sudah pastilah komputer itu akan hancur. Begitulah juga keadaannya kepada negara kita ini, semuanya semakin hancur dan masalah yang timbul tidak pernah berkesudahan. Jadi apakah erti kemenangan yang kita nikmati sekarang? Anda yang mempunyai hati, maka anda sendirilah yang membuat penilaian dan keputusan. Saya disini cuma meluahkan pendapat saya sahaja dan saya tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk memaksa anda semua membuat keputusan.

Kepada saudara dan saudari pembaca sekalian, saya ingin bertanya satu soalan dan hanya anda sahajalah yang boleh memberikan jawapannya. Soalannya berbunyi begini, adakah pada bulan Ramadhan sahaja kita berbuat baik dan adakah pada Idulfitri sahaja kita bermaafan? Inilah masanya untuk kita memuhasabah diri kita sendiri. Tanyalah diri sendiri, apa yang sudah terjadi dan apa yang telah kita semua lakukan? Adakah ini yang kita mahukan? Kemenangan seperti inikah yang kita mahukan?




Fikir.....



Renungkan....




Simpulkan.....



Bezakan....

 

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.