SN Keluaran 30 November 2007
[SN150] Mutakhir ini banyak perkembangan yang berlaku sama ada
di dalam mahupun di luar negeri telah menggugat kedudukan parti
pemerintah. Ia juga sekali gus telah membuka mata banyak pihak bahawa
ada sesuatu yang ‘tidak kena’ telah berlaku atau sedang berlaku dengan
sistem pemerintahan yang ada pada hari ini. Jika dulu rakyat hanya
menutup mata dan memendam rasa dengan segala kezaliman dan ketidakadilan
parti pemerintah, kini kesedaran rakyat sudah semakin meningkat dan ia
telah dimanifestasikan dengan pelbagai cara. Pemerintah pula dilihat
semakin tertekan dan terdesak dengan gelombang kesedaran rakyat yang
semakin menerpa mereka. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pakistan,
Myanmar, Indonesia dan tidak terkecuali di negeri orang-orang kafir
sekalipun seperti di Amerika sendiri, United Kingdom dan Australia di
mana iklim perubahan telah mula melanda. Rakyat sudah semakin nampak dan
membenci pemerintah dengan kezaliman, penyelewengan yang mereka
lakukan. Di Malaysia contohnya, baru sahaja perhimpunan besar-besaran di
adakan pada 10 November lalu, beberapa hari lepas muncul pula
perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindu Rights Action Force (Hindraf)
yang menuntut keadilan kerana mendakwa mereka selama ini telah ditindas
oleh parti pemerintah.
Walaupun terdapat banyak pandangan pro dan kontra dengan apa yang
berlaku, namun yang pasti ialah telah muncul satu ‘kesedaran politik’ di
kalangan rakyat bahawa terdapat banyak kepincangan dengan orang atau
sistem yang ‘menguruskan’ mereka. Kesedaran ini mula muncul apabila
rakyat mula merasa bahawa hak-hak mereka selama ini telah dirampas atau
tidak ditunaikan oleh pemerintah. Justeru, tidak hairanlah jika di
Myanmar, sami-sami Buddha yang selama ini tidak pernah terlibat dalam
politik tiba-tiba turun padang dan bukan setakat menyertai, malah
mengetuai perhimpunan besar-besaran menuntut perubahan. Jika di kalangan
orang-orang kafir sekalipun telah wujud kesedaran ini, apatah lagi kita
umat Islam seharusnya mempunyai ‘kesedaran’ yang jauh lebih tinggi. Ini
kerana kita sepatutnya sedar bahawa kita wajib ‘diurus’ oleh pemerintah
dengan Islam – dengan Al-Quran dan As-Sunah, bukannya dengan sistem
taghut (selain Allah). Kita sewajibnya mengetahui apakah hak dan
tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim/rakyat, dan juga apakah hak
dan tanggungjawab pemerintah menurut Al-Quran dan Al-Hadis. Dengan ini
barulah kita tahu sama ada kita ‘diatur’ dengan betul (dengan hak) atau
dengan batil oleh pemerintah yang ada, dan jika kita diatur dengan
bathil, maka wajib pula bagi kita mengetahui apakah kewajipan yang Allah
kenakan ke atas kita untuk membetulkan kebatilan ini. Inilah yang
dinamakan ‘kesedaran politik’ dan kesedaran ini wajib ada pada umat
Islam agar kita semua dapat memastikan satu sama lain hidup hanya dalam
keadaan tunduk dan patuh kepada ketentuan Allah dan Rasul. Dengan itu,
Insya Allah Sautun Nahdhah kali ini akan mengupas pengertian politik
(siyasah) menurut Islam dan mengharapkan agar umat Islam sedar akan
tanggungjawab yang wajib mereka mainkan sebagai seorang ahli politik
Islam.
Kesalahfahaman Tentang Pengertian Politik
Sejak kemunduran berfikir melanda umat Islam dan setelah jatuhnya Daulah
Islam pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), keseluruhan negeri umat Islam
telah diperintah dengan sistem sekular yang berasal dari Barat di mana
asas/tunjang pemerintahannya adalah memisahkan agama dari kehidupan
(faslu din anil hayah). Bermula dari sini, kafir Barat telah berjaya
menguasai dan mengawal pemikiran umat Islam bahawa agama dan politik
mesti dipisahkan (sebagaimana mereka memisahkannya). Mereka seterusnya
mengangkat pemimpin-pemimpin dari kalangan umat Islam yang sepemikiran
dengan mereka dan melalui pemimpin-pemimpin inilah, sistem sekular telah
diterap dan dipertahankan. Apabila setiap detik dan ketika, rakyat
dihidangkan dan dijamu dengan pemikiran-pemikiran kufur ini, sudahnya
pemikiran ini berjaya meracuni mereka. Apatah lagi, dengan adanya
‘ulama’ yang digaji oleh pemerintah untuk ‘membenarkan’ segala tindakan
mereka, maka keyakinan rakyat akan politik dan agama adalah suatu yang
terpisah, semakin kuat. Ulama yang diberi gaji ini akhirnya digunakan
habis-habisan oleh pemerintah sekular yang ada untuk menyokong
pemerintahan dan undang-undang kufur yang diterapkan. Tugas ulama hanya
dipersempit untuk mengeluarkan fatwa terhadap perkara-perkara furu’
(ranting), manakala dalam bab pemerintahan, undang-undang, ekonomi,
pendidikan, jihad, dasar luar dan dalam negeri, ‘tugas’ ulama ini
hanyalah untuk mengangguk dan mengiyakan apa sahaja yang dilakukan oleh
pemerintah. Akhirnya, ulama yang sepatutnya bertugas membetul dan
menasihatkan pemerintah dengan Islam, telah berjaya ‘di sekularkan’ oleh
pemerintah.
Racun sekular yang telah menular hingga ke urat saraf umat ini
menyebabkan wujudnya umat Islam dan jemaah Islam yang tidak mahu
terlibat dengan politik kerana beranggapan bahawa agama dan politik
adalah dua perkara yang berlainan. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada
orang bergelar ulama yang bukan sahaja tidak mahu terlibat dengan
politik, malah menyalahkan individu Muslim mahupun gerakan-gerakan Islam
yang terlibat dengan politik. Kecelaruan ini timbul disebabkan oleh
satu perkara asas, iaitu kerana mereka tidak memahami apakah maksud
politik (siyasah) menurut Islam. Hal ini timbul kerana mereka telah
sebati hidup dalam lingkaran politik kufur/sekular yang ada sekarang di
mana apa yang mereka lihat hanyalah kekotoran dan kejijikan politik yang
diamalkan oleh ahli-ahli politik yang ada. Politik, bagi mereka adalah
suatu yang kotor manakala Islam adalah suatu yang suci, justeru, bagi
mereka Islam tidak sama dengan politik atau perlu dipisahkan dari
politik. Memang benar, kita bersetuju jika dikatakan politik (sekarang)
adalah kotor dan keji. Kenapa? Kerana politik yang ada sekarang adalah
politik kufur – politik yang datangnya dari kafir Barat, politik yang
dikuasai oleh orang-orang yang berkiblatkan Barat, politik yang
membelakangkan al-Quran dan Sunnah, politik yang dipenuhi dengan
penipuan, politik yang dilingkungi ketamakan akan kekayaan dan kerakusan
untuk berkuasa, politik di mana seseorang cuba menjatuh dan mengaibkan
satu sama lain, politik di mana seseorang suka memfitnah satu sama lain,
politik yang dipenuhi dengan rasuah, politik yang membenarkan arak,
judi, riba serta pergaulan bebas merajalela, politik yang mana sistem
dan undang-undangnya dibuat oleh manusia dan pelbagai kekejian lagi yang
ada. Dengan kata lain, politik yang ada sekarang sememangnya kotor dan
keji kerana telah memisahkan agama dengan kehidupan.
Dengan segala kamaksiatan yang ada inilah yang menjadikan umat Islam
melihat bahawa politik itu kotor dan jijik sehingga ada sebahagian umat
Islam yang menolak politik. Memang benar, kita mesti menolak politik
kotor ini, kerana ia adalah politik kufur. Tetapi dalam masa yang sama,
kita tidak boleh menolak dan hanya membiarkan politik kotor ini terus
bermaharajalela dan menguasai kita, bahkan kita wajib menggantikannya
dengan politik Islam (siyasah syar’iyyah) yang bersih dan benar.
Sesungguhnya inilah apa yang wajib kita lakukan sebagai seorang Muslim.
Kita sedih kerana ada ulama yang tahu akan segala kekejian dan kekotoran
yang ada dalam politik sekarang, bahkan menolak politik kerana
kekotorannya, tetapi ada di antara mereka yang tetap ‘rela dan redha’
dilantik oleh ahli politik dan terus berkhidmat dengan pemerintah dalam
sistem politik yang penuh maksiat ini. Walhal apa yang wajib dilakukan
oleh para ulama ini adalah ‘membersihkan’ segala kekotoran ini dengan
menasihati pemerintah atau ahli-ahli politik yang ada agar kembali
mengamalkan politik Islam (siyasah syar’iyyah), bukannya hanya duduk
sepejabat atau semeja (dengan pemerintah) dan bergelumang dengan sistem
kufur dan politik kufur ini.
Definisi Politik
Terdapat di kalangan umat Islam yang kerana telah dibesarkan dengan
sistem pemerintahan sekular yang diwarisi dari British ini, beranggapan
bahawa politik adalah pilihan raya dan pilihan raya adalah politik.
Pemikiran mereka telah disempitkan sehingga sudah tidak boleh keluar
dari pengertian ini. Kemalasan belajar dan mengkaji fiqh Islam
menyebabkan mereka ini dilanda kejumudan berfikir yang amat parah, malah
lebih parah lagi, mereka sanggup belajar, mengkaji dan mengamalkan
politik sekular, tapi tidak sanggup untuk belajar, memahami dan
mengamalkan politik Islam. Ada yang terjerumus dengan kesalahan yang
fatal bila berani mengatakan bahawa politik tidak ada di dalam Islam
atau Islam perlu dipisahkan dari politik. Ada juga yang terkeliru dengan
mengakui bahawa ada politik di dalam Islam, tetapi kita tidak perlu
mementingkannya. Juga, ada yang bercelaru pemikirannya dengan mengakui
bahawa politik adalah sebahagian dari Islam, tetapi dia sendiri tidak
mahu terlibat di dalam politik. Sebagaimana dimaklumkan, segala
ketidakjelasan dalam berfikir ini wujud kerana mereka tidak memahami
apakah maksud siyasah (politik) menurut Islam.
Secara lughah (bahasa), siyasah (politik) berasal dari kata sasa,
yasusu, siyasatan yang bererti ‘mengurus kepentingan seseorang’.
Perkataan siyasatan menurut pengertian bahasa adalah
‘pemeliharaan/pengurusan’. Dalam kamus Al-Muhits dikatakan – sustu
ar-ra’iyata siyasatan, ai amartuha wa nahaituha, ai ra’itu syu’naha bi
al-awamir wa an-nawahi (aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh, atau
aku memerintah dan melarangnya, atau aku mengurusi urusan-urusan mereka
dengan perintah-perintah dan larangan-larangan). Ini dari segi bahasa.
Adapun maksud siyasah menurut istilah/syara’ adalah ri’ayah asy-syu’un
al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama
ada dalam atau luar negeri) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah
ad-Dustur]. Pengertian ini diambil dari beberapa hadis di mana
Rasulullah saw menggunakan lafaz ‘siyasah’ untuk menunjukkan maksud
pengurusan/pemeliharaan urusan umat, antaranya hadis riwayat Bukhari dan
Muslim,
“Adalah Bani Israel dahulu yang mengatur urusan mereka adalah
nabi-nabi (tasusuhum al-anbiya’). Bila wafat seorang Nabi, maka diganti
dengan Nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi
sesudahku tetapi akan ada Khulafa’ dan jumlahnya banyak. Para sahabat
bertanya, ‘Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?’ Nabi bersabda,
‘Penuhilah ba’iat yang pertama, yang pertama sahaja, berikanlah kepada
mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban
mereka atas apa saja yang mereka urus/pelihara.”
Berkenaan lafaz tasusuhum al-anbiya’, Ibn Hajar al-‘Ashqalani berkata,
“Dalam hal ini terdapat isyarat bahawa harus ada bagi rakyat, orang yang
mengatur urusan mereka, membimbing mereka ke jalan yang baik, dan
memberikan keadilan kepada orang yang dizalimi dari orang yang zalim.”
[Fath al-Bari, VI/497] Menurut Imam As-Suyuthi pula, tasusuhum bermaksud
“yang menjalankan urusan mereka” [As-Suyuthi, ad-Dibaj, IV/456]. Dan
menurut Imam an-Nawawi, tasusuhum bererti “yang menangani urusan mereka
sebagaimana para amir dan wali menangani urusan rakyat.” [Imam
an-Nawawi, Sahih Muslim bi Syarh an-Nawawi, XII/231-232]. Justeru, hadis
ini menjelaskan makna as-siyasah (politik). Secara bahasa, kata
sasa-yasusu-siyasah juga boleh membawa makna ra’a syu’unahu (memelihara
urusan-urusannya). Dengan kata lain, as-siyasah (politik) maknanya
adalah ri’ayah syu’un al-ummah (pengaturan dan pemeliharaan
urusan-urusan umat). Inilah pengertian politik menurut Islam, yang mana
berdasarkan hadis ini, semua nabi, termasuk Nabi Muhammad saw
menjalankan peranan politik mereka sebagai pengurus, pengatur, dan
pemelihara urusan umat. Dan peranan politik (mengatur urusan umat) ini
dengan jelas akan diambil alih pula oleh para Khalifah yang sekali gus
menjelaskan bahawa pemimpin/pengurus umat Islam (untuk seluruh dunia)
setelah Rasulullah adalah Khalifah, yang akan mengurusi/memelihara
kepentingan umat Islam.
Dari pengertian politik ini, tidak hairanlah jika ada ulama menekankan
bahawa politik dan agama adalah ibarat dua saudara kembar [Lihat: Imam
al-Ghazali, Al-Iqtishad fî al-I‘tiqad, hlm. 199]. Dikatakan juga, “Jika
kekuasaan (as-sulthan) terpisah dari agama atau jika agama terpisah dari
kekuasaan, nescaya keadaan manusia akan rosak” [Lihat: Ibn Taimiyah,
Majmu‘ al-Fatawa, 28/394]. Ulama-ulama yang ikhlas, baik yang salaf
mahupun yang khalaf memahami pengertian politik dari perspektif ini dan
mereka adalah golongan yang selalu melakukan amar ma’ruf nahi mungkar
terhadap pemerintah sehingga ada yang dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan
ini jauh berbeza dengan kedudukan ulama sekarang di mana ada yang
menolak politik, ada pula yang memahami dan mengambil politik ala
sekular dan ada pula yang bersekongkol dengan pemerintah sekular dan
menyalahkan gerakan Islam yang melakukan aktiviti politik memuhasabah
pemerintah.
Berdasarkan maksud politik (siyasah) menurut Islam, maka adalah jelas
bagi kita bahawa mengurus/memelihara (ambil peduli) tentang urusan umat
Islam adalah tanggungjawab politik yang dibebankan oleh Allah swt ke
atas bahu pemerintah. Ini sesuai dengan sabda Nabi saw bahawa,
“Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas orang yang dipelihara (rakyat)nya”
[HR Muslim].
Memelihara rakyat bermaksud mengambil berat tentang
kepentingan-kepentingan rakyat yakni menunaikan segala hak dan kewajipan
rakyat mengikut ketentuan yang telah Allah perintahkan ke atas mereka.
Bagi setiap individu Muslim dan gerakan Islam pula, mereka juga wajib
berpolitik dengan maksud wajib ke atas mereka memerhatikan urusan atau
kepentingan umat Islam. Wajib bagi mereka memastikan bahawa mereka
‘diatur’ (oleh pemerintah) dengan hukum-hakam Islam dan wajib pula bagi
mereka memuhasabah pemerintah sekiranya pemerintah tidak menerapkan
hukum Islam ataupun mengabaikan kemaslahatan kaum Muslimin. Dalam hal
ini, Allah swt telah mewajibkan adanya segolongan (jemaah/gerakan) dari
kalangan umat Islam agar mengajak manusia kepada Islam dan melakukan
amar ma’ruf nahi mungkar. Firman Allah,
“Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru
(berdakwah) kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh kepada yang ma’ruf
serta mencegah dari yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang
menang.” [TMQ Ali Imran (3):104].
Inilah tanggungjawab politik umat Islam yang telah diwajibkan oleh Allah
swt. Peri pentingnya muhasabah dari rakyat kepada pemerintah yang
zalim, yang tidak menerapkan Islam sehingga Allah dan RasulNya
meletakkan satu darjat yang tinggi kepada mereka yang melakukan aktiviti
politik (muhasabah) ini, dengan status sebagai sayid asy-syuhada
(penghulu para syahid). Sabda Nabi saw,
“Penghulu syuhada adalah Hamzah ibn Abi Thalib dan seseorang yang
berdiri di hadapan penguasa yang jahat/zalim, lalu menyerunya berbuat
baik dan mencegahnya berbuat mungkar, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa
tersebut)” [HR Hakim].
Rasulullah adalah Ahli Politik
Sesungguhnya amat salahlah orang yang mencontohi Rasulullah hanya dalam
bidang akidah, ibadat dan akhlak semata-mata. Sesungguhnya amat naiflah
pandangan orang yang tidak mahu terlibat dengan politik dan hanya
mementingkan soal akidah dan ibadat sahaja. Tidakkah mereka sedar bahawa
Rasulullah adalah uswatun hasanah bagi kita di dalam semua perkara,
bukan hanya akidah, ibadat atau akhlak semata-mata? Tidakkah mereka
sedar bahawa Rasulullah adalah seorang ahli ekonomi dan ahli politik
yang agung? Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah merupakan seorang
pemimpin sebuah kutlah (kelompok/gerakan) Islam (semasa di Mekah) dan
baginda adalah Ketua Negara Islam (semasa di Madinah) dan sekali gus
merupakan seorang pemimpin dunia Islam? Adakah sebagai seorang pemimpin
sebuah kutlah, Rasulullah bukan ahli politik? Adakah sebagai seorang
pemimpin negara dan pemimpin dunia, Rasulullah bukan ahli politik?
Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah mengajak manusia kepada (agama)
Islam dan dalam masa yang sama melakukan aktiviti politik di dalam
dakwahnya, baik di Mekah mahupun di Madinah? Tidakkah mereka sedar akan
hadis Rasulullah yang masyhur (semasa Rasulullah masih di Mekah),
“Demi Allah, andaikata mereka meletakkan matahari di tangan kananku,
dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini,
hinggalah Allah benar-benar memenangkanku atau aku hancur bersamanya,
sekali-kali tidak akan aku tinggalkan.” [HR At-Thabari].
Hadis ini sebenarnya agak panjang di mana pada awalnya orang kafir
Quraisy sudah tidak tahan dengan dakwah Rasul yang meremeh-remehkan
akidah dan kepercayaan mereka, mencaci sembahan-sembahan mereka dan
‘menghentam’ segala bentuk ‘sistem kufur’ yang mereka amalkan. Kafir
Quraisy tahu dan memahami bahawa apa yang Rasulullah inginkan ialah
sebuah kekuasaan/negara di mana sistem Islam dan hukum Allah boleh
diterapkan di dalamnya. Atas sebab inilah mereka cuba menawarkan atau
memberi kuasa kepada Rasulullah, cuma dengan syarat Rasulullah mesti
meninggalkan dakwah baginda. Jadi, apakah dakwah Rasulullah yang
‘menghentam’ akidah, pemerintahan dan sistem kufur yang ada ini bukan
dakwah yang bersifat politik? Apakah usaha Rasulullah untuk mendapatkan
kekuasaan/negara (untuk menerapkan hukum Allah) ini, bukan aktiviti yang
bersifat politik? Hadis ini (dan banyak lagi hadis lainnya) sebenarnya
dengan jelas menunjukkan bahawa aktiviti dakwah yang Rasulullah lakukan
adalah berbentuk politik. Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah
tidak pernah kompromi atau tunduk kepada orang-orang kafir (apatah lagi
bersekongkol dengan pemerintah dan sistem kufur) di dalam aktiviti
dakwah/politik baginda. Walhal jika difikirkan secara logik, adalah
lebih baik Rasulullah menerima sahaja tawaran kuasa yang diberikan oleh
orang kafir Quraisy, kemudian baginda bolehlah merubah sistem yang ada
setelah baginda berkuasa. Namun, hal ini samasekali tidak dilakukan oleh
baginda Rasul kerana Islam wajib dimenangkan di atas kekufuran,
bukannya disatukan atau dikompromikan dengan kekufuran. Di dalam dakwah
dan aktiviti politik untuk mendapatkan kekuasaan, bukan maslahat/manfaat
dunia yang diambil kira oleh Rasul, tetapi kepatuhan kepada perintah
Allah dan keredhaanNya sahajalah yang dicari.
Mengatakan Rasulullah berdakwah hanya dari segi akidah, ibadah atau
akhlak sahaja tanpa mengaitkannya dengan siyasah/politik (mengurus
urusan umat) adalah menyalahi al-Quran itu sendiri. Adalah suatu yang
amat dangkal apabila seseorang itu hanya mementingkan aspek akidah
tetapi tidak mementingkan aspek siyasah (yang merupakan sebahagian dari
hukum syara’). Ini kerana terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh
tentang aspek siyasah/politik di dalam dakwah Rasul walaupun ketika itu
masih di peringkat awal dakwah (di Mekah). Malah, terdapat ayat-ayat
Al-Quran (semasa di Mekah) yang membincangkan (dan ada yang diturunkan
kerana) hal-hal politik yang sedang berlaku (contohnya Surah ar-Rum).
Ini belum lagi mengambil kira ayat-ayat Madaniyah yang begitu banyak
menyentuh tentang politik. Rasulullah di peringkat awal dakwah lagi
telah diperintah oleh Allah agar melakukan aktiviti siyasah dengan
melaknat sistem kufur yang dipraktikkan dan membetulkan sistem tersebut.
Firman Allah,
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan
sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain
mereka minta dipenuhi dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau
menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.” [TMQ al-Muthaffifin (83):1-3].
“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang
mengherdik anak yatim, dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makan
orang miskin.” [TMQ al-Ma’un (107):1-3].
Ayat yang pertama di atas adalah ‘menghentam’ sistem ekonomi yang
diamalkan oleh kafir Quraisy yang suka menipu dan ayat yang kedua pula
‘menghentam’ (celaan Allah ke atas) pembesar/pemerintah Mekah yang suka
mengherdik anak yatim dan tidak mempedulikan orang-orang miskin di
kalangan mereka. Ayat-ayat ini dan banyak lagi ayat lainnya di mana
Allah mengajar Rasulullah (dan orang-orang yang beriman) bagaimanakah
aktiviti dakwah siyasah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang
pendakwah, bukan hanya dakwah dari segi akidah sahaja, walaupun di
peringkat awal dakwah. Jadi, dalam keadaan sekarang pun samalah
kedudukannya di mana kita sedang dilingkari oleh sistem yang rosak, maka
adalah menjadi kewajipan atas kita untuk menghentam sistem yang rosak
ini dan berusaha menggantikannya dengan sistem Islam.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Dalam pada kita yakin bahawa Allah itu Esa, dalam
masa yang sama kita wajib menyeru (tidak memaksa) orang kafir menyembah
Allah Yang Esa; dalam pada kita yakin al-Quran adalah Kalamullah, kita
dalam masa yang sama wajib solat dan menegur saudara kita yang tidak
bersolat, wajib meninggalkan riba dan menegur saudara kita yang
mengambil riba; dalam pada kita yakin Rasulullah adalah penutup para
Rasul, kita dalam masa yang sama wajib memuhasabah pemerintah yang tidak
mengikut perintah Rasulullah; dalam pada kita beriman dengan qadha’ dan
qadar, kita juga wajib melakukan amar ma’ruf nahi mungkar; dalam pada
kita yakin adanya syaithan dan taghut, dalam masa yang sama kita
diharamkan berdiam diri dengan sistem taghut yang ada; dalam pada kita
yakin Daulah Khilafah akan tegak semula dengan izin Allah, kita dalam
masa yang sama wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan
Khilafah. Saudaraku sekalian! Inilah kaitan antara akidah dan siyasah.
Kesempurnaan iman itu adalah apabila kita mengambil dan mengamalkan
Islam itu di dalam semua aspek dan bukannya mengambil sebahagian dan
meninggalkan sebahagian. Apabila seseorang itu telah masuk Islam melalui
pintu tauhid, maka wajiblah baginya untuk menyempurnakan ajaran Islam
dengan memasuki pintu ibadah, pintu politik, pintu ekonomi, pintu
pendidikan, pintu uqubat, pintu jihad dan semua pintu-pintu lain yang
ada. Wallahu ‘alam.
"Dia telah mensyari'atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada (agama)-Nya orang yang kembali (kepada-Nya)." (42:13)
NuffNang
Nuffnang
Translate
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.