Mingguan Malaysia, 15 Nov 2009
Seperti
yang dijangka pantang soal pendidikan vernakular disentuh, maka
melompatlah segelintir ultra kiasu ini. Mereka mengatakan itu hak
mereka. Kepentingan etnik mesti dijaga. Jangan campurtangan. Sedangkan
saya bercakap dalam soal pembinaan negara bangsa, memperkasakan masa
depan dan kepentingan nasional, dengan tidak menafikan hak bangsa lain
untuk belajar bahasa ibunda. Apakah kita masih tidak faham? Lebih
ekstrim lagi, mereka mencadangkan jika mahu dibuat sekolah satu aliran,
jadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar, bukan bahasa Melayu. Ternyata
mereka mengenepikan sama sekali dan memandang
rendah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bila bahasa
itu dipandang rendah, tidakkah pandangan terhadap bangsa bahasa tersebut turut terpalit sama?
Maka
tidak hairanlah hari ini mereka amat bangga dan megah dengan nama-nama
tambahan seperti Joe, Michael, Nicol, Amy, Martin dan lain-lain.
Kadangkala naik mual memanggil dan mendengarnya. Mereka bangga dikaitkan
dengan Kristian dan barat, namun tidak mahu langsung dikaitkan dengan
Islam dan Melayu. Tidakkah timur itu lebih dekat dengan kita berbanding
barat? Ada yang sanggup menukar kad pengenalan baru semata-mata taksub
dengan nama barat. Kenapa bila tiba nama-nama seperti Muhammad, Mahmud,
Aziz, Ridhuan dan nama-nama Islam lain tidak dipandang tinggi, malah
dilihat dengan nada penuh kebencian? Hina sangatkah nama Melayu dan
Islam? Penggunaan nama-nama Islam dianggap tidak ada standard dan
glamour? Tidakkah nama-nama timur ini lebih berwajah 1Malaysia? Saya
tidak mahu untuk membuka tembelang yang lain. Biarlah saya simpan buat
sementara waktu ini.
Bukanlah
niat saya untuk menanamkan api kebencian antara kaum. Tetapi serangan
demi serangan menyebabkan saya terpaksa berterus-terang bagi menunjukkan
segelintir mereka ini yang tidak pernah bersyukur. Mereka lebih rela
diasimilasi dan diakulturasikan dengan barat berbanding Melayu dan
Islam.
Apa
jua perkara yang berkaitan asimilasi dan akulturasi dengan Melayu Islam
akan dipandang rendah dan langsung tidak akan diamalkan. Manakala cara
hidup barat diterima bulat-bulat. Misalnya, cara hidup Melayu seperti
berpakaian Melayu, bersongkok, makan menggunakan tangan dan muzik
Melayu. Pernahkah kita lihat orang bukan Melayu sekurang-kurangnya
mengakulturasikan dengan cara sedemikian? Kalau adapun boleh dibilang
dengan jari.
Dalam
konteks 1Malaysia, adalah lebih wajar kita mengasimilasikan atau
mengakuturasikan diri dengan cara hidup Melayu Islam, kerana ia lebih
membawa manfaat kepada masa depan negara. Orang Islam amat kagum dan mudah cair jika
ada di kalangan bukan Melayu yang mencuba meminjam cara hidup mereka.
Ini tidak, kita lebih barat dari barat. Termasuk juga dengan orang
Melayu. Kadang-kadang sampai terlupa bahawa mereka ini orang Melayu
kerana terlalu kebaratan.
Sebagai
Cina Muslim, bangsa saya memang tidak mahu dikaitkan dengan Melayu
langsung terutama dari segi cara hidup. Kalau adanya yang berjinak-jinak
dengan Melayu hanyalah untuk dipergunakan dan diperalatkan. Amat
sedikit sekali orang Melayu yang bekerja di syarikat-syarikat bukan
Melayu. Syarat-syarat seperti keupayaan bahasa Mandarin dijadikan alasan
untuk menolak pekerja Melayu. Berbanding dengan syarikat-syarikat
Melayu yang mengambil pekerja-pekerja bukan Melayu, atas alasan bukan
Melayu lebih rajin daripada Melayu. Bahkan, kadangkala bukan Melayu juga
dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Siapakah yang lebih sanggup
memberi dan menerima sebenarnya dalam hal ini?
Kalau
adapun orang Melayu (termasuk Indonesia) diambil bekerja hanya
dipergunakan untuk melariskan jualan makanan dan perkhidmatan. Melayu
diperalatkan. Nama Melayu akan digunakan untuk melariskan jualan seperti
jenama makanan yang mempunyai nama-nama Melayu dan Islam. Sedangkan
hak-hak mereka asas mereka tidak penuhi. Orang Melayu tetap redha sebab
itulah periuk nasi mereka. Berapa pekerja-pekerja Melayu Islam yang
datang mengadu kepada saya kerana dihalang untuk solat Jumaat dan solat
fardu? Saya boleh senaraikan satu per satu syarikat tersebut. Solat
dikatakan membuang masa dan mengurangkan kualiti dan produktiviti.
Sedangkan kita sedia maklum, semakin takut seseorang itu dengan Allah,
semakin kuat dia bekerja untuk manusia, sama ada majikannya itu Islam
atau tidak. Sifat takutkan Allah akan menjadikan dia berhati-hati
melakukan pekerjaan. Saya tidak nafikan ada yang kuat solat, tetapi
malas dan culas.
Apakah wujud perancangan untuk memisahkan orang Melayu dengan Tuhannya agar mereka menjadi cair? Apabila
ikatan mereka dengan Allah telah cair, maka lunturlah semangat jihad
mereka, maka mudahkan untuk mensekularkan dan menguasai mereka. Inilah
tindakan licik yang mesti kita sedar. Saya tidak maksudkan jihad itu
dengan berperang, tetapi cukup sekadar jihad itu menuntut perubahan
untuk menjadikan kita lebih baik dan dekat dengan Maha Pencipta.
Kadangkala
saya tidak menyalahkan mereka. Mereka mencari dan mengambil kesempatan.
Kita sahaja yang leka dan syok sendiri. Kita tidak menghargai apa yang
kita ada, apatah lagi untuk menguatkuasakannya. Kita rela korbankan
segala yang ada pada kita asalkan negara dapat bergerak maju ke hadapan,
walaupun yang dikorbankan itu adalah maruah agama dan bangsa. Misalnya
kedudukan bahasa dan dasar pendidikan.
Kenapa
kita tidak kaji kekuatan yang ada pada kita sebelum mengkaji kekuatan
orang lain? Saya amat pelik kadang-kadang, kita begitu beriya-iya
mengkaji orang lain sehingga terlupa kepada diri sendiri. Ini
menyebabkan kekuatan sendiri terabai disebabkan oleh terlalu taksub
terhadap orang lain. Apakah ini sebenarnya sekularisme?
Dalam
konteks pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi,
pelajar-pelajar diwajibkan belajar dan memahami pelbagai teori yang
datang daripada barat (terutamanya) dan timur daripada tokoh-tokoh
tertentu. Teori-teori ini bukan sahaja disuruh hafal, malahan mereka
yang berjaya menerangkan lebih lanjut itulah pelajar yang terbaik dan
diberi markah tinggi. Contoh kecil, teori strategi dan peperangan Tsun
Tzu. Pelajar-pelajar dipaksa menghadam teori ini luar dan dalam, kulit
ke kulit, sehingga kadangkala terlupa tanggungjawab terhadap al-Quran
dan Sunnah. Strategi Tsun Tzu tidak hanya diaplikasikan dalam peperangan
tetapi juga dalam perniagaan. Sedangkan Tsun Tzu tidak pernah masuk
universiti, apatah lagi mengambil SPM dan PMR.
Paling
saya hairan, kita lupa dalam agama kita ada pakar dan pemikiran
strategi perang yang cukup hebat seperti Nabi Muhammad SAW, Khalid Ibn
Walid, Omar al-Khattab, Salahuddin al-Ayubi dan sebagainya. Tokoh-tokoh
amat jarang dibincang dan ketengahkan. Apatah lagi untuk dihafal
teori-teorinya. Apakah kurangnya tokoh-tokoh ini berbanding dengan Tsun
Tzu, Kautilya (India), Clausewitz, Duhe dan sebagainya? Saya tidak
menolak tokoh-tokoh ini, tetapi biarlah diseimbangkan dengan tokoh kita
yang tidak kurang hebatnya.
Apakah
Tsun Tzu pernah mendapat ijazah atau PhD daripada universiti? Tidak
juga. Kenapa hari ini pelajar-pelajar universiti pelbagai peringkat
mengkaji strategi peperangan orang yang tidak pernahpun ada atau masuk
universiti? Nabi Muhammad SAWpun tidak pernah masuk universiti. Tetapi
Nabi adalah Rasul pilihan Allah. Makamnya amat tinggi. Maka tidak hairan
Michael Hart (2006) meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia agong
maha hebat daripada 100 orang terhebat dunia meninggalkan Nabi Isa, Nabi
Musa, Buddha, Konfucius, Aristotle, Tsun Tzu dan ramai lagi tokoh-tokoh
hebat. Malangnya tidak ramai yang mengkaji.
Hari
ini sudah terbalik, barat amat berminat mengkaji peribadi orang timur.
Tetapi orang timur sibuk mengkaji barat sehingga terabai kehebatan tokoh
sendiri. Justeru, saya tidak hairan, bila orang bukan Islam tidak mahu
diasimilasikan atau diakulturasikan sebab kita tidak pernah hormat diri
tokoh kita atau diri sendiri.
Saya
tidak percaya kita boleh bangun dengan acuan orang lain. Sejarah
menunjukkan semua bangsa bangkit dengan kekuatan dan acuan sendiri.
Jepun bangkit dengan semangat Kejepunan, Cina dengan semangat Kecinaan.
Apakah kita mahu bangun dengan semangat kebaratan? Sudah tentu orang
Islam mesti bangun dengan semangat keIslaman. Barulah kita mendapat
keredhaan Allah SWT.
Baru-baru
ini saya menghadiri satu mesyuarat penting kementerian. Kebetulan dalam
mesyuarat tersebut ada seorang usahawan Amerika boleh berbahasa Melayu
secara pelat. Hanya kerana seorang Mat Salleh, serta merta pengerusi
mesyuarat terpaksa korbankan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa
Inggeris. Saya amat yakin presiden Iran tidak akan sama sekali melakukan
sedemikian, walaupun beliau pandai berbahasa Inggeris. Kalau kita
sendiri tidak yakin dengan bahasa sendiri, siapa lagi yang mahu kita
harapkan untuk mendaulatkan bahasa kita. Bahasa jiwa bangsa.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
No comments:
Post a Comment
Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.