Mingguan Malaysia, 29 November 2009
Ramai
orang bertanya, kenapa Lee Kuan Yew berjaya dengan sistem satu aliran
pendidikan di Singapura dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar. Lee Kuan Yew dipuji melambung kerana dikatakan sanggup
korbankan bahasa ibunda demi kepentingan negara. Betulkah? Jawapan
saya, Lee Kuan Yew tidak ada pilihan. Justeru, beliau terpaksa bertindak
tegas. Jika ada pilihan, saya yakin beliau tidak akan bertindak
sedemikian. Ingat! bahasa Mandarin masih dijadikan subjek penting di
sana berbanding bahasa Melayu, dengan alasan mereka adalah majoriti.
Sejarah
Singapura perlu difahami kenapa Lee Kuan Yew memilih bahasa Inggeris?
Jika Singapura bukan berasal daripada sistem kenegaraan Melayu, saya
yakin Lee Kuan Yew tidak akan memilih bahasa Inggeris. Lee Kuan Yew
sudah lama dapat membaca pemikiran psikologi orang Melayu. Kebolehan
beliau menulis dan membaca jawi sudah dapat mencairkan orang Melayu.
Jika bahasa Cina digunakan, sudah tentu ia akan ditentang oleh orang
Melayu ketika itu.
Singapura
tidak boleh dipisahkan dengan Melayu. Sehingga ke hari inipun saya
masih mengatakan Singapura adalah sebuah negara Melayu di Kepulauan
Melayu. Kecuali Singapura itu berada di gugusan kepulauan seperti
Taiwan, baru saya mengikhtiraf negara itu sebagai negara bangsanya. Lee
Kuan Yew hanya mengorbankan bahasa mandarin buat sementara waktu.
Janganlah kita buat andaian bahawa Singapura maju kerana menggunakan
bahasa Inggeris. Sifat ultra kiasu amat berkait rapat.
Kita
pula janganlah terlalu hairan kenapa Singapura boleh keluar sebagai
negara maju dalam jangka masa cepat? Jika ditakdirkan Singapura sebesar
Malaysia atau Indonesia, saya yakin ia tidak ke mana juga. Singapura
bernasib baik sebab faktor lokasi dan saiz banyak membantunya untuk
keluar menjadi negara maju. Jangan terlalu kagum dengan kepemimpinan
mereka, sehingga kita lupa apa yang telah dilakukan terhadap negara kita
sebelum ini. Masih ingatkah sejarah dan titik hitam pemisahan
Singapura-Malaysia? Adakah kemasukan Singapura ke dalam Malaysia
benar-benar ikhlas? Bacalah sejarah. Apa yang penting hari ini ialah
bagaimana untuk menangani sikap ultra kiasu mereka yang amat bahaya
kepada politik negara kita. Ingat, pengikut-pengikut ultra kiasu
Singapura ini masih ramai berada di negara kita, dengan sebab itu mereka
tidak habis-habis menuntut dan mendesak. Apakah kita masih tidak sedar?
Ringkasnya, mereka tidak bersendirian.
Lihatlah
berapa banyak tanah-tanah strategik yang telah tergadai? Begitu juga
dengan rumah-rumah mewah yang telah dibeli? Jangan lupa perjanjian air
dan kawasan tadahan air yang dijaga oleh tentera Singapura walaupun
berada di Johor. Lee Kuan Yew teramat jarang melawat Malaysia selepas
pemisahan, kenapa beliau sanggup ke negara kita baru-baru ini terutama
ke Pulau Pinang? Sedarkah kita apa yang dibincangkan secara tersurat dan
tersirat? Fikirkanlah. Jangan terlepas pandang pula nasib Melayu di
Pulau Pinang? Janganlah bila sudah terhantuk baru mengadah. Sebelum
terhantuk perlulah berhati-hati. Bila nasi sudah menjadi bubur sudah
terlambat. Perpecahan sesama kita adalah petanda jelas kejayaan mereka.
Sedarlah
wahai saudaraku, Melayu Islam di Singapura telah berjaya dicairkan.
Hari ini segelintir orang Melayu yang digula-gulakan dengan kuasa sudah
tidak seperti Melayu Islam. Mereka bukan sahaja telah cair, tetapi sudah
tidak berhati Melayu Islam, kecuali mereka yang masih bertahan di
madrasah. Sejauhmana madrasah dapat bertahan? Itu masih menjadi
persoalan besar hari ini. Kedudukan madrasah menjadi semakin terhimpit.
Begitu juga dengan masjid-masjid mereka. Apakah kita belum sedar?
Cukuplah Pulau Batu Putih yang telah terlepas. Janganlah selepas ini
kita berputih mata. Ambillah pengajaran ini sebelum terlambat. Mereka
yang kuat berjiwa Melayu Islam memang tidak akan terpilih menjadi
pemimpin atau menteri di sana. Dengan sebab itu, orang seperti Dr Lily
Zubaidah Rahim (2001) terbuang di bumi sendiri. Hanya kerana bercakap
menjaga kepentingan Melayu Islam. Apakah kita tidak mengambil
pengajaran?
Cuba
kita fikir kenapa hari ini Singapura membelanjakan hampir USD11 bilion
setahun memperkuatkan sistem pertahanan negaranya dengan populasi hanya
4.6 juta yakni nombor 23 dalam ranking dunia? Lebih dua kali ganda lebih
besar daripada perbelanjaan pertahanan Indonesia (USD 4.7 bilion).
Perbelanjaan pertahanannya jauh meninggalkan negara kita yang tidak
langsung tersenarai dalam ranking dunia. Sedarkah kita sekutu rapat
mereka adalah musuh-musuh Islam seperti Israel, Amerika, Australia,
Britain dan sebagainya? Tidakkah kita terfikir, apakah agenda mereka
sebenarnya kalau bukan kita? Saya yakin kita tidak akan terlepas pulau
Batu Putih jika kekuatan kita melebihi kekuatan mereka. Ancaman dan
amaran kita sudah cukup untuk menggetarkan mereka. Tetapi kenapa mereka
begitu berani dan kurang ajar? Sebab mereka tahu, sejauhmana kekuatan
mereka dan telah bersedia menghadapi apa jua situasi. Tendensi untuk
mereka menang besar adalah tinggi.
Mungkin
pakar-pakar pertahanan tidak bersetuju dengan saya. Tetapi kita mesti
ingat, hari ini kita tidak lagi berperang menggunakan manusia,
kecanggihan teknologi adalah kekuatannya. Bandingkan teknologi
pertahanan perang kita dengan Singapura. Bezanya ibarat langit dengan
bumi. Kita sepatutnya membelanjakan wang negara untuk pertahanan.
Malangnya, wang ringgit kita banyak digunakan untuk berpolitik daripada
mempertahankan negara. Sudah sampai masanya kita kurangkan sedikit
berpolitik untuk membina kekuatan pertahanan negara.
Sampai
bilakah kita mahu terus bersangka baik dengan mengatakan perang dingin
telah tamat, dunia sudah aman? Musuh telah tiada, maka kita tidak perlu
menjadi kuat? Tidakkah kita sedar bahawa musuh bertambah kuat dan
sentiasa berpakat merancang untuk memusnahkan kita?
Justeru,
saya menyerukan supaya kita jangan terlalu berpolitik. Masa dan wang
ringgit banyak dihabis untuk menewaskan sesama sendiri. Malangnya, kita
tidak hanya berpolitik dalam politik, tetapi dalam bidang lain pun
berpolitik juga. Misalnya perebutan jawatan atau kuasa dalam badan-badan
awam, berkanun, NGO dan sebagainya. Ini belum termasuk isu rasuah.
Pendek kata, dalam bidang apapun diperkatakan, umat Islam kita
berpolitik. Politik yang merugikan dan melemahkan. Ultra kiasu ambil
kesempatan.
Musuh
sentiasa merancangkan untuk melaga-laga kita sesama umat Islam. Hari
ini kita dilaga-lagakan dengan Indonesia? Siapakah provokatornya?
Marilah kita fikirkan bersama. Logiknya mudah, bila negara-negara Islam
berjiran bergaduh sesama sendiri, mudahlah negara ultra kiasu dan orang
ultra kiasu ini menyusun strateginya. Janganlah kita terlalu beremosi,
takut memakan diri.
Barat
telah berjaya melaga-lagakan negara-negara Arab. Hasilnya, negara haram
Israel berjaya menguasai negara-negara Arab dengan nisbah 1 orang
Israel, lebih 100 orang Arab. 100 Arab tidak dapat mengalah 1 Israel.
Sedangkan dari segi logik, akan banjir 1 orang jika 100 orang
pakat-pakat kencing ke atas Israel ini. Keadaan berlaku
sebaliknya. 1 berjaya mengalahkan 100. Senario Arab-Israel hampir sama
dengan negara kepulauan Melayu-Singapura. Mereka sudah bersedia dengan
segala kekuatan teknologi. Kita asyik berpolitik tanpa kesudahan.
Kita
bernasib baik kerana hari ini kita menjadi pengguna teknologi, bukan
pencipta. Kebaikannya, kita tidak perlu lagi menghabiskan masa mencipta
teknologi kerana ianya telah tersedia dicipta. Masa mencipta teknologi
telah banyak dijimatkan. Tuntutan hari ini adalah menggunakan teknologi
tersebut sepenuhnya dan diperkembangkan lagi kehebatan seperti yang cuba
dilakukan oleh Iran hari ini. Tetapi Iran cuba dimangsakan oleh barat.
Barat
dan ultra kiasu ini telah berjaya membaca pemikiran umat Islam. Mereka
tahu teknologi mereka digunakan oleh Islam. Orang Islam akan menjadi
kuat jika memperkembangkannya. Justeru, sebelum ia berlaku maka
dipecah-belahkan dan dicairkan mereka supaya mudah dikuasai. Ternyata
strategi mereka berjaya. Umat Islam berjaya dikuasai dan
dipecah-belahkan. Bukan kerana mereka tidak pandai menggunakan
teknologi, mereka pandai. Tetapi mereka dihasut supaya mempertikai atau
bergaduh sesama sendiri dalam isu-isu remeh temeh seperti tarian pendet
Bali. Malangnya, yang tidak bergaduh pula tidak memanfaatkan teknologi,
tetapi menggunakannya secara salah. Akhirnya jiwa menjadi kosong dan
cair.
Justeru,
saya merayu agar kita dapat memulakan langkah pertama dengan
menyelesaikan isu-isu asas mengenai pendidikan di negara kita. Ini
kerana pendidikan amat penting sebagai benteng pertahanan. Ia harus
dimulakan dengan sekolah satu sistem. Asas-asas patriotisme berada di
situ. Jangan perjudikan masa depan dan keselamatan negara sistem ini
demi untuk mempertahankan kuasa hari ini. Jika dengan kehilangan
populariti, masa depan pendidikan boleh dipertahankan, rasanya tidak
mengapa kita tidak popular buat sementara waktu. Apa guna populariti,
jika masa depan pendidikan dan negara menjadi semakin terhakis. Berundur
bukan bererti kita mengalah. Tetapi untuk bersiap sedia dengan
kekuatan, daripada kita terus mengalah dan terus kalah. Saya masih
teringat kata-kata latin yang berbunyi si vis pacem para bellum,
bermaksud jika mahukan keamanan bersedialah untuk berperang. Adakah kita
sudah bersedia ke arah itu, di kala orang lain telah lama bersedia?
Jika mereka terlalu ultra kiasu, adakah kita akan terus mengalah?
Kitapun kena bertindak tegas ke atas mereka untuk kepentingan masa
depan. Ingat! kita akan kalah jika terus mengalah.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
No comments:
Post a Comment
Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.