NuffNang

Nuffnang

Translate

Friday, April 3, 2009

Situasi di Pejabatku.

Assalamualaikum semua....

Hari ini saya nak ceritakan pada anda semua situasi atau kondisi di pejabat saya. Pada mula saya melaporkan diri di sana, saya dapat berkenalan dengan bermacam-macam jenis manusia. Tapi yang lebih menarik perhatian saya ialah, kumpulan saya ditugaskan bersama-sama dengan saya di dalam sebuah unit ini. Pada mulanya semua ahli kumpulan saya kelihatan malu-malu dan kaku, tetapi saya cuba juga untuk mengenali diri mereka dengan lebih dekat. Sebenarnya saya amat suka memerhatikan gelagat dan tingkah-laku manusia. Ini adalah hasil pemerhatian saya setelah 4 bulan bersama-sama mereka. Apa yang saya buat ini adalah kerana manusia di ciptakan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk saling kenal mengenali antara satu dengan lain.

Firman Allah SWT :-

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [49:13]

Didalam pemerhatian saya ini dapatlah saya memerhatikan ada manusia yang busuk hati, baik hati, gila glamour, tak tahu malu dan suka mengumpat (amalan biasa dalam mana-mana pejabat). Disini saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, tetapi apa yang berlaku ini amatlah menyedihkan saya. Bila ditegur, makin menjadi-jadi dan makin keras kepala. Hari-hari mereka solat, tapi soalnya disini ialah solat apa yang mereka lakukan? Sebab selepas solat, mereka akan kembali melakukan perbuatan mungkar. Seperti dalam firman Allah di dalam surah 29 ayat 45 yang bermaksud :-

"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Jika ini yang berlaku di pejabat saya atau di mana-mana sahaja, solat apa yang mereka kerjakan itu jika ianya tidak dapat mencegah mereka dari melakukan perbuatan mungkar? Mengumpat tu jangan cakap lah, hampir hari-hari ada saja berita panas yang hendak dikongsikan bersama. Tidak cukup dengan itu, jenaka lucah dan kata-kata keras sering dilontarkan sesama mereka tanpa mengira umur. Dimana adab mereka dalam menghormati orang yang lebih tua? Jika jenaka lucah itu sudah menjadi sebati pada diri mereka, perlukah setiap hari ianya menjadi makin teruk dan melampaui batas?

Sekarang saya sudah tahu siapa mereka sebenarnya dan ada kala saya menjadi begitu menyampah dengan gelagat mereka. Rasa mual dan loya pun ada apabila mereka berkelakuan sebegitu. Saya menyangkakan hanya saya sahaja yang benci dengan kelakuan mereka itu, tetapi ada juga 2-3 orang lain yang kurang senang dengan gelagat mereka itu yang seperti tidak tahu malu. Hendak dikatakan kejutan budaya, ada diantara mereka yang sudah biasa dengan hidup di bandar. Jadi apa yang berlaku sebenarnya? kenapa mereka jadi sedemikian rupa? Jawapannya akan saya berikan di penghujung artikel ini.

Apa yang menyedihkan saya ialah, mereka mudah membenci orang dan menilai orang lain yang kononnya orang itu telah mengganggu mereka dan mereka terus menjadikan orang itu musuh mereka. Sedangkan orang itu tidak membuat apa-apa salah pun dan orang itu adalah orang yang baik. Baik maksud saya disini ialah, tidak mengumpat, menjaja fitnah, dan mengganggu orang lain. Tetapi tidak semena-mena orang itu dilabel dengan bermacam-macam nama dan mereka tidak segan silu terus menyebarkan kebencian mereka itu kepada orang lain dengan harapan orang lain juga akan membenci orang itu. Kenapa jadi sebegini?

Sebenarnya semua yang berlaku ini ada sebabnya dan sebab yang utama ialah pengaruh dari keadaan luar. Orang pada masa sekarang lebih suka kepada perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah dan mudah. Walaupun kerja mereka siap, tapi perkara yang mereka buat itu tidak sepatutnya mereka buat. Dah tau berdosa, tapi masih lagi nak buat....sedihnya saya. Satu lagi sebab yang nyata ialah, didikan dari ibu bapa. Saya tidak mengatakan yang ibu bapa mereka tidak pandai mendidik anak-anak mereka. Tetapi pasti ada yang silap sehinggakan mereka menjadi sedemikian. Kita pada masa kecil dulu ibarat kain putih yang perlu dicorak dengan baik agar menjadi seorang manusia yang baik. Jadi ibu bapa memainkan peranan yang amat penting sekali. Bukannya cikgu atau orang dewasa yang lain yang memainkan peranan utama, tetapi ibu bapalah yang memainkan peranan yang utama. Orang-orang selain ibu bapa mereka itu adalah watak sampingan sahaja dan tidak lebih dari itu.

Selain dari itu, kita juga banyak didedahkan dengan panorama yang tidak sihat di sekeliling kita. Keadaan sekeliling kita ini juga banyak memainkan peranan dalam pembentukan minda kanak-kanak. Kanak-kanak ini masih belajar, jadi apa yang mereka lihat itulah yang mereka ambil. Jadi siapa yang harus dipertanggungjawabkan? Bukan untuk menyalahkan sesiapa, tapi sekadar untuk muhasabah diri sahaja. Tetapi sekecil-kecil yang hendak dinampakkan adalah tanggungjawab diri kita sendiri dan salah diri kita sendiri. Kita yang membiarkan keadaan sebegini, kita yang memejamkan mata apabila perkara mungkar terjadi di depan mata kita, kita yang mendiamkan diri apabila kejahatan berlaku di depan mata kita. Jadi janganlah hendak disalahkan pada orang lain. Salahkan diri sendiri tu dulu, kemudian barulah mulakan perubahan pada orang lain.

Tapi yang pastinya, saya tidak kesal dalam mengenali mereka. Banyak yang saya pelajari dan banyak yang saya fahami dari mereka. Inilah kondisi yang saya nampak di dalam tempat saya bekerja. Pengalaman ini saya akan gunakan untuk memperbaiki diri saya sendiri dan juga orang lain. Saya harap mereka akan cepat sedar dan cepat berubah selagi masih sempat. Neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Tiada siapa yang dapat mengubah diri kita melainkan kita sendiri.

Wassalam.

1 comment:

  1. salam

    tak ada apa yang dihairan dengan keadaan seperti ini dik. memang begitulah keadaan di pejabat. Hubungan suami orang dan isteri orang tiada sebarang batasan. Yang penting, kita perlu pandai memainkan peranan. Jgn keterlaluan dalam sesuatu, bergaul seadanya dan jangan mudah terpengaruh.

    ReplyDelete

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.