Translate

NuffNang

Thursday, August 7, 2008

Jagalah Maruah Diri dan Keluarga.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Pada masa sekarang sudah terlalu ramai yang sudah tidak mengambil pusing perihal maruah. Bila sebut saja pasal maruah, pasti ramai saja yang tahu dan tidak kurang juga yang melenting kerana hal ini begitu sensitif terutama sekali pada kaum perempuan. Sebenarnya maruah itu tidak mengira lelaki dan perempuan. Islam menekankan soal maruah diri kerana ia adalah gambaran sebenar keperibadian Muslim yang mengikut prinsip syarat Islam sejati. Setiap tingkah-laku, tindak-tanduk, pergaulan, tutur kata dan cara berpakaian selari kehendak Islam menjadikan maruah diri seseorang itu berada di tempat tinggi serta terhormat, seperti yang terhias pada diri Rasulullah S.A.W. Semua orang mempunyai maruah dan harus dijaga dan dipelihara dengan baik. Menjaga nama baik diri sendiri dan keluarga adalah perkara yang dituntut didalam Islam. Tetapi kali ini saya akan menekankan mengenai maruah seorang perempuan kerana kaum inilah yang sering mengabaikan perintah dari Allah untuk menjaga maruah mereka iaitu aurat. Hal ini ditegaskan Baginda Rasulullah S.A.W dalam sabda,"Bahawasanya aku diutuskan Allah untuk menyempurnakan keluhuran akhlak (budi pekerti)." (Hadis Riwayat Ahmad)

Islam ada memberikan garis panduan yang jelas dan senang untuk diikuti oleh setiap umat tentang bagaimana seharusnya seseorang itu menjaga maruah dirinya. Tetapi ternyata umat Islam terutamanya golongan remaja atau muda-mudi meremehkan panduan yang diberi. Sebab itulah kita dapat melihat pakaian mereka mendedahkan aurat, ketat sehingga menampakkan yang tersirat dan susuk tubuh seseorang itu. Ini adalah disebab pemikiran yang terlalu mengikut budaya barat. Mereka tidak lagi takut pada larangan agama dan ancaman Allah kerana kejahilan. Salah siapakah itu? Kalau anda tanya saya, sudah pastilah salah ibu dan bapa. Sejak kecil lagi ibu dan bapa atau penjaga (bagi anak yatim piatu) memainkan peranan penting dalam mentarbiyah anak-anak mereka dirumah dahulu sebelum dilepaskan ke dunia luar. Tapi adalah lagi menyedihkan lagi jika ibu dan bapa juga jahil tentang agama. Apabila keyakinan terhadap agama tipis, maka akhlaknya pasti ikut dihakis dan pewarisnya pasti akan ikut sama. Seperti yang di ungkapkan oleh Muhammad Quthb dalam buku Jahiliah Abad 20:".....apabila akidah menyeleweng, lambat laun moral pasti turut menyeleweng."

Sukakah anda wahai kaum wanita jika mata-mata lelaki melihat tubuh badan anda seolah-olah menelanjangi anda? Sukakah anda jika ada mana-mana lelaki yang mengambil kesempatan seperti meraba, mengintai, menggesel, menipu dengan cinta agar dapat meniduri anda dan yang paling teruk sekali ialah dirogol!? Suka!? Saya percaya, pelacur sekalipun tidak suka perkara sedemikian lebih-lebih lagi dirogol. Bila akidah sudah terpesong, akhlak punya menyeleweng, maka generasi yang dihasilkan akan datang juga akan turut rosak dan hancur. Seharusnya kita insaf akan hikmah Allah yang memerintahkan hambaNya supaya berpakaian mengikut syariat. Pakaian bukan saja melindungi tubuh badan, malah membuatkan pemakainya nampak kemas dan cantik. Memakai pakaian yang indah bukan tujuan bermegah dan menyombong diri, sebaliknya ialah supaya nampak sopan, bersih dan menutup aurat. Ini menjadikan seseorang itu ada harga diri dan terpelihara maruahnya. Bagi yang tidak menjaga pakaiannya itu bermakna mereka tidak menjaga maruah dan harga diri mereka, atau patutkah saya katakan "mereka itu tiada harga diri dan tiada maruah diri?"

Pasti ada yang marah apabila membaca apa yang saya tulis ini, tapi inilah fitrah manusia yang pendek akalnya. Tahu dimana kesilapan mereka, tapi masih dilanggar juga perintah Allah. Dimakah rasa segan dan malu mereka ini ditinggalkan? Apa yang mereka cari? Kenapa diikutkan rasa hati dan nafsu? kenapa keras sungguh hati mereka dan degil? Tahukah anda semua bahawa sifat keras hati itu selalu dikaitkan dengan pengaruh syaitan dan iblis? adakah anda itu pengikut syaitan dan iblis? atau adakah anda itu sendiri adalah syaitan dan iblis yang bertopengkan manusia? Syaitan atau iblis itu dijadikan dari api, bahang api itu memberi kesan buruk pada hati. Apabila hati sudah keras ia menyebabkan sukar untuk mendengar dan membenarkan firman Allah, dan sulit sekali untuk menerima nasihat Rasul. Apabila semua itu tidak berlaku apatah lagi nasihat dari kawan, keluarga dan masyarakat. Tidak takutkah dengan hukuman Allah? tidak takutkan dengan kecelakaan yang bakal menimpa nanti?

Perintah menutup aurat dapat diperhatikan dalam fiman Allah yang bermaksud ,"Wahai Nabi, suruhlah isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa keluar)" - Surah al Ajzan, ayat 59. Mereka yang menjaga maruah dan harga diri mereka sering menampilkan ciri sangat mengagumkan seperti taat perintah Allah, berakhlak mulia dan terpuji, tawaduk, pemaaf, baik dalam pergaulan serta lunak tutur kata. Maknanya mereka yang menjaga maruah diri adalah mereka yang memiliki sifat insan yang dikasihi Allah seperti sabda Rasulullah S.A.W, "Sikap yang baik, menjaga diri dan hidup berhemat adalah satu bahagian daripada dua puluh empat bahagian daripada kenabian." (Hadis riwayat Tarmizi). Jadi, renung-renungkanlah......siapakah anda sebenarnya? Islam pada nama atau Islam yang hanya tertulis di kad pengenalan sahaja atau Islam yang sebenarnya?

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.