NuffNang

Nuffnang

Translate


Friday, August 1, 2008

Kasih Sayang Seorang Ayah.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Sudah lama saya tidak menulis di dalam blog ini. Mungkin kerana kesibukan kerja dan perjumpaan dengan kawan-kawan lama membuatkan saya terlalu letih hendak menulis. Pada kali ini saya ingin berkongsi mengenai pendapat dan pandangan saya mengenai insan yang bergelar bapa. Pernah tak kita dengar pepatah yang mengatakan 'Kasih ibu membawa ke Syurga, kasih ayah tiada penghujungnya.' Bila kita mendengar atau membaca ayat ini, pasti ramai yang menganggap lebih baik menjaga ibu dari menjaga ayah. Malah ada yang memberikan perhatian yang lebih kepada ibu kerana inginkan syurga. Sebenarnya apa yang saya hendak katakan ialah, kasih sayang dari kedua-duanya adalah sama penting dan hendaklah dijaga sama adil dan beratnya. Tanpa ayah tiadalah kita didunia ini. Ayah mencari rezeki untuk memberikan sesuap nasi untuk isteri dan anak-anaknya. Ayah mencari tempat berteduh untuk keluarganya. Ayah menjaga maruah keluarganya tanpa mengira masa dan tempat. Ayah mendidik kita menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.

Tetapi pada masa sekarang terlalu ramai ayah yang menjadi sifat seperti binatang. Merogol anak sendiri, menyeksa dan mendera anak dan isteri, meninggalkan anak dan isteri tanpa sebarang nafkah dan lain-lain lagi perkara buruk yang saya tidak sanggup hendak ceritakan disini. Sebenarnya terjadinya perkara seperti ini pasti ada sebab dan puncanya. Saya tidak berniat hendak menyalahkan sesiapa pun, tetapi sekadar untuk meluahkan pandangan saya untuk dikongsi bersama semua pembaca sekadar menjadi renungan dan menginsafi diri sahaja. Maafkan saya jika ada yang tersinggung dengan luahan hati saya pada kali ini. Bagi saya, apa saja yang kita panggil ayah kita itu berdasarkan sifatnya itu, dia tetap ayah kita. Islam mewajibkan kita menghormati kedua ibu bapa kita. Dalam Islam juga adalah merupakan tanggungjawab ayah untuk mendidik anak-anaknya ke jalan yang benar dan yang diredhai Allah. Jika yang sebaliknya terjadi, ayah yang kita harap akan membimbing anak dan menjadi pelindung keluarga sudah jauh menyimpang dari ajaran Islam, maka perkara ini amatlah penting dan sangat mengecewakan. Bagi anak yang soleh yang merasa bertanggungjawab mengajak ayahnya ke jalan kebenaran, gunakanlah beberapa pendekatan untuk berdakwah atau untuk mengajaknya ke jalan yang benar.

Jika kita merasa tidak mampu untuk menasihati secara langsung terhadap ayahnya maka gunakan oleh ketiga yang memungkinkan si ayah mendengar kata-katanya. Seperti sahabat karibnya, datuk atau adik beradik ayah tersebut. Mintalah bantuan kepada mereka agar menasihatinya dan gunakan pendekatan yang terbaik iaitu dengan hikmah dan jangan goreskan keegoaannya agar nasihat tersebut mudah diterimanya. Setelah itu kita sendiri bolehlah membeli buku-buku agama yang berkaitan dengan masalah yang sedang dihadapi, serta letakkan di tempat-tempat yang memungkinkan ayah kita melihat atau tertarik untuk membacanya. Mungkin pada saat tertentu ia tertarik untuk membacanya dan terbuka hatinya untuk kembali kepada pekerjaan yang baik. Yang paling penting sebagai anak yang soleh berdoalah selepas solat lima waktu agar ayah anda berubah dari perangai yang tidak baik tersebut dan mohonlah kepada Allah SWT agar dilimpahkan hidayah didalam sanubari ayah kita.

Bukan dengan meminggirkan ayah kita atau membenci mereka. Ini bukan yang diajar oleh Islam. Islam ada menyuruh kita berbuat baik kepada sesiapa sahaja meskipun orang itu adalah orang bukan Islam. Keagungan ajaran Islam mewariskan segala aspek kehidupan termasuk hubungan antara kita dengan ibu bapa. Jika kita mengabaikan tanggungjawab tersebut maka musnahlah sendi agamanya dan hancurlah nilai kehidupannya. Kederhakaan anak akan mewariskan penderitaan berpanjangan dan menguburkan berkah dalam kehidupan dunia dan akhirat. Hanya anak yang soleh menikmati makna hakiki dari kehidupannya, kerana dapat menghirup air kedamaian dari kedua ibu bapa kita, insya Allah. Jadi, seteruk mana perlakuan bapa kita terhadap kita, adalah tidak menjadi hak kita untuk membenci mereka. Di dalam Islam seorang anak dituntut agar bersopan santun dan menyayangi orang tuanya walaupun orang tuanya berbeza agama. Jadi konsep berbakti dan menghormati orang tua tidak hilang lantaran perbezaan agama, kepercayaan, amalan dan sebagainya apatah lagi jika mereka seagama dengan kita, maka menjadi lebih besar penghormatan kita terhadap mereka. Memang tidak semua orang tua menjalankan perintah agama dengan betul, namun begitu sebagai seorang anak yang soleh sentiasa menggunakan berbagai pendekatan untuk mengajak dan memujuk orang tua mereka agar menjalankan segala yang diperintahkan oleh agama. Walaupun dalam konsep dakwah seperti yang dianjurkan oleh nabi "sampaikan kebenaran itu walaupun pahit" namun gunakan hikmah, ertinya memahami segala aspek jiwa dan perasaan orang yang kita ajak ke arah kebenaran tersebut. Jangan gunakan bahasa yang kasar atau pendekatan yang keras dalam menyampaikan kebenaran, agar kebenaran itu nampak cantik dan manis. Sebagai seorang anak yang prihatin terhadap pengamalan agama ibu atau bapa, hendaklah banyak mendoakan keduanya agar memperoleh hidayah dan kelapangan jiwa dalam menerima dan mengamalkan ajaran Islam. Jangan sakiti hati mereka dengan walaupun sedikit, dan jangan gores perasaan mereka dengan nasihat-nasihat yang keras dari kita, namun ungkapkanlah dengan kata-kata yang baik dan lembut. Mungkin ketika ini hati mereka belum terbuka, namun pada masa yang lain, Allah memberikan petunjuk dan hidayah berkat doa dan ungkapan yang lembut dari bibir anaknya yang soleh/solehah. Sediakanlah bahan bacaan agama di rumah anda, agar saat-saat terluang dapat mereka gunakan untuk melihat dan merujuk sesuatu yang mereka belum fahami. Jangan menjadi guru di depan ibu bapa dan keluarga, jadilah sebagai seorang anak soleh yang bersahabat dengan segala masalah yang dihadapi mereka, dengan sendirinya mereka akan mudah menerima nasihat dan cadangan dari kita.

Permasalahannya sekarang, anak-anak sendiri kurang dengan didikan agama. Jadi apabila mereka dikhianati oleh bapa mereka, mereka lupa akan tanggungjawab mereka sebagai anak di dalam Islam. Ada anak yang dirogol oleh bapa mereka, ada anak yang ditinggalkan oleh bapa mereka sewaktu kecil. Sebenarnya bukanlah menjadi suatu alasan untuk kita membenci ayah kita kerana perkara sebegitu. Ada yang membenci namanya yang berbin atau berbintikan ayahnya itu. Ada yang tidak suka jika ada orang lain memanggil nama penuhnya berserta nama ayahnya itu. Itulah yang dinamakan kekurangan didikan Agama Islam dan kurangnya Iman seseorang itu. Mungkin saya tidak pernah merasa apa yang dirasai oleh mereka yang mempunyai pengalaman seperti itu. Tapi yang pasti ia adalah satu pengalaman yang dasyat bagi mereka yang mempunyai pengalaman ini dan saya amat bersimpati dengan mereka. Tetapi saya percaya dengan Rukun Iman yang terakhir iaitu "Percaya kepada Qada' dan Qadar". Saya percaya, jika kita tidak menghormati ibu bapa kita, dan lupa akan tangungjawab kita kepada ibu bapa kita, meskipun mereka itu salah atau tidak, Allah akan membalasnya suatu hari nanti. Suatu hari nanti kita akan menjadi ibu atau bapa kepada anak-anak kita. Hendakkah kita suatu hari nanti anak-anak kita menjadi derhaka sepertimana kita dahulu derhaka kepada ibu bapa kita? Mungkin ada diantara kita yang sudah menanamkan didalam hati yang mereka tidak akan memperlakukan anak-anak kita seperti mana kita diperlakukan dahulu. Tetapi anggapan itu salah, beranggapan yang kita akan selamat dan bahagia adalah jauh sama sekali jika kita menderhakai kepada ibu bapa kita. Dalam Al-Quran dan Hadith ada menyatakan wajib bagi kita menghormati ibu bapa kita dan berdosa besar jika kita menderhakai keduanya. Suatu hari nanti kita pasti akan mendapat balasan dariNya.

Pernah ada satu kisah benar di mana seorang anak tidak taat kepada kedua ibu bapanya, walaupun ibu bapanya seorang yang tidak taat kepada agama. Anak itu telah didoakan oleh ibu dan bapanya agar tidak bahagialah dia sehingga bila-bila pun! Doanya itu dimakbulkan dan tidak berkat dan tidak tenanglah hidup anaknya itu. Apa saja kejayaan yang dicapai oleh dia tidak memberi sebarang makna. Hidupnya kosong dan tidak mempunyai seri, dirinya sentiasa muram seperti ada kehilangan sesuatu. Pada saat dia hendak menghembuskan nafasnya yang terakhir, amatlah seksa dirinya sehinggalah dia meminta ampun kepada kedua ibu bapanya itu. Kisah ini saya ambil daripada majalah Mestika. Dari cerita ini dapatlah kita belajar yang doa ibu bapa itu amatlah dimakbulkan meskipun ibu bapa kita itu bukan dari yang taat pada agama. Kita sering melihat drama dan filem yang menceritakan kisah derhaka anak kepada ibu dan bapanya. Kita sedih dan kadangkala kita gembira apabila melihat kesudahannya. Kenapa kita tidak sedikit pun mengambil iktibar dan insaf dari cerita itu dan mempraktikkannya? di mana letaknya otak kita? di lutut? bila dipanggil bodoh, kita marah. Habis tu apakah perkataan yang sesuai?

Kesimpulannya disini ialah, walau seteruk mana pun ibu bapa kita itu. Sama ada kita dibuang pada masa kecil atau ditinggalkan sehingga kita hidup susah dan merempat, di rogol dan di dera sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk menghormati kedua ibu bapa kita. Sudah tertulis di dalam Al-Quran dan Hadith yang kita wajib melakukannya. Kalau kita seorang yang selalu solat, tapi kita tidak mengikut ajaranNya, maka sia-sialah segala amal kita itu. Itu pada yang taat pada agama, bagaimana pula dengan yang tidak taat pada perintah Allah pula? Sudah tentu celakalah hidupnya itu nanti dan tidak akan ada keberkatan kepada dirinya sama ada di dunia atau di akhirat nanti. Kepada yang masih ada ibu dan bapa, segeralah bertaubat dan meminta maaf kepada mereka. Kepada yang sudah tiada keduanya, perbanyakkanlah doa dan sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka, kerana dengan doa yang kita kirimkan itulah yang akan membuatkan mereka selamat dan aman di sana. Berubahlah sebelum terlambat, kerana jika sudah terlambat semuanya tidak bermakna lagi. Janganlah jadi orang yang kesal dan kurang bijak, kerana yang berkuasa itu sememangnya Allah dan Allah tidak pernah lalai dan lupa keatas apa yang kita buat.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.