NuffNang

Nuffnang

Translate

Wednesday, August 20, 2008

Agama Islam ( bagi yang tidak tahu).

Assalamualaikum Warahmatullah.

1. Takrif Agama Islam.

Dalam mentakrifkan agama dari sudut pandangan Islam, para ulama telah merumuskan beberapa takrif, antaranya :-

  • Agama Islam ialah peraturan-peraturan dari Allah S.W.T. untuk manusia yang berakal, untuk memberi keyakinan mencapai jalan yang bahagia lahir dan batin, dunia dan akhirat bersandar kepada wahyu Ilahi yang terhimpun dalam Kitab Suci yang diterima oleh Muhammad S.A.W.
  • Agama Islam ialah ketetapan Ilahi yang menghantar manusia yang berakal dengan usahanya (Ikhtiar), kepada kebaikkan dunia dan kemenangan di akhirat.
  • Agama Islam ialah kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tatahukumNya berasaskan wahyu Ilahi kepada Nabi / RasulNya, untuk mengatur hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Allah.
Apabila kita perhatikan, definisi yang ketiga ini lebih hampir pengertiannya kepada firman Allah di dalam Al-Quran iaitu :-

"Mereka (manusia) akan ditimpa oleh kehinaan, di mana jua pun mereka berada, kecuali bilamana mereka berhubungan dengan Allah dan berhubungan dengan manusia"

2. Pengertian Islam.

Kata Islam adalah berasal dari bahasa Arab. Maka untuk mengambil pengertiannya, ia dapat ditinjau dari berbagai pokok kata, iaitu :-

  • Jika diambil dari kata "Salima", maka Islam itu bermakna "Selamat".
  • Jika diambil dari kata "Salmi", maka Islam itu bermakna "damai".
  • Jika diambil dari kata "Istaslama", maka Islam itu bermakna tunduk dan patuh serta taat kepada Allah S.W.T berdasarkan petunjuk dan panduan hidup yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Selain dari itu kata "Istaslama" juga bermaksud tulus atau ikhlas.
  • Kalau diambil dari kata "Sullam", maka Islam itu bermakna "tangga" atau "peningkatan". Kerana orang Islam mestilah selalu meningkat atau maju cara berfikirnya.
3. Maksud dan Tujuan Islam.

Agama Islam, suatu agama yang diturunkan oleh Allah kepada umat manusia mengandungi maksud dan tujuan yang tersendiri, yang secara keseluruhannya adalah untuk kebaikkan manusia dan kesejahteraan hidupnya di dunia dan akhirat. Sebahagian maksud dan tujuan agama itu ialah :-

  • Supaya segala langkah dalam hidup dan kehidupan manusia itu sentiasa memperolehi bimbingan dan petunjuk daripada Allah S.W.T. Segala keinginan atau hajat yang hendak kita capai, sama ada susah atau senang dilaksanakan, semoga mendapat bimbingan daripada Allah.
  • Supaya segala perjalanan hidup manusia di dunia ini mempunyai hubungan dengan Zat yang mutlak, iaitu Allah S.W.T.
  • Supaya manusia memperolehi kehidupan dan perasaan yang tenteram, aman dan damai, tidak ada rasa khuatir dan putus asa dalam mencapai segala cita-citanya yang baik. Asalkan manusia itu sentiasa taat menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya.
  • Supaya terdapat keseimbangan antara jasmani dan rohani, terpelihara daripada perbuatan keji dan mungkar, niat jahat dan menyeleweng, sehingga dapat merasakan anugerah dan nikmat Allah terhadap dirinya, serta menjauhkan sifat rakus dan tamak.
Demikianlah sebahagian besar maksud dan tujuan agama dan berdasarkan beberapa huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa Agama Islam benar-benar diturunkan untuk kebaikkan manusia.

4. Kandungan Agama Islam.

  • Bahagian Tauhid - Bahagian ini berkenaan dengan akidah manusia dan pengabdiannya kepada Allah S.W.T. Bidang ini memperkatakan tentang kepercayaan kepada zat Allah, menerangkan sifat, zat dan perbuatanNya, menolak kepercayaan kepada selain dari Allah, menerangkan cara-cara manusia mengabdikan dirinya kepada Allah. Semuanya itu dikemukakan dengan dalil naqal dan dalil akal. Pembahasan lengkap dalam hal ini diperkatakan dalam rukun Iman, yang membimbing manusia secara batiniyah.
  • Bahagian Fiqh - Bahagian ini memperkatakan tentang cara dan peraturan beribadah yang mesti dilakukan oleh manusia. Secara lengkapnya, bidang ini memperkatakan masalah ibadah, muamalah, munakahah, dan jinayah dan lain-lain yang berhubung dengan keperluan masyarakat manusia. Bidang ini dibahas dalam huraian rukun Islam dan ia berfungsi sebagai pembimbing manusia secara zahiriyah.
  • Bahagian Akhlak - Bahagian ini merupakan ilmu pembimbing segala perbuatan dan perilaku manusia dan selaku penyempurnaan dari kedua-kedua ilmu di atas dan tidak kurang pula ilmu ini memperkatakan tentang tangungjawab manusia sebagai hamba Allah terhadap sesama manusia dan terhadap Allah Yang Maha Kuasa. Kelanjutan dari ilmu akhlak ini dikenal dengan "Ilmu tasawwuf".

1 comment:

  1. mbak/mas hehehe... blognya pasangi iklan biar dapat duit aku liat di search engine blog saudara lumayan teratas , ni link program bisnis www.kumpulblogger.com yang menyediakan iklan dan kita dapat bayaran

    ReplyDelete

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.