NuffNang

Nuffnang

Translate

Saturday, July 28, 2012

Tudung @ Menutup Aurat : Boleh berkompromi ke?

Tadi saya baru terbaca satu status dalam FB seorang makhluk Allah ni. Terkejut juga saya bila saya baca status individu tersebut. Ianya mengenai tudung dan prasangka orang terhadap orang yang bertudung dan tidak bertudung. Komen-komen yang diberikan dibawah juga amat mengejutkan saya. Ada yang menghina golongan bertudung dan ada juga yang melabelkan perempuan bertudung dengan bermacam-maca label. Tidak kurang juga ada yang menyamakan perempuan bertudung dengan perempuan yang tidak bertudung dan ada juga yang memuji perempuan yang tidak bertudung kerana bersikap lebih baik perangainya dari perempuan yang bertudung.

Pada pendapat saya, perempuan yang bertudung tetap baik. Walaupun ada segelintir daripada mereka yang bersikap sebaliknya. Dalam membuat satu-satu kenyataan, kita tak boleh bersikap bias atau prejudis terhadap sesuatu benda atau perkara. Jika kita bersikap demikian, kita boleh dikatakan tidak layak untuk memberi apa-apa komen. Kerana komen yang diberikan akan menyemarakkan lagi api kebencian dan perpecahan diantara satu sama lain. Komen-komen stereotaip seperti itulah yang patut kita hindari dan patut kita elak. Sepatutnya komen seperti itulah yang patut kita buang dari FB kita.

Yang paling saya takuti ialah apabila membaca komen-komen dari wanita yang tak bertudung yang mempertahankan perbuatan mereka. Ada yang mengatakan yang bertudung itu adalah hak mereka. Jauh terpesong mereka ni dari ajaran yang sebenar. Wahai para wanita sekalian, memakai tudung atau lebih tepat lagi ialah menutup aurat itu adalah wajib. Itu bukan hak kamu semua dan kamu tidak boleh berkompromi terhadap arahanNya itu. Tidak ada nas atau hadis yang mengatakan menutup aurat itu adalah hak manusia.

Komen yang paling saya takuti ialah, ada individu yang mengatakan tiada paksaan dalam Islam. Ya, memang betul tiada paksaan dalam Islam, tetapi jika kita tidak mengetahuinya. Jika kita mengetahui tentang halal dan haram sesuatu perkara, ianya wajib di paksa. Ini bukan saya yang kata tetapi Allah yang mengatakannya di dalam Al-Quran iaitu di dalam surat Al-Baqarah ayat 256. Lihat dan bacalah sendiri, kalau tak faham, carilah ustaz untuk menerangkannya. Elakkan ustaz politik jika boleh, kerana mereka ini kadang-kala suka melalut tak tentu pasal.

Bagi saya, menutup aurat ini adalah wajib dan samalah ianya dengan perkara wajib yang lain. Jika saya tanyakan satu soalan, menutup aurat itu adalah wajib dan haram jika tidak mengikutnya, tetapi jika tidak memakai tudung, bagaimana amalan puasa mereka di bulan Ramadhan ini? Pastinya akan ada yang menjawab "Allah yang akan tentukan segalanya...". Tetapi jika saya berikan contoh yang lain  seperti memakan khinzir. Ianya haram bagi umat Islam, tetapi jika kita memakannya, macam mana mana amalan kita? Pastinya tidak akan diterima Allah kan? Atau arak, jika meminumnya akan menyebabkan segala amalan kita menjadi debu. Samalah juga dengan tidak menutup aurat, segala apa yang kita lakukan akan menjadi debu. Adakah Allah yang menentukannya? Ya, Allah telah tentukannya di dalam Al-Quran dan sudah pasti dah sahih lah yang tidak menutup aurat akan menyebabkan segala amalan menjadi sia-sia.

Yang haram tetap haram dan tiada apa yang dapat mengubahnya. Hukum Allah itu adil dan tidak menganiaya sesiapa. Jika ada yang mengatakan ianya tidak adil dan menghukum dan mengatakan apa yang mereka katakan di atas tadi, lebih baik mereka bertaubat sebelum menjadi sesat. Jangan mengatakan sesuatu yang sia-sia kerana ianya boleh mengakibatkan kesesatan kepada orang lain juga. Bila hendak memperkatakan sesuatu, hendak menuju kepada Allah. Pemikiran kita juga wajib menuju ke arah Allah. Janganlah mengatakan sesuatu mengikut logik akal sendiri, kerana Islam itu adalah mudah, tetapi jangan mengambil mudah.

Wednesday, July 25, 2012

Keselamatan dan Keamanan Negara.

"Jangan diusik keamanan dan ketenteraman negara kita. Perpaduan itu adalah nadi kepada kekuatan negara kita. Jangan dimainkan perpaduan itu. Jikalau tidak.....musnahlah semuanya. Nahaslah jika ada cuba mempermainkan perpaduan yang kita ada." Ini adalah petikan kata-kata dari seorang bekas kolenal tentera darat bersara yang saya jumpa tidak lama dulu. Pertemuan yang tidak dirancang tetapi ditakdirkan ini adalah disebabkan kerana kolenal tersebut sedang menyampaikan ceramah mengenai keselamatan negara kita. Setelah selesai menyampaikan ceramah beliau, saya bertanyakan perihal ancaman subversif di negara kita. Beliau memberikan maklumat atas dasar need to know basis only. Akhir sekali, beliau memberikan peringatan kepada kami semua yang lebih berupa amaran supaya jangan di jolok sarang tebuan. Jangan berikan alasan kepada kerajaan untuk mengisytiharkan darurat dan kuasa tentera dikuatkuasakan. Kami semua menerima peringatan tersebut dengan hati yang berdebar-debar bercampur risau.

Banyak yang kita boleh dapati melalui kata-kata dan pengalaman orang lama yang berkhidmat di dalam bidang ketenteraan ini. Salah satu darinya adalah mengenai perpaduan yang telah lama di capai oleh negara kita. Persoalan yang saya ingin timbulkan sekarang adalah, bolehkah keamanan ini dapat dikekalkan seperti sekarang? Tujuan saya menimbulkan persoalan ini bukanlah untuk menimbulkan panik. Masakan kenyataan dari seorang individu yang tidak mempunyai kepentingan ini boleh menimbulkan panik. Tujuan sebenar saya menimbulkan persoalan ini kerana perpaduan yang telah dibina ini acapkali dijentik oleh golongan ultrakiasu yang tidak senang dengan perpaduan yang ada sekarang.

Sebelum ini, perpaduan ini cuba digoyahkan oleh golongan pelampau Hindraf yang cuba menjadi hero kepada keadaan. Tetapi sebelum itu, jika kita sedar, perpaduan ini seringkali diusik oleh golongan ultrakiasu. Sehingga kini, keadaan itu masih berlarutan dan masih tidak berhenti. Tuntutan oleh persatuan Hua Zong, Dong Zong, Persatuan Alumni sekolah cina dan lain-lain persatuan ultrakiasu dan tidak kurang juga dari parti DAP amatlah keterlaluan dan merbahaya. MCA juga tidak ketinggalan untuk memainkan peranan mereka dalam membela hak orang cina. Saya tidak mengatakan salah untuk membela nasib kaum sendiri, tetapi janganlah keterlaluan sehingga mencabar keluhuran perlembagaan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui tidak lama dahulu.

Sebagai seorang individu, saya amat sedih sekali apabila ketuanan melayu diusik sehingga sedikit demi sedikit kepentingan melayu yang dijamin di dalam perlembagaan dihakis. Saya khuatir jika suatu hari nanti, peristiwa 13 Mei 1969 akan tercetus semula jika tindakan pencegahan tidak diambil. Sudah la ISA dimansuhkan, Akta Ordinan Darurat pula di hapuskan, makin beranilah golongan ekstrimis ini mengemukakan tuntutan tidak berasas dan mempersoalkan kedaulatan Raja-raja melayu dan ketuanan melayu.

Pada pendapat saya, jika kita mahukan keamanan, gagasan negara bangsa haruslah dilaksanakan secara total. Bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun secara ujikaji. Sekolah jenis kebangsaan (SJK) atau sekolah vernakular hendaklah di mansuhkan demi peringkat. Jangan tunduk kepada tuntutan golongan ultrakiasu dan adakan langkah pencegahan untuk mengelakkan kejadian salah faham antara kaum. Jika kita tunduk kepada tuntutan keterlaluan golongan ini, maka tidak hairanlah sekolah satu aliran, sekolah wawasan atau apa juga sekolah yang cuba diwujudkan oleh kerajaan telah gagal sama sekali.

Pada masa dahulu, sekolah vernakular ini dibenarkan penubuhannya agar kaum cina dan india di negara kita dapat mempelajari budaya peninggalan nenek moyang mereka. Tetapi kini, mereka semua adalah rakyat negara Malaysia, keperluan seperti dulu adalah tidak releven lagi pada masa sekarang. Semua itu boleh dipelajari di sekolah-sekolah kebangsaan yang lain. Jika penubuhan sekolah ini masih ingin diteruskan, biarlah mata pelajaran Bahasa Malaysia disekolah-sekolah tersebut di selarikan agar menepati garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Matapelajaran sejarah pula diterapkan sepenuhnya kedalam sekolah-sekolah vernakular tersebut. barulah penubuhan gagasan negara bangsa yang menjadi asas penubuhan gagasan 1Malaysia ini akan dapat dijayakan.

Kerajaan amat berlembut sehinggakan terlalu banyak tanah orang melayu diambil untuk pembinaan sekolah vernakular ini. Mereka menggunakan alasan yang permintaan terhadap sekolah ini telah meningkat. Tetapi sedarkah kita yang kita sekarang ini terlalu banyak memberi dari menerima? Kita menggadaikan kepentingan melayu demi memenuhi tuntutan golongan yang tidak tahu bersyukur ini. Jika masa mereka kecil lagi anak-anak ini telah dijauhkan dari semangat perpaduan, kerana telah dimasukkan ke dalam sekolah yang berasaskan kaum dan seterusnya ke persekitaran universiti yang berasaskan kaum dan alam pekerjaan yang juga mempunyai suasana perkauman, jadi tidak mustahil perpaduan dan keamanan yang dikecapi akan hancur juga akhirnya.

Apa yang dapat saya simpulkan disini ialah, janganlah dipolitikkan sistem pendidikan kita. Sekolah vernakular ini sepatutnya sudah dimansuhkan dan kanak-kanak ini dibiarkan untuk bersama-sama dengan kanak-kanak lain untuk mewujudkan suasana perpaduan. Mereka sepatutnya diajar untuk berasimilasi dan beralkulturasi dengan budaya kebangsaan negara kita. Pembelajaran tentang budaya nenek moyang kita juga diserapkan sekali di dalam sekolah agar mereka belajar menghormati antara satu dengan lain. Ini lebih baik dari memulakan sesuatu dasar di peringkat pertengahan tetapi yang sebenarnya, pada asasnya ia sepatutnya dibina dari bawah. Bak kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kemudian, barulah gagasan 1Malaysia akan berhasil dengan jayanya.

Batik Biru.

Monday, July 23, 2012

Dr Ridhuan Tee sekolahkan seorang AJK Pas Pusat yang jahil politik !




Lanjutan artikel saya yang disiarkan minggu lalu, seorang ahli parlimen di utara Perak yang juga mempunyai doktor falfasah dan juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, menuduh saya bodoh dan menjadi penulis upahan Umno. Tuduhan tanpa bukti ini agar sukar untuk saya terima kerana datang daripada seorang pemimpin Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam. Islam yang sudah sinonim dengan parti ini, tidak disertai dengan akhlak Islam pemimpinnya. Akhlak sebeginilah sebenarnya yang akan menjahanamkan imej Islam.

Namun, saya tidak hairan akan ketidakmatangannya, kerana beliau hanya mengkhusus dalam bidang kajian organisasi, bukan bidang politik dan kerajaan. Jika dia tuduh saya bodoh, saya yakin dia lebih bodoh. Kejahilan beliau begitu terserlah. Setelah sekian lama menceburkan diri dalam politik, sepatutnya beliau menjadi lebih alim, tetapi tulisannya menserlahkan kejahilannya.

Fokus tulisan saya adalah beza antara parti politik dan kerajaan. Parti politik bersifat sementara, manakala kerajaan akan terus kekal selagi ada negara. Parti politik tidak boleh menjadi kerajaan. Parti politik hanya ruling party kepada kerajaan. Kerajaan telah wujud dalam sebuah negara berdaulat, sebelum wujud parti politik. Tidak ada sebuah parti politikpun yang boleh menjadikan kerajaan itu seolah-olah kepunyaan bapaknya walaupun mungkin parti itu memperolehi majoriti untuk menguasai kerajaan. Asas-asas ini perlu difahami. Jika tidak, sia-sia sahaja menceburi bidang politik. Pemikiran sebegini bukan sahaja tidak layak beliau mentadbir negara, apatah lagi untuk diundikan dalam PRU 13 akan datang.

Inilah sikap sebahagian pemimpin ektrim Islam yang rakus untuk berkuasa. Mereka tidak membaca sepenuhnya artikel yang ditulis. Saya tidak hanya mengkritik Pas, tetapi turut mengkritik Umno dan BN. Saya turut mencadangkan agar Umno dan BN memberikan hak royalti minyak kepada rakyat Kelantan. Namun, beliau mengatakan saya hanya memberikan pandangan sebelah pihak. Saya harap hatinya tidak menjadi buta disebabkan oleh fanatik kepartian. Buatlah lebih banyak pengajian dan penyelidikan supaya tidak menampakkan kebodohan selaku seorang ahli parlimen.

Dr Mujahid yang bodoh dan bebal ..
tak tahu beza politik & kerajaan 

Selaku seorang pemimpin Islam berpengalaman, sepatutnya kita menerima kritikan secara terbuka. Pandangan saya perlu dijadikan muhasabah diri. Ini tidak, pantang dikritik sedikit, ibarat cacing kepanasan. Inikah sikap anak kepada seorang ulamak dan pemimpin tertinggi Pas? Sepatutnya beliau mewarisi sikap lunak perjuangan Allahyarham bapanya. Namun, sebaliknya berlaku. Malang sungguh Pas mempunyai pemimpin seperti ini.

Jika masih tidak faham biar saya ulang. Parti yang menguasai kerajaan hanya berlaku dalam negara komunis. Saya tidak kata Pas itu komunis. Kecuali yang makan cili… Saya hanya persoalkan, kenapa Kerajaan Kedah perlukan Pas sebagai penasihat sedangkan kerajaan Kedah adalah kerajaan rakyat? Jika sudah tidak ada locus standi, kenapa perlu membuang masa dan tenaga? Bukankah semua exco Kedah itu warak-warak belaka? Adakah kita masih tidak mempercayai mereka?

Lagipun kerajaan tersebut adalah kerajaan negeri rakyat Kedah, bukan kerajaan Pas? Apa kata wakil-wakil rakyat lain yang bukan Pas? Jika ahli parlimen Pas tersebut masih tidak faham, biar saya jelaskan. Terdapat beberapa jenis parti politik dunia hari ini yang menjalankan urusan pentadbiran kerajaan. Parti politik tersebut dibahagikan kepada empat jenis iaitu, sistem satu parti (parti komunis), sistem dwi parti (seperti yang diamalkan Amerika dan Britain), sistem pelbagai parti (Malaysia) dan sistem parti dominan (Singapura). Malaysia boleh jatuh dalam dua kategori, sistem pelbagai parti dan parti yang dominan (Umno).

Kebiasaannya, parti-parti politik bertanding dan mendapat majoriti akan menguasai kerajaan. Parti politik yang mempunyai majoriti di parlimen atau DUN berkuasa untuk melantik menteri atau exco kerajaan negara/negerinya. Menteri/exco yang dilantik berkuasa untuk menentukan hala tuju kementerian dalam kerajaan yang diterajuinya.

Begitu juga terdapat perbezaan antara parlimen dan kerajaan. Parlimen juga bukan kerajaan. Insitusi Parlimen mewakili rakyat. Wakil rakyat yang dipilih rakyat hanya menjalankan urusan kerajaan. Namun, jika sesebuah parti tidak mendapat majoriti dalam parlimen, mereka mesti menghormati parti-parti politik lain yang turut dipilih rakyat dan membentuk kerajaan campuran. Dalam kata lain, wakil rakyat hanya mengisi kerusi di Parlimen bagi memboleh urusan kerajaan berjalan.

Pemimpin kerajaan adalah Perdana Menteri. Perdana Menteri akan memilih jawatan kuasa atau kebinet yang akan membantunya. Kerajaan juga berbeza dengan mereka yang memenangi pilihan raya mewakili parti politik. Berasaskan kepada hujah-hujah inilah saya masih bertegas, jawatankuasa yang diwujudkan tidak ada hak untuk memantau atau memberi nasihat kepada kerajaan negeri.

Minggu lalu, Pas telah melantik seorang pemimpin berasal dari Kelantan untuk mengetuai panel lima orang dalam jawatankuasa pemandunya bagi memantau pelaksanaan manifesto di negeri-negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat. Menurut Pas, jawatankuasa berkenaan tidak mencampuri urusan negeri dan hanya akan memberi teguran kepada pemimpin negeri tersebut mengikut saluran parti. Antara isu yang akan ditekan jawatankuasa berkenaan ialah sikap kerajaan Kedah dalam isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Persoalan saya, adakah Pas kekurangan cerdik pandai dan ulamak kalangan orang Kedah untuk mengetuai jawatankuasa tersebut? Tidakkah orang Kedah lebih faham keadaan politik negeri Kedah?

Persoalan siapakah yang memberikan mandat atau legitimasikan kepada jawatankuasa pemandu ini untuk memberi nasihat kepada kerajaan yang diwakili oleh wakil-wakil rakyat terdiri dari pelbagai parti dan latar belakang berbeza? Ia hanya boleh berlaku jika hanya satu parti yang berkuasa seperti yang berlaku dalam kerajaan komunis.

Justeru, saya menyeru kepada pimpinan Pas supaya berfikir dua kali. Jika kita mengatakan orang lain tidak betul, maka tunjukkanlah bezanya antara kita dengan orang lain itu. Tidak rugi sebenarnya melakukan muhasabah dan mengakui kelemahan sendiri. Kecualilah jika terlalu taksub, kita hanya yang betul, orang lain semua salah.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Penyatuan Melayu Islam.


                Bila kita sebut tentang penyatuan umat Islam, masing-masing mempunyai pendapat mereka tersendiri. Bagi saya, bila kita sebut mengenai penyatuan, terlalu besar pengertian dan pengorbanan yang harus dilakukan untuk menuju kea rah penyatuan. Di Negara kita khususnya, umat Melayu Islam di Negara kita begitu ghairah dengan cita-cita masing-masing sehinggakan proses penyatuan itu menjadi amat sukar. Ada yang terlalu taksub dengan pemahaman masing-masing sehinggakan fikiran mereka menjadi jumud dan sempit. Pandangan mereka lebih terarah mencari perbezaan diantara satu sama lain sehingga mereka lupa yang kita semua adalah sebangsa dan seagama.

Saya suka membaca artikel yang ditulis oleh Dr. Ridhuan Tee Abdullah di akhbar Utusan Malaysia. Beliau sering membangkitkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan Ketuanan Melayu. Persoalannya sekarang ialah, masih adakah lagi Ketuanan Melayu? Ahli politik atau mana-mana individu yang mempunyai kepentingan pasti akan menyebut Ketuanan Melayu di Negara kita masih ada dan masih terjaga. Tapi itu sekadar kata-kata yang diluahkan dengan niat berkepentingan sahaja.  Jika masih terjaga pun, ianya hanya termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kita sahaja. Itu hanya di luar, tetapi hakikatnya Ketuanan Melayu kita sudah makin terhakis.

Saya berani katakan begini kerana berdasarkan senario politik Negara kita sekarang. Jika kita lihat sendiri di Negara kita, slogan ‘Hidup Melayu’ sudah tidak lagi dilaungkan. Semua itu kerana kita terlalu berlembut dan bertolak ansur dengan kaum-kaum yang lain. Melaungkan slogan ‘Hidup Melayu’ tidak bermakna hak sesuatu kaum itu hilang. Orang melayu memang berhak melaungkan slogan tersebut kerana ini adalah semangat kepada kami untuk terus bangun dan maju. Tetapi oleh kerana kepentingan politik dan undi, semua ini digadaikan. Baik parti UMNO atau parti PAS, keduanya sama sahaja.

Saya suka menggunakan contoh kedua-dua parti ini kerana kedua-dua parti ini adalah parti yang berasaskan Melayu dan Islam. Tetapi kedua-dua parti ini bermusuhan sejak dari selepas Negara mencapai kemerdekaan lagi. Apabila ada peluang untuk bersatu, pasti ada saja yang menghalang dan niat suci itu pasti akan gagal. PAS, parti yang dulunya memperjuangkan Negara Islam dan Hukum Hudud sudah mula melonggarkan laungan Negara Islam mereka demi kerana kuasa dan begitu juga UMNO. Pada zaman pemerintahan Pak Lah, usaha kearah menyatukan kedua parti ini hamper-hampir menampakkan hasil. Tetapi oleh kerana ada segilintir puak yang tidak mahu perkara ini berlaku, usaha ini terkubur begitu sahaja.

Jika kedua-dua parti ini bersatu, barulah istilah ‘Ketuanan Melayu’ itu kena pada tempatnya. Tapi jika kita lihat scenario politik sekarang, bukan golongan ultrakiasu yang tidak mahu PAS dan UMNO bersatu. Ini kerana tugas mereka sudah selesai dan berjaya melaga-lagakan orang Melayu Islam untuk bergaduh. Golongan yang beria-ia untuk untuk melihat usaha penyatuan ini gagal adalah pemimpin PAS sendiri iaitu Pok Nik. Apabila pemimpin utama mereka tidak mahu bersatu, pengikut fanatik PAS yang taksub dengan beliau juga sudah pasti akan mengikut jejak tuan mereka. Pada saya, sikap ini amat buruk dan bukanlah dari ajaran Islam yang sebenar.

Orang Melayu Islam dinegara kita ini sudah semakin teruk dan tenat. Oleh kerana terlalu kepingin memegang tampuk kekuasaan, segala yang haram telah dijadikan halal, segala yang salah telah dibenarkan dengan mengeluarkan firman dan hadis yang menghalalkan segala perbuatan mereka dan sekutu mereka. Apa sahaja usaha yang dibuat oleh UMNO telah dihina dan dipandang serong oleh pengikut parti PAS. Kesian rasanya bila melihat UMNO telah diserang dari pelbagai penjuru disebabkan kerana mempertahankan Islam dari digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab iaitu isu penggunaan kalimah Allah pada tahun 2010. Paling menyedihkan apabila pihak yang tiada kena mengena juga mengambil kesempatan. Sampai bilakah umat Melayu akan bersatu? Kenapakah dalam perkara sebegini asas kita tidak boleh bersatu? Kalau tak boleh nak setuju 100 peratus pun, sekurang-kurangnya 50 peratus pun sudah dikira baik. Ini tidak, semuanya ditolak mentah-mentah oleh PAS. Seolah-olah semua benda yang dibuat oleh UMNO itu buruk di pandangan mata mereka. Seolah-olah PAS ini satu parti yang maksum dan suci dari segala dosa.

Saya menumpang kesedihan dan kebimbangan yang diluahkan oleh Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan  kesempitan yang dilalui oleh bekas pemimpin PKR iaitu Zulkifli Nordin yang kini telah menyertai perjuangan PERKASA untuk membela bangsa Melayu Islam. Nasib yang sama juga telah diterima oleh Datuk Dr. Hassan Ali yang dulunya adalah pemimpin PAS tetapi telah dipinggirkan oleh kerana telah menjentik agama kristian kerana isu memurtadkan umat Islam. Inilah yang PAS mahukan? Setiap perjuangan untuk menegakkan martabat Islam dan menyelamatkan Islam oleh setiap individu telah di tanam hidup-hidup jika ianya tidak melibatkan cacian dan makian terhadap UMNO. Jika ianya melibatkan agama sekutu mereka DAP, tindakan yang sama juga akan dibuat terhadap individu tersebut.

Persoalannya sekarang, adakah PAS benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan Islam? Atau adakah ianya sekadar retorik untuk memenangi hati pengundi? Tahukah kamu semua wahai pengikut PAS, apa yang kamu buat itu telah melanggar satu daripada 6666 ayat Allah? Jikalau kamu mengingkari satu ayat Allah, kamu dipanggil Kafir!! Kalau kamu benar-benar memperjuangkan Islam dan jika kamu betul-betul Ikhlas terhadap Islam,  bersatulah kamu dengan parti UMNO dan tarbiyahlah mereka jika kamu benar-benar hebat. Janganlah melalak dan menghina semua perkara baik yang telah dilakukan UMNO. Adakah kerana sifat mazmumah begitu menebal dikalangan orang PAS yang kononnya Islam itu? Atau adakah mereka ini satu parti yang mengamalkan ajaran sesat atau ekstrim yang menggalakkan kepada keganasan?

Untuk parti UMNO, satu teguran daripada saya. Cukup-cukuplah bertolak ansur dan mengamalkan sikap bertahan. Sampai bilakah kamu semua hendak bersabar? Sikap ini amat baik dan saya amat memujinya, tetapi cukup lah sampai disitu. Janganlah kerana sikap bertolak ansur ini, bangsa melayu semakin terhakis. Janganlah terus bertolak ansur kerana parti PAS tidak akan sedar pun akan segala kebaikkan yang ada pada parti UMNO. Janganlah kerana sikap tolak ansur ini, ada pihak lain yang akan mengambil kesempatan. Tiada sesiapa yang sempurna, dan sudah pasti UMNO juga tidak terlepas dari ketidaksempurnaan ini. Ubah la, buang la pemimpin-pemimpin rasuah dan janganlah bertolak ansur terhadap pegawai kerajaan yang korup. Buatlah supaya diri anda kembali releven di mata rakyat. Berikan kuasa mutlak terhadap SPRM jika benar UMNO ikhlas terhadap kempen membenteras rasuah.

Meskipun saya ini cuma suara yang mewakili diri saya sendiri sahaja, meskipun saya ini cuma seorang individu sahaja, tetapi saya yakin ramai yang ingin melihat parti UMNO dan PAS bersatu. Saya yakin ramai yang telah muak dengan perbalahan kedua-dua parti melayu ini yang seakan-akan pergaduhan adik dan abang. Si adik dengkikan abang kerana abang lebih popular dari adik dan lebih disukai oleh rakyat dari si adik. Cukup-cukuplah perbalahan ini, tidak ada baiknya melainkan banyak buruknya. Kedua parti melayu bergaduh, pihak lain yang berkepentingan pula akan mengambil kesempatan. Maka tidak hairanlah UMNO terpaksa beralah dan mengorbankan jati diri mereka kerana ingin mengambil hati sekutu mereka.

Sebagai seorang rakyat yang sayangkan bangsa melayu dan Negara, saya tidak sanggup melihat keadaan bangsa dan Negara kita yang semakin kronik ini. Semakin banyak tanah dan kepentingan melayu terpaksa dikorbankan demi mengambil hati parti kaum lain. Sampai bilakah PAS akan terus menyombong dan berdegil? Adakah dengan matinya Pok Nik Aziz, barulah PAS akan bersatu? Adakah dengan terpinggirnya Hadi Awang barulah PAS akan bersatu? Saya rasa tidak, kerana ianya sudah terlambat. Dengan kehadiran Mat Sabu, Khalid Samad dan beberapa pemimpin endorgan yang menguasai PAS, usaha untuk melihat kepada penyatuan Melayu Islam menjadi semakin pudar.

Jadi, dapatlah saya simpulkan disini bersih yang dimaksudkan dan dilaungkan oleh pemimpin PAS itu adalah membersihkan parti mereka sendiri terlebih dahulu. Bersihkan hati Pok Nik dahulu dan kajilah semula diri sendiri, inikah yang Islam mahukan? Perpecahan dan perbalahan? Inikah yang Allah mahukan? Inikah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW? Saya rasa selepas artikel ini tersebar, semakin banyaklah caci makian yang akan diberikan kepada saya. Seorang individu yang hanya mempunyai hak sebagai pengundi akan dicaci semahu-mahunya seolah-olah saya ini pemimpin masyarakat. Bukan pengajaran yang mereka cari, bukan perenggan ini yang mereka nampak, tetapi apa yg mereka akan nampak ialah perenggan yang lain selain dari ini. Inilah sikap degil dan bodoh sombong segelintir mereka ini. Kepada mereka yang masih boleh berfikir, bersatulah dan atasilah perbezaan dengan mencari persamaan.

Batik Biru.

Wednesday, July 18, 2012

Apabila kekuatan sendiri dilupakan

Mingguan Malaysia, 15 Nov 2009


Seperti yang dijangka pantang soal pendidikan vernakular disentuh, maka melompatlah segelintir ultra kiasu ini. Mereka mengatakan itu hak mereka. Kepentingan etnik mesti dijaga. Jangan campurtangan. Sedangkan saya bercakap dalam soal pembinaan negara bangsa, memperkasakan masa depan dan kepentingan nasional, dengan tidak menafikan hak bangsa lain untuk belajar bahasa ibunda. Apakah kita masih tidak faham? Lebih ekstrim lagi, mereka mencadangkan jika mahu dibuat sekolah satu aliran, jadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar, bukan bahasa Melayu. Ternyata mereka mengenepikan sama sekali dan memandang rendah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bila bahasa itu dipandang rendah, tidakkah pandangan terhadap bangsa bahasa tersebut turut terpalit sama?

Maka tidak hairanlah hari ini mereka amat bangga dan megah dengan nama-nama tambahan seperti Joe, Michael, Nicol, Amy, Martin dan lain-lain. Kadangkala naik mual memanggil dan mendengarnya. Mereka bangga dikaitkan dengan Kristian dan barat, namun tidak mahu langsung dikaitkan dengan Islam dan Melayu. Tidakkah timur itu lebih dekat dengan kita berbanding barat? Ada yang sanggup menukar kad pengenalan baru semata-mata taksub dengan nama barat. Kenapa bila tiba nama-nama seperti Muhammad, Mahmud, Aziz, Ridhuan dan nama-nama Islam lain tidak dipandang tinggi, malah dilihat dengan nada penuh kebencian? Hina sangatkah nama Melayu dan Islam? Penggunaan nama-nama Islam dianggap tidak ada standard dan glamour? Tidakkah nama-nama timur ini lebih berwajah 1Malaysia? Saya tidak mahu untuk membuka tembelang yang lain. Biarlah saya simpan buat sementara waktu ini. 

Bukanlah niat saya untuk menanamkan api kebencian antara kaum. Tetapi serangan demi serangan menyebabkan saya terpaksa berterus-terang bagi menunjukkan segelintir mereka ini yang tidak pernah bersyukur. Mereka lebih rela diasimilasi dan diakulturasikan dengan barat berbanding Melayu dan Islam. 
 
Apa jua perkara yang berkaitan asimilasi dan akulturasi dengan Melayu Islam akan dipandang rendah dan langsung tidak akan diamalkan. Manakala cara hidup barat diterima bulat-bulat. Misalnya, cara hidup Melayu seperti berpakaian Melayu, bersongkok, makan menggunakan tangan dan muzik Melayu. Pernahkah kita lihat orang bukan Melayu sekurang-kurangnya mengakulturasikan dengan cara sedemikian? Kalau adapun boleh dibilang dengan jari. 

Dalam konteks 1Malaysia, adalah lebih wajar kita mengasimilasikan atau mengakuturasikan diri dengan cara hidup Melayu Islam, kerana ia lebih membawa manfaat kepada masa depan negara. Orang Islam amat kagum dan mudah cair jika ada di kalangan bukan Melayu yang mencuba meminjam cara hidup mereka. Ini tidak, kita lebih barat dari barat. Termasuk juga dengan orang Melayu. Kadang-kadang sampai terlupa bahawa mereka ini orang Melayu kerana terlalu kebaratan.
Sebagai Cina Muslim, bangsa saya memang tidak mahu dikaitkan dengan Melayu langsung terutama dari segi cara hidup. Kalau adanya yang berjinak-jinak dengan Melayu hanyalah untuk dipergunakan dan diperalatkan. Amat sedikit sekali orang Melayu yang bekerja di syarikat-syarikat bukan Melayu. Syarat-syarat seperti keupayaan bahasa Mandarin dijadikan alasan untuk menolak pekerja Melayu. Berbanding dengan syarikat-syarikat Melayu yang mengambil pekerja-pekerja bukan Melayu, atas alasan bukan Melayu lebih rajin daripada Melayu. Bahkan, kadangkala bukan Melayu juga dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Siapakah yang lebih sanggup memberi dan menerima sebenarnya dalam hal ini?

Kalau adapun orang Melayu (termasuk Indonesia) diambil bekerja hanya dipergunakan untuk melariskan jualan makanan dan perkhidmatan. Melayu diperalatkan. Nama Melayu akan digunakan untuk melariskan jualan seperti jenama makanan yang mempunyai nama-nama Melayu dan Islam. Sedangkan hak-hak mereka asas mereka tidak penuhi. Orang Melayu tetap redha sebab itulah periuk nasi mereka. Berapa pekerja-pekerja Melayu Islam yang datang mengadu kepada saya kerana dihalang untuk solat Jumaat dan solat fardu? Saya boleh senaraikan satu per satu syarikat tersebut. Solat dikatakan membuang masa dan mengurangkan kualiti dan produktiviti. Sedangkan kita sedia maklum, semakin takut seseorang itu dengan Allah, semakin kuat dia bekerja untuk manusia, sama ada majikannya itu Islam atau tidak. Sifat takutkan Allah akan menjadikan dia berhati-hati melakukan pekerjaan. Saya tidak nafikan ada yang kuat solat, tetapi malas dan culas.

Apakah wujud perancangan untuk memisahkan orang Melayu dengan Tuhannya agar mereka menjadi cair? Apabila ikatan mereka dengan Allah telah cair, maka lunturlah semangat jihad mereka, maka mudahkan untuk mensekularkan dan menguasai mereka. Inilah tindakan licik yang mesti kita sedar. Saya tidak maksudkan jihad itu dengan berperang, tetapi cukup sekadar jihad itu menuntut perubahan untuk menjadikan kita lebih baik dan dekat dengan Maha Pencipta. 

Kadangkala saya tidak menyalahkan mereka. Mereka mencari dan mengambil kesempatan. Kita sahaja yang leka dan syok sendiri. Kita tidak menghargai apa yang kita ada, apatah lagi untuk menguatkuasakannya. Kita rela korbankan segala yang ada pada kita asalkan negara dapat bergerak maju ke hadapan, walaupun yang dikorbankan itu adalah maruah agama dan bangsa. Misalnya kedudukan bahasa dan dasar pendidikan.

Kenapa kita tidak kaji kekuatan yang ada pada kita sebelum mengkaji kekuatan orang lain? Saya amat pelik kadang-kadang, kita begitu beriya-iya mengkaji orang lain sehingga terlupa kepada diri sendiri. Ini menyebabkan kekuatan sendiri terabai disebabkan oleh terlalu taksub terhadap orang lain. Apakah ini sebenarnya sekularisme? 

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi, pelajar-pelajar diwajibkan belajar dan memahami pelbagai teori yang datang daripada barat (terutamanya) dan timur daripada tokoh-tokoh tertentu. Teori-teori ini bukan sahaja disuruh hafal, malahan mereka yang berjaya menerangkan lebih lanjut itulah pelajar yang terbaik dan diberi markah tinggi. Contoh kecil, teori strategi dan peperangan Tsun Tzu. Pelajar-pelajar dipaksa menghadam teori ini luar dan dalam, kulit ke kulit, sehingga kadangkala terlupa tanggungjawab terhadap al-Quran dan Sunnah. Strategi Tsun Tzu tidak hanya diaplikasikan dalam peperangan tetapi juga dalam perniagaan. Sedangkan Tsun Tzu tidak pernah masuk universiti, apatah lagi mengambil SPM dan PMR. 

Paling saya hairan, kita lupa dalam agama kita ada pakar dan pemikiran strategi perang yang cukup hebat seperti Nabi Muhammad SAW, Khalid Ibn Walid, Omar al-Khattab, Salahuddin al-Ayubi dan sebagainya. Tokoh-tokoh amat jarang dibincang dan ketengahkan. Apatah lagi untuk dihafal teori-teorinya. Apakah kurangnya tokoh-tokoh ini berbanding dengan Tsun Tzu, Kautilya (India), Clausewitz, Duhe dan sebagainya? Saya tidak menolak tokoh-tokoh ini, tetapi biarlah diseimbangkan dengan tokoh kita yang tidak kurang hebatnya. 

Apakah Tsun Tzu pernah mendapat ijazah atau PhD daripada universiti? Tidak juga. Kenapa hari ini pelajar-pelajar universiti pelbagai peringkat mengkaji strategi peperangan orang yang tidak pernahpun ada atau masuk universiti? Nabi Muhammad SAWpun tidak pernah masuk universiti. Tetapi Nabi adalah Rasul pilihan Allah. Makamnya amat tinggi. Maka tidak hairan Michael Hart (2006) meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia agong maha hebat daripada 100 orang terhebat dunia meninggalkan Nabi Isa, Nabi Musa, Buddha, Konfucius, Aristotle, Tsun Tzu dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat. Malangnya tidak ramai yang mengkaji. 

Hari ini sudah terbalik, barat amat berminat mengkaji peribadi orang timur. Tetapi orang timur sibuk mengkaji barat sehingga terabai kehebatan tokoh sendiri. Justeru, saya tidak hairan, bila orang bukan Islam tidak mahu diasimilasikan atau diakulturasikan sebab kita tidak pernah hormat diri tokoh kita atau diri sendiri.

Saya tidak percaya kita boleh bangun dengan acuan orang lain. Sejarah menunjukkan semua bangsa bangkit dengan kekuatan dan acuan sendiri. Jepun bangkit dengan semangat Kejepunan, Cina dengan semangat Kecinaan. Apakah kita mahu bangun dengan semangat kebaratan? Sudah tentu orang Islam mesti bangun dengan semangat keIslaman. Barulah kita mendapat keredhaan Allah SWT.

Baru-baru ini saya menghadiri satu mesyuarat penting kementerian. Kebetulan dalam mesyuarat tersebut ada seorang usahawan Amerika boleh berbahasa Melayu secara pelat. Hanya kerana seorang Mat Salleh, serta merta pengerusi mesyuarat terpaksa korbankan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Inggeris. Saya amat yakin presiden Iran tidak akan sama sekali melakukan sedemikian, walaupun beliau pandai berbahasa Inggeris. Kalau kita sendiri tidak yakin dengan bahasa sendiri, siapa lagi yang mahu kita harapkan untuk mendaulatkan bahasa kita. Bahasa jiwa bangsa.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Kita akan kalah jika terus mengalah

Mingguan Malaysia, 29 November 2009


Ramai orang bertanya, kenapa Lee Kuan Yew berjaya dengan sistem satu aliran pendidikan di Singapura dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Lee Kuan Yew dipuji melambung kerana dikatakan sanggup korbankan bahasa ibunda demi kepentingan negara. Betulkah? Jawapan saya, Lee Kuan Yew tidak ada pilihan. Justeru, beliau terpaksa bertindak tegas. Jika ada pilihan, saya yakin beliau tidak akan bertindak sedemikian. Ingat! bahasa Mandarin masih dijadikan subjek penting di sana berbanding bahasa Melayu, dengan alasan mereka adalah majoriti.

Sejarah Singapura perlu difahami kenapa Lee Kuan Yew memilih bahasa Inggeris? Jika Singapura bukan berasal daripada sistem kenegaraan Melayu, saya yakin Lee Kuan Yew tidak akan memilih bahasa Inggeris. Lee Kuan Yew sudah lama dapat membaca pemikiran psikologi orang Melayu. Kebolehan beliau menulis dan membaca jawi sudah dapat mencairkan orang Melayu. Jika bahasa Cina digunakan, sudah tentu ia akan ditentang oleh orang Melayu ketika itu.

Singapura tidak boleh dipisahkan dengan Melayu. Sehingga ke hari inipun saya masih mengatakan Singapura adalah sebuah negara Melayu di Kepulauan Melayu. Kecuali Singapura itu berada di gugusan kepulauan seperti Taiwan, baru saya mengikhtiraf negara itu sebagai negara bangsanya. Lee Kuan Yew hanya mengorbankan bahasa mandarin buat sementara waktu. Janganlah kita buat andaian bahawa Singapura maju kerana menggunakan bahasa Inggeris. Sifat ultra kiasu amat berkait rapat.

Kita pula janganlah terlalu hairan kenapa Singapura boleh keluar sebagai negara maju dalam jangka masa cepat? Jika ditakdirkan Singapura sebesar Malaysia atau Indonesia, saya yakin ia tidak ke mana juga. Singapura bernasib baik sebab faktor lokasi dan saiz banyak membantunya untuk keluar menjadi negara maju. Jangan terlalu kagum dengan kepemimpinan mereka, sehingga kita lupa apa yang telah dilakukan terhadap negara kita sebelum ini. Masih ingatkah sejarah dan titik hitam pemisahan Singapura-Malaysia? Adakah kemasukan Singapura ke dalam Malaysia benar-benar ikhlas? Bacalah sejarah. Apa yang penting hari ini ialah bagaimana untuk menangani sikap ultra kiasu mereka yang amat bahaya kepada politik negara kita. Ingat, pengikut-pengikut ultra kiasu Singapura ini masih ramai berada di negara kita, dengan sebab itu mereka tidak habis-habis menuntut dan mendesak. Apakah kita masih tidak sedar? Ringkasnya, mereka tidak bersendirian.

Lihatlah berapa banyak tanah-tanah strategik yang telah tergadai? Begitu juga dengan rumah-rumah mewah yang telah dibeli? Jangan lupa perjanjian air dan kawasan tadahan air yang dijaga oleh tentera Singapura walaupun berada di Johor. Lee Kuan Yew teramat jarang melawat Malaysia selepas pemisahan, kenapa beliau sanggup ke negara kita baru-baru ini terutama ke Pulau Pinang? Sedarkah kita apa yang dibincangkan secara tersurat dan tersirat? Fikirkanlah. Jangan terlepas pandang pula nasib Melayu di Pulau Pinang? Janganlah bila sudah terhantuk baru mengadah. Sebelum terhantuk perlulah berhati-hati. Bila nasi sudah menjadi bubur sudah terlambat. Perpecahan sesama kita adalah petanda jelas kejayaan mereka.

Sedarlah wahai saudaraku, Melayu Islam di Singapura telah berjaya dicairkan. Hari ini segelintir orang Melayu yang digula-gulakan dengan kuasa sudah tidak seperti Melayu Islam. Mereka bukan sahaja telah cair, tetapi sudah tidak berhati Melayu Islam, kecuali mereka yang masih bertahan di madrasah. Sejauhmana madrasah dapat bertahan? Itu masih menjadi persoalan besar hari ini. Kedudukan madrasah menjadi semakin terhimpit. Begitu juga dengan masjid-masjid mereka. Apakah kita belum sedar? Cukuplah Pulau Batu Putih yang telah terlepas. Janganlah selepas ini kita berputih mata. Ambillah pengajaran ini sebelum terlambat. Mereka yang kuat berjiwa Melayu Islam memang tidak akan terpilih menjadi pemimpin atau menteri di sana. Dengan sebab itu, orang seperti Dr Lily Zubaidah Rahim (2001) terbuang di bumi sendiri. Hanya kerana bercakap menjaga kepentingan Melayu Islam. Apakah kita tidak mengambil pengajaran?

Cuba kita fikir kenapa hari ini Singapura membelanjakan hampir USD11 bilion setahun memperkuatkan sistem pertahanan negaranya dengan populasi hanya 4.6 juta yakni nombor 23 dalam ranking dunia? Lebih dua kali ganda lebih besar daripada perbelanjaan pertahanan Indonesia (USD 4.7 bilion). Perbelanjaan pertahanannya jauh meninggalkan negara kita yang tidak langsung tersenarai dalam ranking dunia. Sedarkah kita sekutu rapat mereka adalah musuh-musuh Islam seperti Israel, Amerika, Australia, Britain dan sebagainya? Tidakkah kita terfikir, apakah agenda mereka sebenarnya kalau bukan kita? Saya yakin kita tidak akan terlepas pulau Batu Putih jika kekuatan kita melebihi kekuatan mereka. Ancaman dan amaran kita sudah cukup untuk menggetarkan mereka. Tetapi kenapa mereka begitu berani dan kurang ajar? Sebab mereka tahu, sejauhmana kekuatan mereka dan telah bersedia menghadapi apa jua situasi. Tendensi untuk mereka menang besar adalah tinggi.

Mungkin pakar-pakar pertahanan tidak bersetuju dengan saya. Tetapi kita mesti ingat, hari ini kita tidak lagi berperang menggunakan manusia, kecanggihan teknologi adalah kekuatannya. Bandingkan teknologi pertahanan perang kita dengan Singapura. Bezanya ibarat langit dengan bumi. Kita sepatutnya membelanjakan wang negara untuk pertahanan. Malangnya, wang ringgit kita banyak digunakan untuk berpolitik daripada mempertahankan negara. Sudah sampai masanya kita kurangkan sedikit berpolitik untuk membina kekuatan pertahanan negara.

Sampai bilakah kita mahu terus bersangka baik dengan mengatakan perang dingin telah tamat, dunia sudah aman? Musuh telah tiada, maka kita tidak perlu menjadi kuat? Tidakkah kita sedar bahawa musuh bertambah kuat dan sentiasa berpakat merancang untuk memusnahkan kita?

Justeru, saya menyerukan supaya kita jangan terlalu berpolitik. Masa dan wang ringgit banyak dihabis untuk menewaskan sesama sendiri. Malangnya, kita tidak hanya berpolitik dalam politik, tetapi dalam bidang lain pun berpolitik juga. Misalnya perebutan jawatan atau kuasa dalam badan-badan awam, berkanun, NGO dan sebagainya. Ini belum termasuk isu rasuah. Pendek kata, dalam bidang apapun diperkatakan, umat Islam kita berpolitik. Politik yang merugikan dan melemahkan. Ultra kiasu ambil kesempatan.

Musuh sentiasa merancangkan untuk melaga-laga kita sesama umat Islam. Hari ini kita dilaga-lagakan dengan Indonesia? Siapakah provokatornya? Marilah kita fikirkan bersama. Logiknya mudah, bila negara-negara Islam berjiran bergaduh sesama sendiri, mudahlah negara ultra kiasu dan orang ultra kiasu ini menyusun strateginya. Janganlah kita terlalu beremosi, takut memakan diri.

Barat telah berjaya melaga-lagakan negara-negara Arab. Hasilnya, negara haram Israel berjaya menguasai negara-negara Arab dengan nisbah 1 orang Israel, lebih 100 orang Arab. 100 Arab tidak dapat mengalah 1 Israel. Sedangkan dari segi logik, akan banjir 1 orang jika 100 orang pakat-pakat kencing ke atas Israel ini. Keadaan berlaku sebaliknya. 1 berjaya mengalahkan 100. Senario Arab-Israel hampir sama dengan negara kepulauan Melayu-Singapura. Mereka sudah bersedia dengan segala kekuatan teknologi. Kita asyik berpolitik tanpa kesudahan.

Kita bernasib baik kerana hari ini kita menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta. Kebaikannya, kita tidak perlu lagi menghabiskan masa mencipta teknologi kerana ianya telah tersedia dicipta. Masa mencipta teknologi telah banyak dijimatkan. Tuntutan hari ini adalah menggunakan teknologi tersebut sepenuhnya dan diperkembangkan lagi kehebatan seperti yang cuba dilakukan oleh Iran hari ini. Tetapi Iran cuba dimangsakan oleh barat.

Barat dan ultra kiasu ini telah berjaya membaca pemikiran umat Islam. Mereka tahu teknologi mereka digunakan oleh Islam. Orang Islam akan menjadi kuat jika memperkembangkannya. Justeru, sebelum ia berlaku maka dipecah-belahkan dan dicairkan mereka supaya mudah dikuasai. Ternyata strategi mereka berjaya. Umat Islam berjaya dikuasai dan dipecah-belahkan. Bukan kerana mereka tidak pandai menggunakan teknologi, mereka pandai. Tetapi mereka dihasut supaya mempertikai atau bergaduh sesama sendiri dalam isu-isu remeh temeh seperti tarian pendet Bali. Malangnya, yang tidak bergaduh pula tidak memanfaatkan teknologi, tetapi menggunakannya secara salah. Akhirnya jiwa menjadi kosong dan cair.

Justeru, saya merayu agar kita dapat memulakan langkah pertama dengan menyelesaikan isu-isu asas mengenai pendidikan di negara kita. Ini kerana pendidikan amat penting sebagai benteng pertahanan. Ia harus dimulakan dengan sekolah satu sistem. Asas-asas patriotisme berada di situ. Jangan perjudikan masa depan dan keselamatan negara sistem ini demi untuk mempertahankan kuasa hari ini. Jika dengan kehilangan populariti, masa depan pendidikan boleh dipertahankan, rasanya tidak mengapa kita tidak popular buat sementara waktu. Apa guna populariti, jika masa depan pendidikan dan negara menjadi semakin terhakis. Berundur bukan bererti kita mengalah. Tetapi untuk bersiap sedia dengan kekuatan, daripada kita terus mengalah dan terus kalah. Saya masih teringat kata-kata latin yang berbunyi si vis pacem para bellum, bermaksud jika mahukan keamanan bersedialah untuk berperang. Adakah kita sudah bersedia ke arah itu, di kala orang lain telah lama bersedia? Jika mereka terlalu ultra kiasu, adakah kita akan terus mengalah? Kitapun kena bertindak tegas ke atas mereka untuk kepentingan masa depan. Ingat! kita akan kalah jika terus mengalah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia