NuffNang

Nuffnang

Translate

Monday, July 23, 2012

Penyatuan Melayu Islam.


                Bila kita sebut tentang penyatuan umat Islam, masing-masing mempunyai pendapat mereka tersendiri. Bagi saya, bila kita sebut mengenai penyatuan, terlalu besar pengertian dan pengorbanan yang harus dilakukan untuk menuju kea rah penyatuan. Di Negara kita khususnya, umat Melayu Islam di Negara kita begitu ghairah dengan cita-cita masing-masing sehinggakan proses penyatuan itu menjadi amat sukar. Ada yang terlalu taksub dengan pemahaman masing-masing sehinggakan fikiran mereka menjadi jumud dan sempit. Pandangan mereka lebih terarah mencari perbezaan diantara satu sama lain sehingga mereka lupa yang kita semua adalah sebangsa dan seagama.

Saya suka membaca artikel yang ditulis oleh Dr. Ridhuan Tee Abdullah di akhbar Utusan Malaysia. Beliau sering membangkitkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan Ketuanan Melayu. Persoalannya sekarang ialah, masih adakah lagi Ketuanan Melayu? Ahli politik atau mana-mana individu yang mempunyai kepentingan pasti akan menyebut Ketuanan Melayu di Negara kita masih ada dan masih terjaga. Tapi itu sekadar kata-kata yang diluahkan dengan niat berkepentingan sahaja.  Jika masih terjaga pun, ianya hanya termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kita sahaja. Itu hanya di luar, tetapi hakikatnya Ketuanan Melayu kita sudah makin terhakis.

Saya berani katakan begini kerana berdasarkan senario politik Negara kita sekarang. Jika kita lihat sendiri di Negara kita, slogan ‘Hidup Melayu’ sudah tidak lagi dilaungkan. Semua itu kerana kita terlalu berlembut dan bertolak ansur dengan kaum-kaum yang lain. Melaungkan slogan ‘Hidup Melayu’ tidak bermakna hak sesuatu kaum itu hilang. Orang melayu memang berhak melaungkan slogan tersebut kerana ini adalah semangat kepada kami untuk terus bangun dan maju. Tetapi oleh kerana kepentingan politik dan undi, semua ini digadaikan. Baik parti UMNO atau parti PAS, keduanya sama sahaja.

Saya suka menggunakan contoh kedua-dua parti ini kerana kedua-dua parti ini adalah parti yang berasaskan Melayu dan Islam. Tetapi kedua-dua parti ini bermusuhan sejak dari selepas Negara mencapai kemerdekaan lagi. Apabila ada peluang untuk bersatu, pasti ada saja yang menghalang dan niat suci itu pasti akan gagal. PAS, parti yang dulunya memperjuangkan Negara Islam dan Hukum Hudud sudah mula melonggarkan laungan Negara Islam mereka demi kerana kuasa dan begitu juga UMNO. Pada zaman pemerintahan Pak Lah, usaha kearah menyatukan kedua parti ini hamper-hampir menampakkan hasil. Tetapi oleh kerana ada segilintir puak yang tidak mahu perkara ini berlaku, usaha ini terkubur begitu sahaja.

Jika kedua-dua parti ini bersatu, barulah istilah ‘Ketuanan Melayu’ itu kena pada tempatnya. Tapi jika kita lihat scenario politik sekarang, bukan golongan ultrakiasu yang tidak mahu PAS dan UMNO bersatu. Ini kerana tugas mereka sudah selesai dan berjaya melaga-lagakan orang Melayu Islam untuk bergaduh. Golongan yang beria-ia untuk untuk melihat usaha penyatuan ini gagal adalah pemimpin PAS sendiri iaitu Pok Nik. Apabila pemimpin utama mereka tidak mahu bersatu, pengikut fanatik PAS yang taksub dengan beliau juga sudah pasti akan mengikut jejak tuan mereka. Pada saya, sikap ini amat buruk dan bukanlah dari ajaran Islam yang sebenar.

Orang Melayu Islam dinegara kita ini sudah semakin teruk dan tenat. Oleh kerana terlalu kepingin memegang tampuk kekuasaan, segala yang haram telah dijadikan halal, segala yang salah telah dibenarkan dengan mengeluarkan firman dan hadis yang menghalalkan segala perbuatan mereka dan sekutu mereka. Apa sahaja usaha yang dibuat oleh UMNO telah dihina dan dipandang serong oleh pengikut parti PAS. Kesian rasanya bila melihat UMNO telah diserang dari pelbagai penjuru disebabkan kerana mempertahankan Islam dari digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab iaitu isu penggunaan kalimah Allah pada tahun 2010. Paling menyedihkan apabila pihak yang tiada kena mengena juga mengambil kesempatan. Sampai bilakah umat Melayu akan bersatu? Kenapakah dalam perkara sebegini asas kita tidak boleh bersatu? Kalau tak boleh nak setuju 100 peratus pun, sekurang-kurangnya 50 peratus pun sudah dikira baik. Ini tidak, semuanya ditolak mentah-mentah oleh PAS. Seolah-olah semua benda yang dibuat oleh UMNO itu buruk di pandangan mata mereka. Seolah-olah PAS ini satu parti yang maksum dan suci dari segala dosa.

Saya menumpang kesedihan dan kebimbangan yang diluahkan oleh Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan  kesempitan yang dilalui oleh bekas pemimpin PKR iaitu Zulkifli Nordin yang kini telah menyertai perjuangan PERKASA untuk membela bangsa Melayu Islam. Nasib yang sama juga telah diterima oleh Datuk Dr. Hassan Ali yang dulunya adalah pemimpin PAS tetapi telah dipinggirkan oleh kerana telah menjentik agama kristian kerana isu memurtadkan umat Islam. Inilah yang PAS mahukan? Setiap perjuangan untuk menegakkan martabat Islam dan menyelamatkan Islam oleh setiap individu telah di tanam hidup-hidup jika ianya tidak melibatkan cacian dan makian terhadap UMNO. Jika ianya melibatkan agama sekutu mereka DAP, tindakan yang sama juga akan dibuat terhadap individu tersebut.

Persoalannya sekarang, adakah PAS benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan Islam? Atau adakah ianya sekadar retorik untuk memenangi hati pengundi? Tahukah kamu semua wahai pengikut PAS, apa yang kamu buat itu telah melanggar satu daripada 6666 ayat Allah? Jikalau kamu mengingkari satu ayat Allah, kamu dipanggil Kafir!! Kalau kamu benar-benar memperjuangkan Islam dan jika kamu betul-betul Ikhlas terhadap Islam,  bersatulah kamu dengan parti UMNO dan tarbiyahlah mereka jika kamu benar-benar hebat. Janganlah melalak dan menghina semua perkara baik yang telah dilakukan UMNO. Adakah kerana sifat mazmumah begitu menebal dikalangan orang PAS yang kononnya Islam itu? Atau adakah mereka ini satu parti yang mengamalkan ajaran sesat atau ekstrim yang menggalakkan kepada keganasan?

Untuk parti UMNO, satu teguran daripada saya. Cukup-cukuplah bertolak ansur dan mengamalkan sikap bertahan. Sampai bilakah kamu semua hendak bersabar? Sikap ini amat baik dan saya amat memujinya, tetapi cukup lah sampai disitu. Janganlah kerana sikap bertolak ansur ini, bangsa melayu semakin terhakis. Janganlah terus bertolak ansur kerana parti PAS tidak akan sedar pun akan segala kebaikkan yang ada pada parti UMNO. Janganlah kerana sikap tolak ansur ini, ada pihak lain yang akan mengambil kesempatan. Tiada sesiapa yang sempurna, dan sudah pasti UMNO juga tidak terlepas dari ketidaksempurnaan ini. Ubah la, buang la pemimpin-pemimpin rasuah dan janganlah bertolak ansur terhadap pegawai kerajaan yang korup. Buatlah supaya diri anda kembali releven di mata rakyat. Berikan kuasa mutlak terhadap SPRM jika benar UMNO ikhlas terhadap kempen membenteras rasuah.

Meskipun saya ini cuma suara yang mewakili diri saya sendiri sahaja, meskipun saya ini cuma seorang individu sahaja, tetapi saya yakin ramai yang ingin melihat parti UMNO dan PAS bersatu. Saya yakin ramai yang telah muak dengan perbalahan kedua-dua parti melayu ini yang seakan-akan pergaduhan adik dan abang. Si adik dengkikan abang kerana abang lebih popular dari adik dan lebih disukai oleh rakyat dari si adik. Cukup-cukuplah perbalahan ini, tidak ada baiknya melainkan banyak buruknya. Kedua parti melayu bergaduh, pihak lain yang berkepentingan pula akan mengambil kesempatan. Maka tidak hairanlah UMNO terpaksa beralah dan mengorbankan jati diri mereka kerana ingin mengambil hati sekutu mereka.

Sebagai seorang rakyat yang sayangkan bangsa melayu dan Negara, saya tidak sanggup melihat keadaan bangsa dan Negara kita yang semakin kronik ini. Semakin banyak tanah dan kepentingan melayu terpaksa dikorbankan demi mengambil hati parti kaum lain. Sampai bilakah PAS akan terus menyombong dan berdegil? Adakah dengan matinya Pok Nik Aziz, barulah PAS akan bersatu? Adakah dengan terpinggirnya Hadi Awang barulah PAS akan bersatu? Saya rasa tidak, kerana ianya sudah terlambat. Dengan kehadiran Mat Sabu, Khalid Samad dan beberapa pemimpin endorgan yang menguasai PAS, usaha untuk melihat kepada penyatuan Melayu Islam menjadi semakin pudar.

Jadi, dapatlah saya simpulkan disini bersih yang dimaksudkan dan dilaungkan oleh pemimpin PAS itu adalah membersihkan parti mereka sendiri terlebih dahulu. Bersihkan hati Pok Nik dahulu dan kajilah semula diri sendiri, inikah yang Islam mahukan? Perpecahan dan perbalahan? Inikah yang Allah mahukan? Inikah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW? Saya rasa selepas artikel ini tersebar, semakin banyaklah caci makian yang akan diberikan kepada saya. Seorang individu yang hanya mempunyai hak sebagai pengundi akan dicaci semahu-mahunya seolah-olah saya ini pemimpin masyarakat. Bukan pengajaran yang mereka cari, bukan perenggan ini yang mereka nampak, tetapi apa yg mereka akan nampak ialah perenggan yang lain selain dari ini. Inilah sikap degil dan bodoh sombong segelintir mereka ini. Kepada mereka yang masih boleh berfikir, bersatulah dan atasilah perbezaan dengan mencari persamaan.

Batik Biru.

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.