NuffNang

Nuffnang

Translate

Saturday, August 30, 2008

Amalan yang harus ditingkatkan pada bulan Ramadhan.


Assalamualaikum Warahmatullah.

Dalam dunia sekarang ini, manusia yang beragama Islam hanya tahu apabila tiba bulan Ramadhan, puasa dan sembahyang sunat tarawih adalah amalan yang harus di buat. Bagi yang sudah tahu pula, Alhamdulillah. Tetapi yang tidak tahu, disini saya akan beritahu apa yang harus kita buat dan tingkatkan pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Dalam Islam, kita mesti ada banyak persediaan sebelum melakukan apa juga ibadat. Seperti sebelum bersolat, kita mesti ada persediaannya dan mengikut tertib. Tetapi dalam Ramadhan, kita juga mesti ada persediaan untuk menempuhinya.

Bagi orang yang beriman pasti ini tidak menjadi masalah bagi mereka dan bagi yang kurang imannya haruslah membuat banyak persediaan. Persediaan yang paling penting ialah pembersihan jiwa. Ada dikalangan orang Islam sendiri tidak bersedia untuk membersihkan hati dari sifat mazmumah dan kotoran dosa. Antaranya seorang mukmin itu perlu memberi ruang dan masa dengan membaca Al-Quran dan berzikir. Kita ni hidup di akhir zaman, jadi kedua-dua amalan ini sudah cukup untuk meringankan beban anggota badan kita untuk beribadat sepanjang bulan Ramadhan termasuk puasa, tarawih dan Qiamulail. Sebagai contoh, enjin yang tak diservis pasti mendatangkan masalah berbanding enjin yang sentiasa di selenggara, pasti lancar.

Tazkirah adalah satu perkara yang baik sepanjang bulan Ramadhan. Ia menjadi tradisi setiap bulan Ramadhan. Surau atau masjid yang tak pernah ramai pun akan jadi ramai. Orang yang tak pernah ke surau dan masjid pun akan datang juga. Tetapi bagi saya mereka ini datang dengan jiwa yang kosong, jadi dengan tazkirah ini hati dan jiwa akan kembali hidup. Tetapi cukuplah dengan tazkirah yang pendek, ringkas dan padat untuk mereka ini kerana mereka ini akan cepat merasa bosan.

Saya sentiasa memperingatkan diri saya agar memperbanyakkan amalan zikir, istighfar, selawat dan baca Al-Quran kerana apabila sudah biasa, amalan-amalan ini boleh dibawa ke bulan-bulan yang berikutnya. Jadi inilah amalan yang harus diperbanyakkan pada bulan Ramadhan. Janganlah diniatkan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi biarlah ikhlas. Jika tidak sia-sialah segala amalan itu.

Wassalam.

Thursday, August 28, 2008

Ramadhan.




Assalamualaikum Warahmatullah.

Hanya beberapa hari saja lagi kita akan menjemput bulan Ramadhan, iaitu raja segala bulan, bulan yang dimuliakan, bulan dibukakan semua pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka. Bulan Ramadhan juga adalah bulan di mana ayat Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah S.A.W. Ramadhan juga adalah bulan untuk berbuat segala amalan wajib dan sunat yang telah di syariatkan kepada kita, dan yang paling penting ialah bulan Ramadhan ialah di mana seluruh umat Islam berpuasa. Ramadhan ialah bulan yang paling ditunggu-tunggu oleh orang-orang yang beriman. Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.

Apabila berpuasa, kita hendaklah perbanyakkan amalan seperti bersedekah, berjemaah tiap-tiap sembahyang fardhu, bersolat sunat Tarawih, iktikat di masjid dan membaca Al-Quran. Pada waktu berbuka janganlah kita terlalu banyak menjamah makanan untuk mengelakkan sistem penghadaman kita menjadi terkejut. Juga pada waktu sahur, jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur. Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan disiang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Orang yang berpuasa secara tidak langsung telah mendisiplinkan dirinya sendiri. Seperti menjauhkan diri dari maksiat dan juga lain-lain perkara mungkar. Tidak seperti orang yang tidak berpuasa, mereka sudahlah membuat dosa kemudian tidak menghormati bulan Ramadhan. Pada yang berpuasa juga, dan pada masa yang sama mereka membuat perkara mungkar terutama pada kaum wanita yang tidak menutup aurat, mereka seperti petani yang memanam tanaman tetapi tidak membajai dan menyiram tanaman tersebut. Ini bermaksud mereka hanya menahan lapar dan dahaga sahaja. Tiadalah pahala yang penuh untuk mereka kerana amalan puasa mereka. Ibarat puasa yang sia-sia sahaja dan jika ada pun pahala, hanyalah sekelumit sahaja. Pada bulan-bulan biasa, kita manusia terpaksa melawan hawa nafsu dan hasutan syaitan. Kita dibantu Allah untuk melawan 2 pihak ini melalui membaca Al-Quran dan bersolat. Tetapi pada bulan Ramadhan, kita hanya berdepan dengan nafsu kita sendiri sahaja. Sesiapa yang meletakkan Agama dahulu sebelum melakukan sesuatu, nescaya selamatlah kita. Tetapi jika kita meletakkan hawa nafsu kita dahulu dalam setiap hal, maka pada bulan Ramadhan tersebut, sukarlah untuk mengikut segala amalan makruf. Puasa ditinggalkan, maksiat berleluasa tidak mengira masa dan lain-lain perkara mungkar. Pada waktu siangnya berpuasa, tetapi pada malam harinya mereka bermaksiat. Maka ini bermakna sudah berjayalah syaitan menjadikan mereka ini pengikut mereka.

Hormatilah bulan Ramadhan kerana sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan dan rahmat. Cuba bayangkan suasana dimana seluruh umat Islam didunia ini berpuasa, bersahur, berbuka, melakukan ibadat solat sunat Tarawih dan tadarus Al-Quran beramai-ramai. Alangkah indahnya suasana ini. Kesimpulannya disini ialah, bulan Ramadhan ini adalah bulan yang paling ditunggu oleh orang yang beriman untuk menyucikan diri mereka. Pada mereka yang tidak beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang paling memenatkan mereka ataupun mereka tidak merasa apa-apa pada bulan Ramadhan ini kerena mereka telah jauh tersesat kerana hawa nafsu mereka sendiri. Sesungguhnya dengan berpuasa itu kita telah berjihad dan mengembalikan diri kita kepada alam fitrah.

Wassalam.

Apa itu Tauhid ? ( Bagi Yang Tidak Tahu)

Assalamualaikum Warahmatullah.

Apa itu tauhid? Ramai orang hanya tahu menyebutnya sahaja. Ada juga yang tidak tahu langsung, itu lagi teruk. Bagi yang sudah tahu itu baguslah, tapi sekadar tahu sahaja itu tidak mengcukupi kerana tidak lengkaplah iman seseorang itu. Jadi pada hari ini saya hendak menerangkan mengenai Tauhid dari segi istilah dan juga pembahagian dalam ilmu Tauhid. Sebelum itu biarlah saya terangkan apa kebaikkan dan faedahnya dalam mempelajari ilmu Tauhid ini. Ilmu Tauhid ini sangat banyak faedahnya kepada kita. Umpamanya, seseorang yang mempunyai pendirian dan pegangan Tauhid yang kukuh, tidak akan merasa rendah diri dan rasa takut. Akidah yang kukuh juga akan menimbulkan sifat yang berani, tabah hati dalam menghadapi segala perjuangan hidup, tidak mudah berputus asa, tidak cepat kecewa, tidak malu kerana kemiskinan dan tidak sombong kerana kaya dan banyak lagi faedah yang ada. Selain dari itu, kita juga akan mendapat pahala dari Allah S.W.T kerana mempelajari ilmu Tauhid ini dan orang yang tidak mempelajarinya adalah berdosa. Ini kerana hukum mempelajari ilmu Tauhid ini adalah fardu ain. Iaitu difardukan ke atas setiap mukmin dalam mengetahuinya secara Ijmali (himpunan) dan fardu kifayah mengetahuinya secara Tafsili (terperinci). Sebab itulah saya katakan yang belum lengkaplah iman seseorang itu jika dia tidak tahu mengenai ilmu Tauhid.

Mari kita lihat apa takrif ilmu Tauhid ini. Kalimat Tauhid berasal dari kata "Wahhada" yang kemudian diubah menjadi Tauhid. Dari segi bahasa ia bermaksud meng "Esa" kan, yakni meng "Esa" kan Allah S.W.T. Adapun dari segi istilah, ilmu Tauhid itu ialah :

"Suatu cabang Ilmu Pengetahuan yang membahaskan masalah yang berhubungan dengan wujud Tuhan dan segala sifat-sifatNya, sama ada sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah, juga membahaskan masalah yang berhubung dengan Rasul-rasul serta sifatnya."

Saya juga ada terbaca dalam sebuah buku Fardu ain yang mengatakan para ulama Tauhid merumuskan definisi atau takfir ilmu Tauhid itu sebagai berikut :

"Menentukan bahawa manusia hanyalah untuk Allah sahaja. mengiktikadkan tentang keesaanNya pada sifat, zat dan perbuatanNya."

Jadi, Tauhid adalah suatu sikap rohaniyah yang mesti memancar dan terlihat dalam seluruh aspek kehidupan manusia, sama ada berupa zahiriyyah mahupun batiniyyah. Dari definisi-definisi diatas dapatlah kita fahamkan bahawa perkara utama yang diperkatakan dalam ilmu Tauhid ialah masalah wujudnya Allah, kemudian disusul dengan pembahasan mengenai sifat-sifatNya, terutama tentang ke "Esa" anNya. Itulah sebabnya dikatakan ilmu Tauhid itu ialah ilmu yang memperkatakan tentang cara bagaimana manusia dapat mempercayai bahawa Allah ialah adalah Maha Esa. Selain dari itu, masalah-masalah lain yang berkaitan akidah Islam juga merupakan perkara yang diperkatakan dalam ilmu Tauhid. Masalah yang diperkatakan dalam ilmu Tauhid ini ialah rukun iman yang enam yang didasarkan kepada sebuat sabda Rasulullah S.A.W sebagai berikut :

"Iman itu ialah bahawa percaya engkau kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, pada akhirat dan engkau juga percaya akan kadar baik dan kadar jahat (datang daripada Allah)."

Ilmu Tauhid ada mempunyai beberapa nama, iaitu :

  1. Ilmu Tauhid.
  2. Ilmu Kalam.
  3. Ilmu Ushuluddin.
  4. Ilmu Aqidah.
  5. Ilmu Sifat.
Pembahagian Tauhid ini pula ada 3 bahagian, iaitu :

  1. Tauhid Ubudiyyah - Maksudnya ialah bahawa Allah saja yang berhak untuk disembah oleh hambaNya, baik manusia, jin mahupun malaikat dan kepada Allah sajalah segala doa dan permintaan manusia dapat dipohonkan. Makhluk-makhlukNya seperti batu, kayu, patung, berhala, kubur dan lain-lainnya tidak mempunyai hak untuk disembah dan tidak pula berhak untuk menerima permohonan dari sesama makhluk. Sikap mengesakan Tuhan seperti ini disebut dengan "Tauhid Ubudiyyah".
  2. Tauhid Uluhiyyah - Maksudnya ialah pandangan atau pendirian yang menyakini bahawa Allah itu Esa, dan Esanya itu tidak tersusun daripada setengah tambah atau lain-lainnya. Dalam istilah Tauhid, cara mengesakan Allah seperti ini dikenal dengan "Tauhid Uluhiyyah".
  3. Tauhid Rububiyyah - Maksudnya ialah iktikad atau keyakinan bahawa hanya Allah sahajalah yang mempunyai kesanggupan mutlak untuk menciptakan dan memelihara segala sesuatu yang dikehendakiNya, tanpa memerlukan bantuan dari pihak-pihak lain. Dalam istilah Ilmu Tauhid, keyakinan atau akidah seperti ini dikenal dengan "Tauhid Rubu-Biyyah". Oleh yang demikian, maka Allah sentiasa disebut dengan "Rabbu'l-'Alamin".
Jadi demikianlah secara ringkasnya apa itu ilmu Tauhid dan bahagian-bahagiannya.

Wassalam.

Wednesday, August 27, 2008

Anak Derhaka.












Sallatullahi Sallamullah
Ala Taha Rasulillah
Sallatullahi Sallamullah
Ala Yassin Habibillah

Cukup azabnya ibu mengandung
Bulan berjalan hari dihitung
Ibu berserah rugi dan untung
Kepada Allah meminta tolong

Cukuplah bulan dengan harinya
Seorang putra dilahirnya
Bidan menyambut dengan lembutnya
Hampir si ibu hilang nyawanya

Setelah anak kian dewasa
Dididik dengan kasih sayangnya
Diberi ilmu secukupnya
Hingga si anak kepuncak jaya

Bila si anak sudah beristeri
Ibu dibuat sebagai abdi
Kain dan baju disuruh cuci
Makan dan minum disuruh saji

Ibu yang malang berduka cita
Duduk berendam si air mata
Akhirnya ibu menutup mata
Atas perbuatan anak durhaka.

Thursday, August 21, 2008

Merdeka....Merdekah kita?


Assalamualaikum Warahmatullah.

Bulan ini adalah bulan kemerdekaan kita yang ke-51. Ada berbagai-bagai tafsiran tentang erti sebuah kemerdekaan. Tetapi yang penting merdeka pasti akan bermaksud 'bebas'. Bebas dari penjajahan asing di tanah air kita. Tema pada tahun ini ialah 'Perpaduan Teras Kejayaan'. Daripada tema ini kita dapat tahu yang dalam negara yang berbilang kaum, perpaduan semua kaum merupakan intipati kejayaan sesebuah negara. Jika semua kaum dan bangsa asyik menanam syak wasangka sesama kaum yang lain, bergaduh sesama sendiri, berdendam dan menindas satu antara lain, negara tidak akan menuju kejayaan seperti yang diharapkan. Malah ianya akan membawa kepada kehancuran dan kemusnahan. Dalam negara yang aman damai ini, masih ada lagi yang tidak mempunyai semangat cintakan negara. Saya berkata begini kerana dari apa yang kita lihat, telah banyak peristiwa yang telah berlaku seperti tunjuk perasaan dan pergaduhan antara kaum. Ini adalah dari pandangan seorang yang cintakan negaranya. Tapi dari sudut pandangan Islam, satu persoalan yang tidak terjawab meskipun tahu apa jawapannya. Adakah kita Merdeka? Negara dan kebebasan dari penjajah 'Ya' jawapannya. Tapi dari segi minda dan jiwa, adakah kita merdeka?

Pada saya, rakyat Malaysia terutamanya orang melayu yang beragama Islam masih belum merdeka. Jiwa dan minda mereka semakin kotor disebabkan oleh pengaruh barat. Berpakaian seperti orang barat, bercakap seperti orang barat, bergaul cara barat dan hidup seperti orang barat. Berpakaian seperti orang barat ini ialah berpakaian tidak menutup aurat, menampakkan yang tersirat. Ada juga yang bangga menunjukkan punggung mereka kepada orang ramai. Ada juga yang suka menunjukkan lurah mereka kepada orang ramai. Sedarkah mereka perbuatan mereka ini ada seperti orang yang tidak bermaruah? Padahal Allah sudah berfirman yang bermaksud:-

"Wahai Nabi, suruhlah isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa keluar)" - Surah al Ajzan, ayat 59.

Suka ke jika tubuh badan mereka diperhatikan oleh lelaki-lelaki yang tidak beriman itu? Sukakah mereka jika tubuh mereka dilapah oleh perogol-perogol yang tidak berperikemanusiaan itu? Banyak undang-undang telah digubal untuk melindungi wanita-wanita yang jahil ini. Tapi bagaimana dengan undang-undang untuk melindungi lelaki dari wanita-wanita jahil ini? Bagi saya, mencegah lebih baik dari mengubati, jadi punca kejadian ini adalah dari wanita, jadi macam mana kita hendak menghukum wanita-wanita ini? Seperti penyakit denggi, kita pasti akan menghapuskan tempat pembiakan mereka. Jadi adakah kita hendak menyamakan wanita-wanita ini dengan binatang? Kenapa tidak dibuat seperti di Negeri Kelantan di mana mereka yang berpakaian seksi, memakai tumit tinggi, memakai solekan akan didenda sebanyak Rm500? Walaupun tak banyak, tapi mereka ini pasti akan memikir 2 kali sebelum berpakaian seksi.

Pada masa kini, walaupun sudah 51 tahun negara kita merdeka, tapi hakikat sebenarnya negara kita belum lagi merdeka. Kita masih tidak mempunyai identiti sendiri yang sepatutnya menjadi ikutkan semua orang Islam. Padahal identiti kita ialah Islam, jadi kenapa ajaran Islam itu tidak dipegang dan diikut? Kenapa hendak diikut identiti orang kafir itu? Kafirkah kita? Tepuk dada dan tanyalah Iman. Kita yang lebih mengetahui siapa diri kita sendiri. Manusia berubah kerana dua sebab iaitu disebabkan kata-kata dan musibah. Kata-kata ini adalah seperti nasihat dan teguran dari orang, atau dari ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadith. Musibah ini adalah bala yang datang menimpa diri dan yang pastinya akan mendatangkan kesusahan pada diri dan sering membawa kepada sikap putus asa pada Allah bagi orang yang tidak beriman. Jadi, adakah hendak ditimpakan bala bencana, baru kita akan berubah? Seperti lembu, bila dirotan dan ditarik hidungnya, barulah dia akan mengikut. Adakah hendak di samakan dengan lembu atau binatang lain? Saya yakin tiada siapa pun yang hendak disamakan dengan binatang, pada hal hakikatnya ianya benar. Seperti penzina yang melakukan zina dengan lain-lain lelaki atau perempuan, binatang juga seperti itu. Ini kerana mereka tidak mempunyai akal, tapi dimanakah letaknya akal manusia? kenapa tidak digunakan? Jadi tanyalah diri sendiri, merdekakah kita. Jika merdeka, apa buktinya? tepuklah dada dan tanyalah iman.

Wassalam.

Wednesday, August 20, 2008

Agama Islam ( bagi yang tidak tahu).

Assalamualaikum Warahmatullah.

1. Takrif Agama Islam.

Dalam mentakrifkan agama dari sudut pandangan Islam, para ulama telah merumuskan beberapa takrif, antaranya :-

  • Agama Islam ialah peraturan-peraturan dari Allah S.W.T. untuk manusia yang berakal, untuk memberi keyakinan mencapai jalan yang bahagia lahir dan batin, dunia dan akhirat bersandar kepada wahyu Ilahi yang terhimpun dalam Kitab Suci yang diterima oleh Muhammad S.A.W.
  • Agama Islam ialah ketetapan Ilahi yang menghantar manusia yang berakal dengan usahanya (Ikhtiar), kepada kebaikkan dunia dan kemenangan di akhirat.
  • Agama Islam ialah kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tatahukumNya berasaskan wahyu Ilahi kepada Nabi / RasulNya, untuk mengatur hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Allah.
Apabila kita perhatikan, definisi yang ketiga ini lebih hampir pengertiannya kepada firman Allah di dalam Al-Quran iaitu :-

"Mereka (manusia) akan ditimpa oleh kehinaan, di mana jua pun mereka berada, kecuali bilamana mereka berhubungan dengan Allah dan berhubungan dengan manusia"

2. Pengertian Islam.

Kata Islam adalah berasal dari bahasa Arab. Maka untuk mengambil pengertiannya, ia dapat ditinjau dari berbagai pokok kata, iaitu :-

  • Jika diambil dari kata "Salima", maka Islam itu bermakna "Selamat".
  • Jika diambil dari kata "Salmi", maka Islam itu bermakna "damai".
  • Jika diambil dari kata "Istaslama", maka Islam itu bermakna tunduk dan patuh serta taat kepada Allah S.W.T berdasarkan petunjuk dan panduan hidup yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Selain dari itu kata "Istaslama" juga bermaksud tulus atau ikhlas.
  • Kalau diambil dari kata "Sullam", maka Islam itu bermakna "tangga" atau "peningkatan". Kerana orang Islam mestilah selalu meningkat atau maju cara berfikirnya.
3. Maksud dan Tujuan Islam.

Agama Islam, suatu agama yang diturunkan oleh Allah kepada umat manusia mengandungi maksud dan tujuan yang tersendiri, yang secara keseluruhannya adalah untuk kebaikkan manusia dan kesejahteraan hidupnya di dunia dan akhirat. Sebahagian maksud dan tujuan agama itu ialah :-

  • Supaya segala langkah dalam hidup dan kehidupan manusia itu sentiasa memperolehi bimbingan dan petunjuk daripada Allah S.W.T. Segala keinginan atau hajat yang hendak kita capai, sama ada susah atau senang dilaksanakan, semoga mendapat bimbingan daripada Allah.
  • Supaya segala perjalanan hidup manusia di dunia ini mempunyai hubungan dengan Zat yang mutlak, iaitu Allah S.W.T.
  • Supaya manusia memperolehi kehidupan dan perasaan yang tenteram, aman dan damai, tidak ada rasa khuatir dan putus asa dalam mencapai segala cita-citanya yang baik. Asalkan manusia itu sentiasa taat menjalankan perintahNya dan menjauhi laranganNya.
  • Supaya terdapat keseimbangan antara jasmani dan rohani, terpelihara daripada perbuatan keji dan mungkar, niat jahat dan menyeleweng, sehingga dapat merasakan anugerah dan nikmat Allah terhadap dirinya, serta menjauhkan sifat rakus dan tamak.
Demikianlah sebahagian besar maksud dan tujuan agama dan berdasarkan beberapa huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa Agama Islam benar-benar diturunkan untuk kebaikkan manusia.

4. Kandungan Agama Islam.

  • Bahagian Tauhid - Bahagian ini berkenaan dengan akidah manusia dan pengabdiannya kepada Allah S.W.T. Bidang ini memperkatakan tentang kepercayaan kepada zat Allah, menerangkan sifat, zat dan perbuatanNya, menolak kepercayaan kepada selain dari Allah, menerangkan cara-cara manusia mengabdikan dirinya kepada Allah. Semuanya itu dikemukakan dengan dalil naqal dan dalil akal. Pembahasan lengkap dalam hal ini diperkatakan dalam rukun Iman, yang membimbing manusia secara batiniyah.
  • Bahagian Fiqh - Bahagian ini memperkatakan tentang cara dan peraturan beribadah yang mesti dilakukan oleh manusia. Secara lengkapnya, bidang ini memperkatakan masalah ibadah, muamalah, munakahah, dan jinayah dan lain-lain yang berhubung dengan keperluan masyarakat manusia. Bidang ini dibahas dalam huraian rukun Islam dan ia berfungsi sebagai pembimbing manusia secara zahiriyah.
  • Bahagian Akhlak - Bahagian ini merupakan ilmu pembimbing segala perbuatan dan perilaku manusia dan selaku penyempurnaan dari kedua-kedua ilmu di atas dan tidak kurang pula ilmu ini memperkatakan tentang tangungjawab manusia sebagai hamba Allah terhadap sesama manusia dan terhadap Allah Yang Maha Kuasa. Kelanjutan dari ilmu akhlak ini dikenal dengan "Ilmu tasawwuf".

Monday, August 18, 2008

Keistimewaan Ayat Al-Kursi


Allah, tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatupun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).


Berikut adalah petikan dari Surah Al-Baqarah, Ayat 255 atau lebih kita kenali sebagai surah Ayat Al-Kursi. Ada banyak kelebihan dan keistimewaan yang terdapat di dalam ayat ini. Ayat Al-Kursi sering kali digunakan sebagai ayat untuk tujuan pengubatan dalam Islam.

Dalam sebuah hadis, ada menyebut perihal seekor syaitan yang duduk di atas pintu rumah. Tugasnya adalah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. tidak akan masuk rumah sehingga Baginda mendengar jawapan salam isterinya. Pada saat itu syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu.

Hikmat ayat Al-Kursi mengikut hadis-hadis:

1. Barang siapa membaca ayat al-Kursi ketika berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua malaikat memeliharanya hingga subuh.

2. Barang siapa membaca ayat al-Kursi pada akhir setiap sembahyang fardu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.

3. Barang siapa membaca ayat al-Kursi pada akhir tiap sembahyang, dia akan masuk syurga dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT akan memelihara rumahnya dan rumah-rumah di sekitarnya.

4. Barang siapa membaca ayat al-Kursi pada akhir tiap-tiap shalat fardu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi, serta Allah melimpahkan rahmat padanya.

5. Barang siapa membaca ayat al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6. Barang siapa membaca ayat al-Kursi pada akhir sembahyang, Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan, nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."

Jika ada salah dan silap, harap ditegur dan dimaafkan. Sesungguhnya yang tidak baik itu datang dari saya sendiri dan yang baik itu hanyalah dari Allah S.W.T.

Thursday, August 14, 2008

Ingatlah Pada 'Zikrul Maut' Kerana Ia Boleh Menginsafkan Kita.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Sebagai manusia biasa, kita seringkali dikaitkan dengan sifat lupa dan lalai. Sebab itu kita sebagai manusia seringkali memerlukan peringatan, teguran dan bimbingan. Bila ada sahabat yang menegur kita, mereka mengutuk malah menghina sabahat itu. Malah mereka mengumpat yang kononnya sahabat itu berlagak baik atau berlagak alim. Sebenarnya tidak kira lama atau baru bertaubat atau berdakwah, sahabat itu melakukan perkara yang betul. Walaupun ilmu yang ada pada dirinya tidak mencukupi lagi.

Sabda Rasulullah S.A.W :
"Sampaikan dari Ku walau sepotong ayat".

Jadi tidak kiralah berapa banyak atau sedikit ilmu yang kita ada, jika ada kemungkaran di depan mata, hendaklah kita menggunakan apa saja cara yang terdaya untuk mencegah kemungkaran itu. Jika tidak mampu menggunakan tangan, gunakanlah mulut dan jika tidak mampu lagi membencilah dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman. Apa yang sahabatnya buat itu baik, tetapi orang yang ditegurnya itulah yang rugi dan bodoh kerana tidak mendengar dan mengambil iktibar dari nasihat sahabat yang menegur itu. Sebelum itu, Allah S.W.T juga telah mengutuskan pada rasul a.s bagi menerima wahyu, dan wahyu itulah yang telah menjadi petunjuk dan peringatan yang diperlukan oleh manusia bagi mengatasi sifat lupa dan lalai itu.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesunggnya peringatan itu
bermanfaat bagi orang-orang yang beriman."

Surah Adz-Dzariat ayat 55.

Ini bermakna petunjuk dan peringatan dari wahyu Allah S.W.T ini hanya akan berguna kepada mereka yang beriman sahaja. Seperti cerita yang diatas tadi, peringatan itu tidak berguna kepada orang yang ditegur itu tadi sebab mereka sudah jauh terpesong, sesat dan tidak beriman. Ibarat air yang dicurah ke atas tanah, pasti akan menyuburkan tanaman dan akan membuahkan hasil. Tetapi jika disiram ke atas batu, pasti tidak akan mendatangkan sebarang kesan. Begitulah juga sama keadaannya dengan petunjuk dan peringatan Allah S.W.T, ia akan berguna jika segala nasihat dan peringatan itu jatuh ke lembah hati yang lembut. Tetapi batu yang keras lama kelamaan akan lekuk juga jika dititis dengan air setiap hari dan sama jugalah dengan hati yang keras. Oleh itu janganlah berputus asa dalam memberi peringatan dan nasihat. Hati ini memainkan peranan yang penting dalam menentukan keperibadian dan watak seseorang itu. Sama ada orang itu akan menjadi orang yang berguna dan baik atau sebaliknya.

Sabda Rasulullah S.A.W :

" Sesungguhnya di dalam diri seseorang itu ada seketul daging, jika baik maka baiklah seluruh anggota, dan jika rosak ia maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah bahawa ia adalah hati"

Setiap manusia yang beriman yang sentiasa mendalami wahyu Allah S.W.T pasti mempunyai keyakinan yang setiap yang hidup pasti akan mati. Mereka juga yakin akan dihidupkan dan dibangkitkan semula dan mereka akan menghadapi suatu rangkaian hidup yang abadi. Bermula dengan datangnya ajal dan diikuti babak peristiwa alam barzakh hingga menemui hari kebangkitan di Mahsyar dan alam akhirat bagi menentukan syurga atau neraka untuk seseorang itu. Pada akhir zaman ini, semakin kurang orang yang bercakap tentang kematian, alam barzakh dan seterusnya hari mahsyar. Saiyidina Ali r.a pernah berkata, "Bahawa manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya."

Sebagaimana kisah nabi Ibrahim Khalilullah yang didatangi oleh malaikat maut.

"Apakah anda hendak mengambil nyawaku?" tanya nabi Ibrahim kepada Izrael.

"Benar," jawab malaikat maut.

"Tidakkah anda tahu bahawa aku adalah Khalilullah (Kekasih Allah) yang selalu di dampingi dan mendampingiNya? Adakah munasabah seseorang kekasih hendak mengambil nyawa kekasihnya?"


Dan dengan kata-kata nabi Ibrahim a.s. itu maka malaikat maut kembali semula mengadap Allah S.W.T, lalu Allah perintah Izrael supaya menemui nabi Ibrahim dengan membawa pesanan dari Allah.

Malaikat maut pun berkata pada Nabi Ibrahim ,"Justeru dengan kematian itu, bererti Allah Yang Maha Pengasih telah menjemput kekasihNya agar datang menemuiNya."

Dengan penjelasan itu maka nabi Ibrahim amat gembira menghadapi kematian itu.

Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, "Hendaklah kamu membanyakkan ingat akan perkara yang boleh meleburkan kelazatan hidup," bertanya Abu Hurairah, "Apakah yang boleh meleburkan kelazatan hidup itu?" Jawab Rasulullah, "Zikrul Maut" iaitu mengingati akan mati.

Apabila kita sudah mati, segala apa yang ada didunia ini akan kita tinggalkan kecuali amalan kita. Segala harta kekayaan, pangkat, isteri atau suami yang disayangi dan saudara atau kawan-kawan akan ditinggalkan dan hilang dalam sekelip mata. Pada orang yang beriman, segala ini tidak menjadi masalah dan sebaliknya kepada orang yang tidak beriman, mereka begitu benci kepada kematian. Bayangkan jika secara tiba-tiba kita terlantar di padang pasir yang tandus, bila kita dahaga lalu kita terbayangkan akan pentingnya air, tetapi bila kita sedar bahawa tidak sedikit pun air yang kita bawa sebagai bekalan. Ini bermakna orang yang beriman, mereka sudah pasti sudah bersedia dengan segala bekalan untuk perjalanan yang jauh ini, tetapi tidak pada orang yang tidak beriman. Mereka hanyut dengan hal-hal dunia, maksiat dan zina sehingga mereka menyangka mereka sempat bertaubat dan sempat mengumpul dan membawa bekalan untuk hari akhirat itu nanti.

Kesimpulannya disini, ingatlah kita pada kematian, sesungguhnya dengan mengingati kematian itu sahajalah kita dapat memperingati dan mendekatkan diri kita kepada Allah. Janganlah letak akal anugerah Allah itu di kaki, tetapi gunakanlah untuk yang sepatutnya. Hanya orang yang jahat sahaja akan disukai oleh orang yang jahat. Tetapi orang baik pula, dia disukai oleh semua orang termasuklah orang yang jahat.

Wassalam.

Wednesday, August 13, 2008

Ayat 1000 Dinar



Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.
Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka.
Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.
Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.
Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Tuesday, August 12, 2008

Pewaris Syurga.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Bila kita sebut saja pasal syurga, pasti ramai yang tahu ada berapa peringkat, bagaimana keadaannya berdasarkan yang disebutkan di dalam Al-Quran serta tahu apa syaratnya untuk mendiami syurga Allah ini. Tidak kurang juga yang tidak tahu dan jahil pasal syurga Allah ini. Apa yang mereka tahu hanyalah adanya syurga dan neraka. Ada juga bagi yang pandai sedikit hanya tahu syurga tertinggi adalah syurga Firdaus dan neraka yang paling dalam adalah neraka Jahannam. Bagi yang kurang tahu mengenai syurga ini biarlah mengisi minda anda dengan sedikit pengetahuan mengenai syurga dan juga neraka. Syurga terdiri dari 7 tingkat dan tingkat yang pertama dan tertinggi ialah Syurga Al-Firdaus dan diikuti oleh Syurga Al-Ma'wa, Syurga Al_khuld, Syurga Al-Na'im, Syurga 'Adn, Syurga Dar Al-Salam dan Syurga Dar Al-Jalal. Neraka juga terbahagi kepada 7 tingkat dan yang terdalam dan paling dasyat adalah neraka Jahannam dan diikuti neraka Sa'ir, neraka Huthomah, neraka Saqor, neraka Jahim, neraka Hawiyah dan neraka Lazho.

Pada masa sekarang ini, tidak ramai yang tahu apa isi kandungan di dalam syurga Allah. Jika ada yang tahu pun, tidak semua yang mengejar untuk masuk ke syurga Allah itu. Orang seperti ini boleh la saya katakan mereka terdiri dari orang-orang yang rugi dan akan menyesal pada kemudian hari nanti. Sebenarnya mereka tidak mengendahkan semua ini sebab mereka tidak nampak akan kelebihannya di kemudian hari. Masyarakat sekarang lebih suka mempercayai dan mengikuti apa yang mereka lihat dengan mata kepala mereka sendiri. Sebab itu ramai diantara mereka yang hanya sekadar Islam di dalam kad pengenalan mereka sahaja. Pada hal mereka sudah jauh terpesong dan ada yang sudah murtad dari Agama Islam. Selain dari itu, kelab malam dan rumah pelacuran menjadi 'syurga' kepada mereka yang bodoh dan tidak berakal. Maafkan saya jika saya keterlaluan, tetapi bagi saya teguran secara baik sudah tidak boleh digunakan lagi. Kerana negara kita sendiri juga yang meletakkan Agama Islam sebagai agama rasmi dan mengaku sebagai negara Islam tidak mengamalkan cara hidup Islam. Orang melayu sendiri sudah tidak takut pada hukum Allah kerana kita tidak mengamalkan cara hidup Islam. Pelik tak kalau kita tanya mereka apakah agama mereka dan mereka berkata mereka beragama Islam tetapi dalam menjawab soalan itu, gelas berisi arak ada di tangan mereka. Pelik tak?

Saya juga dulu pernah terjebak, pernah rasa dan buat segala benda kejahatan pada masa 'Zaman Jahilliah'. Sebenarnya, tiada apa yang dibanggakan dan tiada apa yang bagus pun pada masa itu. Duit habis, masa habis, pelajaran hancur, kerja apatah lagi jika pelajaran sudah hancur. Hidup saya tidak pernah bahagia dan tenteram kerana ada saja benda yang tidak kena. Bila dalam soal cinta pula, hidup saya penuh dengan maksiat dan tidak pernahnya bahagia dan puas dengan apa yang saya dapat. Benarlah Firman Allah S.W.T, " Tapi saya bersyukur sebab saya sempat bertaubat dan kembali kepada ajaran Allah sebelum terlambat. Didalam sebuah forum ini, ada seorang hamba Allah yang mengatakan pada saya yang ianya belum lagi terlambat untuk saya belajar dan mendekatkan diri saya pada Allah. Hamba Allah itu sempat memberikan saya nombor telefon seandainya saya ingin mempelajari kembali dengan lebih dalam tentang Agama Islam yang suci ini.

Setelah saya menpelajari dan mendalami Agama Islam ini, ada terlalu banyak perkara rupanya yang saya tidak tahu. Rupa-rupanya apa yang saya tahu hanyalah setakat sebesar kuku sahaja. Termasuklah tentang syurga dan neraka ini yang akan saya terangkan dengan lebih lanjut di dalam blog saya di masa hadapan berdasarkan apa yang tercatit di dalam Al-Quran. Tetapi disini saya hendak memberitahu tanda-tanda mereka yang dirindui syurga. Mereka ini adalah pewaris syurga dan manusia yang disayangi Allah. Ada tujuh tanda-tanda di hidupnya dan yang pertama ialah orang yang beriman kepada Allah, Iman di hati mulut dan langkahnya. Orang yang kedua ialah orang yang menjauh dari segala perkara-perkara yang tiada guna dan berdosa. Orang yang ketiga orang yang menunaikan zakatnya. Orang yang keempat ialah orang yang menjaga kemaluannya. Orang yang kelima ialah orang yang memelihara amanat. Orang yang keenam ialah orang yang penuhi janjinya dan orang yang ketujuh ialah orang-orang yang selalu menjaga waktu dan khusyu' di dalam setiap solatnya. Mereka ini adalah orang-orang yang dirindui syurga dan syurga Firdaus lah tempat mereka. Jadi tak teringinkah kita untuk mendiami syurga-syurga Allah ini nanti? atau anda semua lebih suka mendiami neraka-neraka Allah? fikirlah sendiri, janganlah diletakkan akal yang Allah bagi tu dekat lutut. Tahu nak seronok je, langsung tak ingat dosa dan pahala. Asyik ikut nafsu jer, apa yang korang semua dapat? yang perempuan jadi pelacur dan yang lelaki jadi sampah masyarakat. Fikirlah sejenak....tak payah lama, 10 saat setiap hari pun jadi la. Fikirlah dahulu sebelum hendak membuat apa-apa perkara.

Wassalam.

Thursday, August 7, 2008

Jagalah Maruah Diri dan Keluarga.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Pada masa sekarang sudah terlalu ramai yang sudah tidak mengambil pusing perihal maruah. Bila sebut saja pasal maruah, pasti ramai saja yang tahu dan tidak kurang juga yang melenting kerana hal ini begitu sensitif terutama sekali pada kaum perempuan. Sebenarnya maruah itu tidak mengira lelaki dan perempuan. Islam menekankan soal maruah diri kerana ia adalah gambaran sebenar keperibadian Muslim yang mengikut prinsip syarat Islam sejati. Setiap tingkah-laku, tindak-tanduk, pergaulan, tutur kata dan cara berpakaian selari kehendak Islam menjadikan maruah diri seseorang itu berada di tempat tinggi serta terhormat, seperti yang terhias pada diri Rasulullah S.A.W. Semua orang mempunyai maruah dan harus dijaga dan dipelihara dengan baik. Menjaga nama baik diri sendiri dan keluarga adalah perkara yang dituntut didalam Islam. Tetapi kali ini saya akan menekankan mengenai maruah seorang perempuan kerana kaum inilah yang sering mengabaikan perintah dari Allah untuk menjaga maruah mereka iaitu aurat. Hal ini ditegaskan Baginda Rasulullah S.A.W dalam sabda,"Bahawasanya aku diutuskan Allah untuk menyempurnakan keluhuran akhlak (budi pekerti)." (Hadis Riwayat Ahmad)

Islam ada memberikan garis panduan yang jelas dan senang untuk diikuti oleh setiap umat tentang bagaimana seharusnya seseorang itu menjaga maruah dirinya. Tetapi ternyata umat Islam terutamanya golongan remaja atau muda-mudi meremehkan panduan yang diberi. Sebab itulah kita dapat melihat pakaian mereka mendedahkan aurat, ketat sehingga menampakkan yang tersirat dan susuk tubuh seseorang itu. Ini adalah disebab pemikiran yang terlalu mengikut budaya barat. Mereka tidak lagi takut pada larangan agama dan ancaman Allah kerana kejahilan. Salah siapakah itu? Kalau anda tanya saya, sudah pastilah salah ibu dan bapa. Sejak kecil lagi ibu dan bapa atau penjaga (bagi anak yatim piatu) memainkan peranan penting dalam mentarbiyah anak-anak mereka dirumah dahulu sebelum dilepaskan ke dunia luar. Tapi adalah lagi menyedihkan lagi jika ibu dan bapa juga jahil tentang agama. Apabila keyakinan terhadap agama tipis, maka akhlaknya pasti ikut dihakis dan pewarisnya pasti akan ikut sama. Seperti yang di ungkapkan oleh Muhammad Quthb dalam buku Jahiliah Abad 20:".....apabila akidah menyeleweng, lambat laun moral pasti turut menyeleweng."

Sukakah anda wahai kaum wanita jika mata-mata lelaki melihat tubuh badan anda seolah-olah menelanjangi anda? Sukakah anda jika ada mana-mana lelaki yang mengambil kesempatan seperti meraba, mengintai, menggesel, menipu dengan cinta agar dapat meniduri anda dan yang paling teruk sekali ialah dirogol!? Suka!? Saya percaya, pelacur sekalipun tidak suka perkara sedemikian lebih-lebih lagi dirogol. Bila akidah sudah terpesong, akhlak punya menyeleweng, maka generasi yang dihasilkan akan datang juga akan turut rosak dan hancur. Seharusnya kita insaf akan hikmah Allah yang memerintahkan hambaNya supaya berpakaian mengikut syariat. Pakaian bukan saja melindungi tubuh badan, malah membuatkan pemakainya nampak kemas dan cantik. Memakai pakaian yang indah bukan tujuan bermegah dan menyombong diri, sebaliknya ialah supaya nampak sopan, bersih dan menutup aurat. Ini menjadikan seseorang itu ada harga diri dan terpelihara maruahnya. Bagi yang tidak menjaga pakaiannya itu bermakna mereka tidak menjaga maruah dan harga diri mereka, atau patutkah saya katakan "mereka itu tiada harga diri dan tiada maruah diri?"

Pasti ada yang marah apabila membaca apa yang saya tulis ini, tapi inilah fitrah manusia yang pendek akalnya. Tahu dimana kesilapan mereka, tapi masih dilanggar juga perintah Allah. Dimakah rasa segan dan malu mereka ini ditinggalkan? Apa yang mereka cari? Kenapa diikutkan rasa hati dan nafsu? kenapa keras sungguh hati mereka dan degil? Tahukah anda semua bahawa sifat keras hati itu selalu dikaitkan dengan pengaruh syaitan dan iblis? adakah anda itu pengikut syaitan dan iblis? atau adakah anda itu sendiri adalah syaitan dan iblis yang bertopengkan manusia? Syaitan atau iblis itu dijadikan dari api, bahang api itu memberi kesan buruk pada hati. Apabila hati sudah keras ia menyebabkan sukar untuk mendengar dan membenarkan firman Allah, dan sulit sekali untuk menerima nasihat Rasul. Apabila semua itu tidak berlaku apatah lagi nasihat dari kawan, keluarga dan masyarakat. Tidak takutkah dengan hukuman Allah? tidak takutkan dengan kecelakaan yang bakal menimpa nanti?

Perintah menutup aurat dapat diperhatikan dalam fiman Allah yang bermaksud ,"Wahai Nabi, suruhlah isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa keluar)" - Surah al Ajzan, ayat 59. Mereka yang menjaga maruah dan harga diri mereka sering menampilkan ciri sangat mengagumkan seperti taat perintah Allah, berakhlak mulia dan terpuji, tawaduk, pemaaf, baik dalam pergaulan serta lunak tutur kata. Maknanya mereka yang menjaga maruah diri adalah mereka yang memiliki sifat insan yang dikasihi Allah seperti sabda Rasulullah S.A.W, "Sikap yang baik, menjaga diri dan hidup berhemat adalah satu bahagian daripada dua puluh empat bahagian daripada kenabian." (Hadis riwayat Tarmizi). Jadi, renung-renungkanlah......siapakah anda sebenarnya? Islam pada nama atau Islam yang hanya tertulis di kad pengenalan sahaja atau Islam yang sebenarnya?

Tuhan! Aku adalah hambaMu.

Tuhan! aku adalah hambaMu,
Aku adalah hamba,hanya orang biasa sahaja,
Aku bukan Nabi ,tidak juga Rasul,
Ertinya aku bukan maksum,
Aku sentiasa terdedah dengan dosa,

Walaupun aku berhempas pulas melawan hawa nafsuku,
Sekali sekala aku kalah jua atau kecundang dengan nafsu,
Diwaktu itu sudah tentu syaitan mengambil peluang menggodaku,
Maka sudah tentu akupun terbuat dosa,

Tetapi aku tetap mengaku bersalah dan memohon
ampun kepadaMu Tuhan,

Begitulah selalunya berlaku kepadaku
didalam
kehidupanku ini,

Aku bukan tidak sedih dengan dosa,
Tapi dengan kelemahan aku,aku terbuat dosa lagi,
Namun begitu aku tetap memohon keampunanMu,
Oleh itu aku harap padaMu janganlah biarkan aku
dengan dosa-dosa yang tidak terampun,

Dengan rahmatMu aku harap ampunkanlah dosa-dosaku,
Dengan kasihsayangMu maafkanlah kesalahan-kesalahan aku itu,
Aku bukan seronok dengan dosa bahkan terseksa dengannya,

Tapi aku lemah,kerana itu selalu sahaja terbuat dosa,
Kalau Engkau tidak pimpin aku,
begitulah yang
selalu berlaku kepadaku,
Pimpinlah aku Tuhan agar aku selamat dari dosa-dosa dan noda-noda,

Jika aku terbuat juga dosa-dosa aku
harap Engkau ampunkanlah dosa-dosaku itu.

Tuesday, August 5, 2008

Bulan-bulan Dalam Islam dan Amalan Sunat Yang Memberi Manafaat Pada Kita.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Bila sebut pasal bulan di dalam kalendar, semua orang tahu menyebutnya. Tapi bila kita sebut pasal bulan Islam, begitu sedikit yang tahu dan hafal kesemuanya. Apa yang mereka tahu ialah bulan Ramadhan dan bulan Syawal sebab kerana puasa dan raya. Jadi disini saya akan bagi senarai bulan-bulan dalam Islam dan amalan-amalan sunat yang boleh kita buat untuk mendapat berkat dan sekaligus mendekatkan kita padaNya.

1. Muharram
2. Safar
3. Rabiul Awwal
4. Rabiul Akhir
5. Jamadil Awwal
6. Jamadil Akhir
7. Rejab
8. Sya'ban
9. Ramadhan
10. Syawal
11. Zulkaedah
12. Zulhijjah

BULAN MUHARRAM
Tanggal 1-9hb disunatkan berpuasa (puasa Tasua')
Tanggal 10hb disunatkan berpuasa (puasa Asyura)
Dalam bulan ini disunatkan agar memperbanyakkan amalan bersedekah kepada fakir miskin
Disunatkan supaya melebihkan perbelanjaan dalam keluarga
Mengusap kepada anak yatim dan menaruh perasaan belas kasihan terhadap mereka
Memperbanyakkan bacaan zikir dan selawat
Sesiapa yang berbuat baik kepada anak yatim seolah-olah ia telah berbuat baik kepada semua anak-anak yatim.
Sesiapa yang bersedekah pada hari itu maka seolah-olah ia tidak pernah menolak permintaan orang yang meminta-minta selama hidupnya



BULAN SAFAR
BULAN RABIUL AWWAL
BULAN RABIUL AKHIR
BULAN JAMADIL AWWAL
BULAN JAMADIL AKHIR

Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini melainkan amalan sunat dan fardhu seperti biasa.


REJAB

Bersabda Rasulullah saw maksudnya " Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku." Sesiapa yang berpuasa dalam bulan ini dengan penuh ikhlas semata-mata mengharapkan rahmat dari Allah maka ia layak mendapat ganjaran dari Allah seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw maksudnya,
Sesiapa yang berpuasa sehari maka ia akan mendapat keredhaan Allah
Sesiapa yang berpuasa 2 hari maka ia akan mendapat kemuliaan yang besar dari Allah
Sesiapa yang berpuasa 3 hari maka ia akan dijauhkan dari Allaj dari dugaan dunia, deselamatkan dari penyakit yang berbahaya dan diselamatkan dari disiksa diakhirat dan fitnah dajjal
Sesiapa yang berpuasa 7 hari maka akan dikunci oleh Allah 7 pintu neraka jahannam baginya
Sesiapa yang berpuasa 8 hari maka akan dibuka oleh Allah 8 pintu syurga baginya
Sesiapa yang berpuasa 10 hari maka akan dieprkenankan oleh Allah hayat dan permintaannya
Sesiapa yang berpuasa 15 hari maka Allah akan menambahkan pula pahala amalannya berlipat kali ganda
Orang yang berpuasa di bulan Rejab kelak di Syurga diberi minum air sungai yang bernama Rejab yang airnya lebih putih dari susu, lebih manis dari manisan dan lebih dingin dari salji
Dalam bulan lain setiap amalan akan digandakan Allah 10 kebajikan, tetapi pada bulan Rejab akan digandakan sebanyak 70 kebajikan.
Digalakkan mendengar kisah dan peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab seperti Isra' Mikraj Rasulullah saw.



BULAN SYAABAN

Syaaban adalah bulan Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya " Dinamakan dengan syaaban (berserak-serak) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak.
Setiap amalam kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 700 kali ganda
Allah akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambanya.
Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan di akhirnya maka Allah akan menuliskan baginya pahala 70 orang nabi, pahala beribadat selama 70 tahun.
Kelebihan malam nisfu Syaaban pula ialah sesiapa yang mendirikan solat sunat sunat dan menghidupkan malam itu dengan banyak berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca al Quran dan sebagainya maka Allah akan membukakan untuknya 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.
Orang-orang yang tidak diampunkan oleh Allah pada malam nisfu syaaban ialah mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, derhaka terhadap kedua ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan tali silaturrahim.



BULAN RAMADHAN

Ramadhan adalah bulan umat Muhammad saw. Bersabda baginda yang bermaksud " Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan."

Sabda baginda dalam hadis yang lain, " Jika umat manusia itu mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam bulan ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu Ramadhan"

Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda
Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu
Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari api neraka
Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat sunat yang lain.
Benyakkan berdoa, berzikirz selawat, membaca Al Quran, bertaubat dan lain-lain
Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan ditimpa kemalangan.
Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam Lailatul Qadar seperti beriktikaf di masjid, qiamullail dan sebagainya



BULAN SYAWAL

Amalan sunat di bulan Syawal :
Amalan sunat pada 1 Syawal seperti :
a) Membayar zakat fitrah sebelum menunaikan Solat Aidil Fitri
b) Menghias diri dan tempat tinggal supaya kelihatan bersih dan cantik
c) Mendi Sunat Aidilfitri pada pagi harinya
d) Menjamah sedikit makanan sebelum keluar menuju masjid
e) Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain
f) Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid
g) Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 1 Syawal hinggalah tersenam matahari pada hari raya tersebut.
Berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal (Sunat Syawal)
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya " Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan kemudian diikuti dengan 6 hari dibulan Syawal maka perumpamaannya seperti ia berpuasa sepanjang tahun."


BULAN ZULKAEDAH

Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini melainkan amalan sunat dan fardhu seperti biasa.



BULAN ZULHIJJAH

Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a, Rasullullah s.a.w telah menerangkan tentang fadilat di bulan Zulhijjah iaitu :
Tanggal 1 Zulhijjah kesalahan Nabi Adam as telah diampunkan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu dosanya akan diampunkan oleh Allah
Tanggal 2 Zulhijjah doa nabi Yunus as diperkenankan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu seperti berpuasa setahun dan dicatitkan baginya seperti tidak pernah melakukan maksiat.
Tanggal 3 Zulhijjah doa nabi Zakaria telah diperkenankan oleh Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu doanya juga akan diperkenankan oleh Allah
Tanggal 4 Zulhijjah Nabi Isa dilahirkan. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terhindar dari kefakiran dan kemelaratan.
Tanggal 5 Zulhijjah Nabi Musa as dilahirkan. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terlepas ia dari sifat munafik dan siksa kubur
Tanggal 6 Zulhijjah allah telah membukakan pintu-pintu kebajikan kepada nabi-nabiNya. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dipandang oleh Allah dengan pandangan rahmat
Tanggal 7 Zulhijjah pintu neraka Jahannam akan dikunci. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dibukakan 30 pintu kemudahan dan dikunci 30 pintu kesulitannya
Tanggal 8 Zulhijjah Nabi Ibrahim telah mendapat perintah supaya menyembelih anaknya Ismail. Seharian ia berfikir sama ada perintah itu daripada Allah atau dari Syaitan.Hari itu dinamakan hari Tarwiyah (hari berfikir). Sesiapa yang berpuasa hari tersebut akan diberikan pahala yang banyak oleh Allah
Tanggal 9 Zulhijjah Allah telah memberitahu kepada Nabi Ibrahim bahawa mimpinya itu adalah benar dari Allah, bukan dari syaitan. Oleh itu, hari tersebut terlah dikenali sebagai 'Arafah' (Hari ketahui).

Sunat bersedekah kepada fakir miskin. Sesiapa yang bersedekah pada hari tersebut akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat nanti dalam keadaan aman dan sentosa.
Amalan sunat pada 10 Zulhijjah seperti :
a) Mandi sunat Aidil Adha pada pagi harinya.
b) Sunat tidak menjamah makanan atau minuman sehinggalah selesai menunaikan solat Adha
c) Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain
d) Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid
e) Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 10 Zulhijjah hinggalah tersenam matahari pada tanggal 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad)
Sunat membaca doa akhir tahun pada tanggal 29 atau 30 Zulhijjah selepas solat Asar dan membaca doa awal tahun selepas solat Magrib pada malam pertama awal Muharram.

Sekian, Wassalam.

*Sumber lawam web e-zakat.com.my.

Monday, August 4, 2008

Di Pondok Kecil

Dinyanyikan oleh - Nada murni




*Di pondok kecil
Di pantai ombak
Berbuih putih
Beralun - alun

Disuatu hari
Ayah berkata
Jaga adik mu
Ayahkan pergi jauh
Ku pandang wajah ayah
Dahinya ku cium
Air mata mengalir
Hati ku pilu

ulang *

Diam-diamlah sayang
Jangan menangis
Doakan ayah
Semoga diterima

Diam adik ku sayang
Jangan menangis
Andai ayah gugur
Doakan dia syahid

ulang *

Selamat berjuang
Ayah tercinta
Kau pergi dulu ayah
Ke medan juang

Ku iringi doa
Moga berjaya
Beroleh kemenangan
Demi agama Islam

ulang*

Wahai abangku
Ke mana ayah
Ku sayang ayah
Ku cinta ayah

Duhai adik ku sayang
Jangan bersedih
Ayah mu pergi
Menyambut seruan ilahi

Tapi ingatlah adikku
Pesanan ayah
Berjuang dan berkorban
Walau dimana jua

ulang*

Pada mu tuhan
Aku bermohon
Dosa ayah ku
Minta diampunkan

Berilah rahmat
Bantulah ia
Untuk menegakkan
Agama Islam


Friday, August 1, 2008

Kasih Sayang Seorang Ayah.

Assalamualaikum Warahmatullah.

Sudah lama saya tidak menulis di dalam blog ini. Mungkin kerana kesibukan kerja dan perjumpaan dengan kawan-kawan lama membuatkan saya terlalu letih hendak menulis. Pada kali ini saya ingin berkongsi mengenai pendapat dan pandangan saya mengenai insan yang bergelar bapa. Pernah tak kita dengar pepatah yang mengatakan 'Kasih ibu membawa ke Syurga, kasih ayah tiada penghujungnya.' Bila kita mendengar atau membaca ayat ini, pasti ramai yang menganggap lebih baik menjaga ibu dari menjaga ayah. Malah ada yang memberikan perhatian yang lebih kepada ibu kerana inginkan syurga. Sebenarnya apa yang saya hendak katakan ialah, kasih sayang dari kedua-duanya adalah sama penting dan hendaklah dijaga sama adil dan beratnya. Tanpa ayah tiadalah kita didunia ini. Ayah mencari rezeki untuk memberikan sesuap nasi untuk isteri dan anak-anaknya. Ayah mencari tempat berteduh untuk keluarganya. Ayah menjaga maruah keluarganya tanpa mengira masa dan tempat. Ayah mendidik kita menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.

Tetapi pada masa sekarang terlalu ramai ayah yang menjadi sifat seperti binatang. Merogol anak sendiri, menyeksa dan mendera anak dan isteri, meninggalkan anak dan isteri tanpa sebarang nafkah dan lain-lain lagi perkara buruk yang saya tidak sanggup hendak ceritakan disini. Sebenarnya terjadinya perkara seperti ini pasti ada sebab dan puncanya. Saya tidak berniat hendak menyalahkan sesiapa pun, tetapi sekadar untuk meluahkan pandangan saya untuk dikongsi bersama semua pembaca sekadar menjadi renungan dan menginsafi diri sahaja. Maafkan saya jika ada yang tersinggung dengan luahan hati saya pada kali ini. Bagi saya, apa saja yang kita panggil ayah kita itu berdasarkan sifatnya itu, dia tetap ayah kita. Islam mewajibkan kita menghormati kedua ibu bapa kita. Dalam Islam juga adalah merupakan tanggungjawab ayah untuk mendidik anak-anaknya ke jalan yang benar dan yang diredhai Allah. Jika yang sebaliknya terjadi, ayah yang kita harap akan membimbing anak dan menjadi pelindung keluarga sudah jauh menyimpang dari ajaran Islam, maka perkara ini amatlah penting dan sangat mengecewakan. Bagi anak yang soleh yang merasa bertanggungjawab mengajak ayahnya ke jalan kebenaran, gunakanlah beberapa pendekatan untuk berdakwah atau untuk mengajaknya ke jalan yang benar.

Jika kita merasa tidak mampu untuk menasihati secara langsung terhadap ayahnya maka gunakan oleh ketiga yang memungkinkan si ayah mendengar kata-katanya. Seperti sahabat karibnya, datuk atau adik beradik ayah tersebut. Mintalah bantuan kepada mereka agar menasihatinya dan gunakan pendekatan yang terbaik iaitu dengan hikmah dan jangan goreskan keegoaannya agar nasihat tersebut mudah diterimanya. Setelah itu kita sendiri bolehlah membeli buku-buku agama yang berkaitan dengan masalah yang sedang dihadapi, serta letakkan di tempat-tempat yang memungkinkan ayah kita melihat atau tertarik untuk membacanya. Mungkin pada saat tertentu ia tertarik untuk membacanya dan terbuka hatinya untuk kembali kepada pekerjaan yang baik. Yang paling penting sebagai anak yang soleh berdoalah selepas solat lima waktu agar ayah anda berubah dari perangai yang tidak baik tersebut dan mohonlah kepada Allah SWT agar dilimpahkan hidayah didalam sanubari ayah kita.

Bukan dengan meminggirkan ayah kita atau membenci mereka. Ini bukan yang diajar oleh Islam. Islam ada menyuruh kita berbuat baik kepada sesiapa sahaja meskipun orang itu adalah orang bukan Islam. Keagungan ajaran Islam mewariskan segala aspek kehidupan termasuk hubungan antara kita dengan ibu bapa. Jika kita mengabaikan tanggungjawab tersebut maka musnahlah sendi agamanya dan hancurlah nilai kehidupannya. Kederhakaan anak akan mewariskan penderitaan berpanjangan dan menguburkan berkah dalam kehidupan dunia dan akhirat. Hanya anak yang soleh menikmati makna hakiki dari kehidupannya, kerana dapat menghirup air kedamaian dari kedua ibu bapa kita, insya Allah. Jadi, seteruk mana perlakuan bapa kita terhadap kita, adalah tidak menjadi hak kita untuk membenci mereka. Di dalam Islam seorang anak dituntut agar bersopan santun dan menyayangi orang tuanya walaupun orang tuanya berbeza agama. Jadi konsep berbakti dan menghormati orang tua tidak hilang lantaran perbezaan agama, kepercayaan, amalan dan sebagainya apatah lagi jika mereka seagama dengan kita, maka menjadi lebih besar penghormatan kita terhadap mereka. Memang tidak semua orang tua menjalankan perintah agama dengan betul, namun begitu sebagai seorang anak yang soleh sentiasa menggunakan berbagai pendekatan untuk mengajak dan memujuk orang tua mereka agar menjalankan segala yang diperintahkan oleh agama. Walaupun dalam konsep dakwah seperti yang dianjurkan oleh nabi "sampaikan kebenaran itu walaupun pahit" namun gunakan hikmah, ertinya memahami segala aspek jiwa dan perasaan orang yang kita ajak ke arah kebenaran tersebut. Jangan gunakan bahasa yang kasar atau pendekatan yang keras dalam menyampaikan kebenaran, agar kebenaran itu nampak cantik dan manis. Sebagai seorang anak yang prihatin terhadap pengamalan agama ibu atau bapa, hendaklah banyak mendoakan keduanya agar memperoleh hidayah dan kelapangan jiwa dalam menerima dan mengamalkan ajaran Islam. Jangan sakiti hati mereka dengan walaupun sedikit, dan jangan gores perasaan mereka dengan nasihat-nasihat yang keras dari kita, namun ungkapkanlah dengan kata-kata yang baik dan lembut. Mungkin ketika ini hati mereka belum terbuka, namun pada masa yang lain, Allah memberikan petunjuk dan hidayah berkat doa dan ungkapan yang lembut dari bibir anaknya yang soleh/solehah. Sediakanlah bahan bacaan agama di rumah anda, agar saat-saat terluang dapat mereka gunakan untuk melihat dan merujuk sesuatu yang mereka belum fahami. Jangan menjadi guru di depan ibu bapa dan keluarga, jadilah sebagai seorang anak soleh yang bersahabat dengan segala masalah yang dihadapi mereka, dengan sendirinya mereka akan mudah menerima nasihat dan cadangan dari kita.

Permasalahannya sekarang, anak-anak sendiri kurang dengan didikan agama. Jadi apabila mereka dikhianati oleh bapa mereka, mereka lupa akan tanggungjawab mereka sebagai anak di dalam Islam. Ada anak yang dirogol oleh bapa mereka, ada anak yang ditinggalkan oleh bapa mereka sewaktu kecil. Sebenarnya bukanlah menjadi suatu alasan untuk kita membenci ayah kita kerana perkara sebegitu. Ada yang membenci namanya yang berbin atau berbintikan ayahnya itu. Ada yang tidak suka jika ada orang lain memanggil nama penuhnya berserta nama ayahnya itu. Itulah yang dinamakan kekurangan didikan Agama Islam dan kurangnya Iman seseorang itu. Mungkin saya tidak pernah merasa apa yang dirasai oleh mereka yang mempunyai pengalaman seperti itu. Tapi yang pasti ia adalah satu pengalaman yang dasyat bagi mereka yang mempunyai pengalaman ini dan saya amat bersimpati dengan mereka. Tetapi saya percaya dengan Rukun Iman yang terakhir iaitu "Percaya kepada Qada' dan Qadar". Saya percaya, jika kita tidak menghormati ibu bapa kita, dan lupa akan tangungjawab kita kepada ibu bapa kita, meskipun mereka itu salah atau tidak, Allah akan membalasnya suatu hari nanti. Suatu hari nanti kita akan menjadi ibu atau bapa kepada anak-anak kita. Hendakkah kita suatu hari nanti anak-anak kita menjadi derhaka sepertimana kita dahulu derhaka kepada ibu bapa kita? Mungkin ada diantara kita yang sudah menanamkan didalam hati yang mereka tidak akan memperlakukan anak-anak kita seperti mana kita diperlakukan dahulu. Tetapi anggapan itu salah, beranggapan yang kita akan selamat dan bahagia adalah jauh sama sekali jika kita menderhakai kepada ibu bapa kita. Dalam Al-Quran dan Hadith ada menyatakan wajib bagi kita menghormati ibu bapa kita dan berdosa besar jika kita menderhakai keduanya. Suatu hari nanti kita pasti akan mendapat balasan dariNya.

Pernah ada satu kisah benar di mana seorang anak tidak taat kepada kedua ibu bapanya, walaupun ibu bapanya seorang yang tidak taat kepada agama. Anak itu telah didoakan oleh ibu dan bapanya agar tidak bahagialah dia sehingga bila-bila pun! Doanya itu dimakbulkan dan tidak berkat dan tidak tenanglah hidup anaknya itu. Apa saja kejayaan yang dicapai oleh dia tidak memberi sebarang makna. Hidupnya kosong dan tidak mempunyai seri, dirinya sentiasa muram seperti ada kehilangan sesuatu. Pada saat dia hendak menghembuskan nafasnya yang terakhir, amatlah seksa dirinya sehinggalah dia meminta ampun kepada kedua ibu bapanya itu. Kisah ini saya ambil daripada majalah Mestika. Dari cerita ini dapatlah kita belajar yang doa ibu bapa itu amatlah dimakbulkan meskipun ibu bapa kita itu bukan dari yang taat pada agama. Kita sering melihat drama dan filem yang menceritakan kisah derhaka anak kepada ibu dan bapanya. Kita sedih dan kadangkala kita gembira apabila melihat kesudahannya. Kenapa kita tidak sedikit pun mengambil iktibar dan insaf dari cerita itu dan mempraktikkannya? di mana letaknya otak kita? di lutut? bila dipanggil bodoh, kita marah. Habis tu apakah perkataan yang sesuai?

Kesimpulannya disini ialah, walau seteruk mana pun ibu bapa kita itu. Sama ada kita dibuang pada masa kecil atau ditinggalkan sehingga kita hidup susah dan merempat, di rogol dan di dera sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk menghormati kedua ibu bapa kita. Sudah tertulis di dalam Al-Quran dan Hadith yang kita wajib melakukannya. Kalau kita seorang yang selalu solat, tapi kita tidak mengikut ajaranNya, maka sia-sialah segala amal kita itu. Itu pada yang taat pada agama, bagaimana pula dengan yang tidak taat pada perintah Allah pula? Sudah tentu celakalah hidupnya itu nanti dan tidak akan ada keberkatan kepada dirinya sama ada di dunia atau di akhirat nanti. Kepada yang masih ada ibu dan bapa, segeralah bertaubat dan meminta maaf kepada mereka. Kepada yang sudah tiada keduanya, perbanyakkanlah doa dan sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka, kerana dengan doa yang kita kirimkan itulah yang akan membuatkan mereka selamat dan aman di sana. Berubahlah sebelum terlambat, kerana jika sudah terlambat semuanya tidak bermakna lagi. Janganlah jadi orang yang kesal dan kurang bijak, kerana yang berkuasa itu sememangnya Allah dan Allah tidak pernah lalai dan lupa keatas apa yang kita buat.

Wassalam.