NuffNang

Nuffnang

Translate


Monday, August 24, 2009

Al- Quran itu Petunjuk, Penjelasan dan Pembeda.

Assalamualaikum semua,

Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua. Saya harap pada 1 Ramadhan yang lepas anda semua dapat bersahur dan berbuka bersama keluarga yang tersayang. Hari ini masuklah hari ke-3 kita berpuasa. Pasti banyak kenangan yang tersimpan dan tercipta pada hari ini. Pada hari ini juga merupakan peluang pada mereka yang muda dan bujang untuk berbuka bersama kekasih hati yang tersayang. Ok, cukup pasal benda yang tak berfaedah ini. Apa yang saya nak ceritakan pada hari ini ialah berkenaan dengan surah Al-Baqarah ayat 185. Di dalam ayat ini ada menerangkan mengenai puasa dan juga mengenai bulan Ramadhan ini.

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.

(2:185)

Di dalam ayat ini, jelas menunjukkan yang di dalam bulan Ramadhan ini adalah bulan yang diturunkan permulaan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, penjelasan dan juga pembeza antara yang haq dan yang bathil. Ayat ini juga jelas menunjukkan cara untuk menggantikan puasa kepada mereka yang tertinggal atau berbuka sebelum sampai waktunya. Didalam ayat ini juga ada menunjukkan apa yang harus kita buat jikalau kita berpuasa di tempat orang. Tetapi apa yang paling utama dan yang hendak saya kongsikan ialah, Al-Quran sebagai petunjuk, penjelasan dan pembeda kepada manusia.

Allah telah menyatakan yang inilah tujuan Al-Quran itu diturunkan. Tetapi kita sebagai manusia yang sudah tersedia maklum mengenai kepentingan Al-Quran itu sering melupai dan melakukan apa yang dilarang oleh Allah kepada manusia. Di manakah silapnya? Adakah Al-Quran itu terlalu susah untuk kita? Jika kita mengatakan ianya susah, maka kita silap. Ini dapat saya buktikan dengan firman Allah dari surah Al-Qamar ayat yang ke 17 :-

Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?
(54:17)

Jika kita mengatakan Al-Quran ini susah, jadi apa maknanya firman Allah ini? Apa maksud Allah yang mengatakan Al-Quran ini mudah? Didalam surah Ad Dukhaan ayat 58, Allah berfirman :

Sesungguhnya Kami mudahkan Al Quran itu dengan bahasamu supaya mereka mendapat pelajaran.
(44:58)

Maksudnya disini ialah, Nabi Muhammad adalah seorang yang berbangsa arab, Al-Quran diturunkan didalam bahasa arab, jadi sudah tentulah Nabi Muhammad faham dan boleh mendapat pelajaran dari Al-Quran. Jika kita yang membacanya, sudah tentulah kita tidak akan faham dan hanya orang tertentu sahaja yang akan faham. Apa yang saya maksudkan disini ialah, Pada masa sekarang kita sudah ada Al-Quran terjemahan dan tafsir di dalam bahasa melayu. Jadi, baca dan fahamkan dahulu Al-Quran itu dalam bahasa kita, kemudian barulah kita membaca dan melancarkan bacaan yang di dalam bahasa Arab tersebut. Bila kita sudah faham segala isi Al-Quran, dapatlah kita praktikkan mengikut sunnah dan sudah pasti kita akan mendapat pelajaran.

Jadi, kepada para pengikut blog saya yang setia, bacalah dan fahamilah Al-Quran itu. Kerana itu sahajalah yang kita ada sebagai pelindung kita untuk hari kiamat nanti. Janganlah sombong atau hanya berbuat baik pada bulan Ramadhan sahaja, kerana yang rugi nanti sudah pastilah diri kita sendiri.

Wassalam.

1 comment:

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.