NuffNang

Nuffnang

Translate

Monday, August 31, 2009

Kasih Ibu.

Assalamualaikum semua...

Hari ni ada hari di mana kita menyambut hari kemerdekaan yang ke-52. Jadi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari kemerdekaan kepada semua pembaca blog saya dan juga kepada kawan-kawan sekalian. Tetapi pada hari ini, bukan ini yang menjadi keutamaan saya untuk menulis. Apa yang ingin saya ceritakan dan ungkitkan ialah mengenai kasih sayang seorang ibu. Semua orang tahu dan amat faham dengan topik saya pada kali ini. Sudah beribu kali perkara ini disebut-sebut dan ditanamkan ke dalam otak dan hati kita sama ada oleh guru-guru di sekolah atau oleh orang-orang di sekeliling kita. Jika ada diantara kita yang pernah menghadiri kursus keagamaan atau kursus bina insan, sudah pasti perkara ini akan disebut oleh penceramah.

"Kasih sayang ibu membawa ke syurga," inilah ungkapan yang sering kita dengar dan ungkapkan kepada sesiapa sahaja yang menderhaka kepada ibu mereka. Tetapi, adakah ianya memberi kesan kepada diri kita? Kepada yang betul-betul beragama Islam, sudah pasti ianya memberi kesan sehinggakan kita akan menangis apabila disebut tentang ibu kita. Tetapi kepada yang Islam hanya pada nama, perkara ini tidak sekali pun menyentuh hati dan perasaan mereka. Sehinggakan mereka sanggup memukul, mencaci dan membuat apa sahaja perkara yang keji kepada ibu mereka. Dimanakah silapnya wahai kawan-kawanku?

Sebenarnya saya juga adalah salah seorang dari mereka yang derhaka kepada ibu mereka. Saya pernah meninggikan suara saya kepada ibu saya, saya juga selalu menipu ibu saya. Tetapi suatu hari itu, apabila saya melihat satu kejadian yang berlaku di depan mata saya, terdetiklah penyesalan yang amat sangat kepada ibu saya. Kejadian itu ialah di mana seorang wanita tua dipukul oleh seorang budak lelaki di tepi jalan raya. Setelah budak lelaki itu beredar dan ditinggalkan wanita tua itu di tepi jalan, saya dan kawan-kawan saya pergi mendapatkan wanita tua itu untuk membantunya. Setelah kami menolong wanita tua tersebut, tiba-tiba terluahlah dari mulut wanita tua itu kata-kata nasihat yang betul-betul menyentuh hati kami. Barulah kami tahu yang budak lelaki itu adalah anaknya. Walaupun diperlakukan sedemikian, ibunya tetap tidak mahu melaporkan perkara itu kepada polis kerana percaya yang anaknya akan insaf. Begitu kasih dan sayangnya ibu tersebut kepada anaknya sehinggakan tidak mahu apa-apa pun yang buruk berlaku kepada anaknya itu. Kejadian itu sudah berlaku pada 10 tahun yang lepas dan apabila saya pulang ke kampung, budak yang derhaka itu sudah berubah sepenuhnya.

Kepada kawan-kawan dan pembaca blog yang saya kasihi sekalian. Ibu kita hanya ada satu, dialah yang melahirkan kita, yang membesarkan kita dan mendidik kita untuk kita bersedia menghadapi keadaan dunia yang penuh pancaroba ini. Memang ada segelintir ibu yang tidak bertanggungjawab kepada anaknya sehinggakan sanggup membuang anaknya. Tetapi walau apapun, mereka tetap ibu kita dan apa yang mereka lakukan itu bukanlah kehendak mereka. Ada juga yang berdendam kepada ibu mereka, tetapi untuk apa? Sampai bila? Tanpa ibu kita, tiadalah kita didunia ini. Jagalah ibu kita sebagaimana mereka menjaga kita dahulu. Mereka menyusukan kita, membasuh najis kita, mencari rezeki untuk kita dan melindungi diri kita dari bahaya.

Apabila sudah dewasa, sudah sampailah masanya untuk kita menjaga mereka kembali. Berilah mereka perlindungan, berilah mereka keselesaan kerana pada masa inilah mereka perlukan rehat yang secukupnya sebelum mereka menyambut panggilan Illahi. Adalah menjadi kewajipan kita untuk membalas segala pengorbanan mereka kepada kita. Seperti firman Allah dalam surah Al-Ahqaaf ayat ke-15 :-

Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (46:15)

Ini adalah satu perintah dari Allah untuk kita patuhi dan kita ikuti. Jadi, layakkah kita dipanggil Islam jika perintah ini tidak kita patuhi dan turuti. Akhir kata dari saya, sayangi dan hormatilah ibu kita dan hayatilah video klip ini sebagai sajian mata anda semua.

Wassalam.


video

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.