NuffNang

Nuffnang

Translate

Wednesday, December 2, 2009

Belajar menerima kenyataan. (Vol.3)

Assalamualaikum semua.

Ini adalah siri ke-3 artikel Belajar menerima kenyataan. Pada siri yang lepas saya bercerita dari aspek cinta dan kerjaya. Kali ini saya hendak bercerita mengenai kisah menerima kenyataan dari aspek kehidupan. Di dalam kehidupan kita, tiada seorang pun yang tidak pernah gagal dalam mencapai kejayaan dalam kehidupan. Setiap orang ada jatuh dan bangun dalam usaha untuk mencapai sasaran. Itu pada orang yang mempunyai sasaran, tetapi bagaimana pula dengan orang yang tidak mempunyai sasaran? Saya tidak akan bercerita mengenai pihak yang lagi satu ini. Setiap tahun, kita pasti ada matlamat, azam atau resolusi yang baru untuk di capai. Setiap tahun juga kita akan menilai kembali apa yang dicapai oleh kita pada tahun tersebut untuk mengetahui di mana tahap kita yang sebenar.


Kemuncak kejayaan kehidupan kita ialah apabila kita dapat mencapai sasaran yang telah kita tetapkan pada tahun tersebut. Tetapi jika kita tidak berjaya dalam mencapai sasaran, inilah saatnya dimana kekuatan mental kita akan diuji. Ada orang yang mengambil sasaran yang ditetapkan mereka terlalu serius sehingga mengalami tekanan mental apabila gagal mencapainya. Jadi pada masa inilah kawan-kawan menjadi pendamping untuk menguatkan kita kembali. Kebanyakkan orang tidak akan menceritakan permasalahan mereka kepada ibu bapa mereka. Mereka lebih suka menceritakan masalah mereka dengan kawan-kawan mereka sendiri. Sebenarnya kita boleh belajar menerima kenyataan dengan kekuatan diri kita sendiri sahaja. Tak percaya? Percayalah, kita sendiri mampu untuk melakukannya.

Kekuatan yang utama ialah daripada diri kita sendiri. Kalau kita hendak, kita mampu melakukannya. "Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan." Sebab itulah asas akidah kita kena kuat dan teguh. Bagaimana hendak menguatkan akidah kita ialah dengan menjalankan suruhan Allah dengan sepenuh hati. Hati yang bersih akan dapat membantu kita dalam menerima segala ujian dariNya. Ini dapat saya buktikan dengan perubahan yang jelas pada diri seorang sahabat saya. Pada mulanya, setiap masalah yang menimpa dirinya menjadi satu bebanan padanya. Tetapi semua itu berubah apabila dia mula tahu apa itu ujian dan apa itu bala. Ujian dan bala merupakan dua perkara yang sangat besar perbezaannya. Tetapi apabila kita ditimpa bala dan ujian dari Allah SWT, kita sering mengucapkan "Ya Allah, apalah dosaku ini?" Ayat ini seolah-olah kita menyalahkan Allah atas apa yang menimpa diri kita. Wajarkah kita menyalahkan Allah atas apa yang menimpa diri kita? Atau wajarkah kita pasrah atas apa yang menimpa diri kita? Disinilah kekuatan Akidah itu memainkan peranan yang penting.

Apabila datang sesuatu ujian, kita hendaklah menerimanya dengan redha dan terus bangkit untuk menghadapinya. Barulah kita akan merasa kemanisan kejayaan itu. Contohnya, pada tahun ini kita menetapkan sasaran untuk mencapai gred yang terbaik dalam SPM. Tetapi apakan daya keputusan yang diperolehi hanyalah cukup-cukup makan sahaja. Kita janganlah pasrah, tetapi kita haruslah cuba untuk memperbaiki diri kita dengan alternatif yang ada. Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya. Sungguh banyak punca rezeki yang ada didunia ini dan hanya kemahuan kita sahaja yang menjadi penghalangnya. Jadi belajarlah menerima kenyataan agar setiap detik hidup kita menjadi lebih bermakna.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.