NuffNang

Nuffnang

Translate

Sunday, April 11, 2010

Siapa yang bersalah? Kerajaan? Ibu bapa? Diri sendiri?




Baru-baru ini negara kita telah dikejutkan oleh kejadian ragut yang terjadi di kawasan rumah mangsa itu sendiri. Rakaman cctv telah berjaya merakam detik-detik cemas kejadian tersebut. Apa reaksi anda terhadap kejadian ini? Sedih? Marah? Saya yakin yang kejadian ini bukanlah yang pertama dan ianya sudah pasti bukan yang terakhir. Bagaimana kita hendak mentafsirkan kawasan selamat? Rumah kita sendiri yang kita sangka adalah tempat yang paling selamat rupa-rupanya sudah tidak selamat lagi. Saya pernah berjumpa dengan seorang pesara polis yang suka menceritakan pengalaman beliau semasa beliau bertugas sebagai pegawai polis. Banyak cerita yang diceritakan beliau amatlah tidak masuk akal dan mengerikan. Tetapi setelah terjadinya begitu banyak kejadian jenayah yang tidak masuk akal ini, barulah saya percaya akan cerita-cerita beliau.

Setelah saya fikirkan beberapa kali, saya bertanya kepada diri saya sendiri...siapakah yang boleh saya harapakan? siapakah yang boleh saya percayakan selepas ini? Siapa? Selain dari keluarga saya sendiri, tiada siapa yang dapat saya percaya 100%. Persoalan seperti "Apa sudah jadi?" , "Mengapa jadi bergini?" sudah basi dan saya sendiri sudah meluat menyebutnya apatah lagi mendengar. Mahu salahkan siapa? Jawapan saya ialah salahkan diri sendiri. Ya, diri sendiri adalah punca kepada apa yang terjadi di negara kita ini. Tidak setuju? Tidak peduli? Ya, itu adalah jawapan biasa yang saya dengari. Bagi saya ini adalah jawapan yang bodoh dan hanya orang yang tidak berakal sahaja yang mampu mengeluarkan jawapan sedemikian. Saya juga meletakkan kesalahan ini diatas diri saya sendiri kerana tidak membuat sesuatu. Diri sendiri adalah punca kepada kerosakkan anak-anak kecil. Diri sendiri juga merupakan punca kerosakkan akhlak remaja. Diri sendiri juga merupakan punca kepada pertambahan kadar jenayah di negara kita ini.

Telah nampak kerosakkan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (30:41)


Masih lagi tidak setuju? Tidak mahu mengaku salah? Maka anda bukanlah umat Nabi Muhammad dan bukanlah pengikut Allah kerana anda telah menyangkal ayat Allah ini. Sebab segala kerosakkan yang berlaku adalah kerana diri kita sendiri. Kita nampak sesuatu kesalahan atau pun punca kepada kesalahaan yang bakal berlaku, tetapi kita mendiamkan diri. Kita tahu yang apa yang kita buat bakal mengundang kepada masalah, tetapi kita masih mahu melakukannya.

Dalam keadaan negara kita sekarang ini, adakah dakwah secara lembut, kajian atau pun program yang bercorak dakwah yang berupa 'nasyid-nasyid' ini masih lagi releven? Kita hendaklah berfikir secara bijaksana dan menangani segala apa yang berlaku ini dengan bijaksana juga. Sebagai contoh, seorang penjenayah yang bersenjatakan parang dan dalam keadaan terdesak mahu membunuh anda, adakah dengan merayu atau dengan menasihati dapat membuatkan penjenayah itu membatalkan niatnya untuk membunuh anda? Sudah pastinya tidak kerana penjenayah itu berada di dalam keadaan yang terdesak. Contoh yang lain, adakah dengan memakai pakaian yang seksi dan berjalan di tempat yang ramai akan membuatkan anda merasa selamat dan tidak akan dirogol? Sudah pastinya tidak, kerana penjenayah pasti akan mengikuti anda atau pun mereka yang tidak bersalah akan menjadi mangsa kerana sikap anda yang berpakaian seksi membuatkan gadis yang tidak bersalah menerima tempias anda. Ini kerana penjenayah ada di mana-mana sahaja dan sesiapa sahaja boleh menjadi penjenayah dalam sekelip mata. Penjenayah yang di sekeliling kita lebih merbahaya daripada penjenayah yang ada di dalam penjara.

Apa yang cuba saya sampaikan adalah, dalam keadaan kita sekarang, pendekatan dakwah 'nasyid-nasyid' ini sudah tidak lagi relevan. Kita hendaklah sentiasa menanamkan sifat ambil tahu kepada keadaan disekelilng kita. Sebab Islam itu sendiri adalah agama yang sering mengambil tahu keadaan umat. Bukannya syak wasangka dan perjudis!! Itu adalah pemikiran yang bodoh dan tidak matang. Tetapi sikap ambil tahu atau lebih tepat lagi jika saya katakan, sikap 'jaga tepi kain orang' itu perlu. Sentiasa perhatikan dan tegur apa saja yang kita rasakan tidak betul, tetapi hendaklah secara bijaksana atau dengan bukti dan bukannya membuta tuli. Jenayah yang berlaku di depan mata, hendaklah di tangani secara beramai-ramai kerana polis tidak boleh berada di semua tempat dalam satu masa. Bawa apa saja alat yang boleh memberikan kita perlindungan ketika berjalan. Janganlah memakai pakaian yang seksi bagi kaum perempuan. Sebab nanti bila kena rogol atau cabul, anda akan salahkan pihak lelaki. Tetapi jika saya yang menjadi hakim dalam kejadian rogol, saya akan sumbatkan kedua-duanya sekali di dalam penjara. Yang lelaki kerana merogol dan yang perempuan kerana memberi peluang lelaki itu mendekatinya dan merogolnya.

Kita tidak boleh mengharapkan kajian itu dan ini yang kononnya untuk memberikan kesedaran. Berikan saya satu contoh yang kukuh yang mana program kesedaran ini dihadiri secara sukarela dan ikhlas oleh rakyat Malaysia.....apa dia?? Sepatutnya program ini yang mencari rakyat, bukan rakyat yang mencari program. Pendakwah yang mencari orang untuk ditarbiyahkan dan bukannya orang yang mencari pendakwah. Jika berdakwah di dalam masjid saja sudah dikira memadai, anda silap!! anda salah!! Sebab penjenayah dan orang yang bermasalah tidak akan menjejakkan kaki ke masjid. Adakah patut kita membiarkan mereka terus hanyut? adakah kita seharusnya tidak mempedulikan mereka?? Jika jawapan anda 'Ya' anda sekali lagi salah!! Kerana ianya sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

Hai orang yang berkemul (berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan! dan Tuhanmu agungkanlah! (74: 1-3)

Jadi bangunlah wahai sahabatku, kerana anda semua sudah lama tidur dan sudah lama lena. Janganlah bersikap tidak ambil tahu dan tidak mahu tahu sedangkan anda semua tahu. Jadilah orang yang berakal dan bukannya orang yang bodoh. Allah sayangkan orang yang berakal dan berilmu. Marilah kita bersatu dan bersama membenteras kejadian jenayah yang semakin membimbangkan ini. Kerana....ALLAH ITU SATU, ISLAM ITU SATU DAN UMATNYA ITU SEPATUTNYA SATU. Janganlah dipecahkan fikiran anda dengan dakyah yang memecah belahkan umat. Utamakan keselamatan negara kita dahulu sebelum kita hendak menyibuk tentang negara luar. Jangan dipecahkan Islam itu dengan ideologi baru seperti mana yang dilakukan oleh orang terdahulu. Pengajaran sudah ada, tetapi mengapa masih berdegil? Siapakah yang salah sekarang?

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.