NuffNang

Nuffnang

Translate

Thursday, October 22, 2009

Persengketaan di kalangan teman.

Assalamualaikum semua.

Pada hari ini, tergerak hati saya untuk meluahkan tentang persengketaan diantara teman. Sebenarnya saya hendak meluaskan lagi skop penulisan saya ini, tapi saya kecilkan skop saya kerana situasi keadaan ditempat memerlukan saya berbuat demikian. Di mana-mana kita berada, sudah pastinya kita melihat situasi di mana teman karib tiba-tiba menjadi musuh dalam sekelip mata. Disebabkan kerana hal yang kecil, persengketaan merebak menjadi permusuhan yang tiada penghujungnya. Ada juga persengketaan yang tercetus kerana perasaan marah yang terpendam lama itu meletup. Ada juga yang tercetus kerana tanpa sebab yang munasabah. Sebenarnya tidak kira apa pun puncanya, persengketaan sesama teman tidak harus terjadi sama sekali. Persahabatan yang dijalin bertahun-tahun terputus begitu sahaja. Paling menyedihkan lagi ialah apabila ada sebelah pihak yang sanggup merendahkan diri untuk menjalinkan semula perhubungan itu disambut dengan dingin seolah-olah tiada ruang untuk berbaik dan bermaafan.

Perasaan ego dan sombong hanya akan mengundang padah kepada diri sendiri. Lebih buruk lagi jika persengketaan itu turut melibatkan orang disekeliling yang tidak tahu menahu perkara yang sebenar. Yang menyedihkan lagi, orang luar turut sama melibatkan diri di dalam sengketa tanpa usul periksa. Mereka berpakat untuk turut memusuhi orang-orang yang baik dengan musuh mereka. Apabila perkara ini berlarutan, akibatnya amatlah besar kerana ia boleh mengakibatkan permusuhan yang amat besar kelak. Sebab itulah Allah menyuruh kita memeriksa setiap berita yang kita terima itu dengan teliti. Seperti dalam firman Allah :-

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (49:6)

Jika ada diantara kita yang bersalah, hendaklah kita segera meminta maaf kepada orang tersebut. Janganlah kita berasa belagak dan malu sehinggakan kita tidak mahu meminta maaf dan memberi maaf. Sesuailah dengan firman Allah yang bermaksud :-

"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun." (2:263)

(Dikatakan kepada mereka): "Masuklah kamu ke pintu-pintu neraka Jahannam, sedang kamu kekal di dalamnya. Maka itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong ." (40:76)

Jika terjadi persengketaan seperti ini, ambillah orang tengah sebagai pendamai dan janganlah dibiarkan persengketaan itu berlarutan kerana permusuhan itu adalah sesuatu yang dibenci oleh Allah. Jika Allah sudah membenci, apa gunanya lagi kita hidup didunia ini? Dimana kita hendak pergi lagi? Kerana semua yang ada pada kita adalah milik Allah. Apabila Allah sudah membenci apa guna amal yang kita lakukan selama ini? Siapa kita hendak berlagak dan sombong kepada Allah dan segala makhluk ciptaanNya?

Sahabat pembaca sekalian, kita semua hidup dalam satu komuniti. Apa-apa yang berlaku antara kita dan orang disekeliling kita boleh kita selesaikan. Janganlah kerana satu hal yang kecil, habis persahabatan yang dibina dan hancur segala kenangan yang dikecapi. Jika tidak boleh hidup bermasyarakat, pergilah dari negara ini dan buatlah negara sendiri dan hiduplah seorang diri. Kadang-kala mulut juga boleh menjadi punca kepada persengketaan. Jadi kepada yang mempunyai mulut yang tidak boleh dikawal, belajarlah untuk mengawalnya. Ucapkanlah perkataan yang baik-baik kepada orang disekeliling kita dan jika tidak boleh juga, cubalah berpuasa kerana itulah cara yang sebaik-baiknya. Kadangkala apa yang kita ucapkan itu hanyalah gurauan semata-mata. Tapi gurauan itu mungkin terlalu kasar kepada sesetengah individu. Jika kita tidak mahu orang menyakiti hati kita, janganlah kita menyakiti hati orang lain dengan kata-kata yang pedas. Yang paling utama ialah, hormatilah orang yang lebih tua dari kita. Fikirlah dan muhasabahlah diri kita sendiri, siapakah kita yang sebenarnya.

Wassalam...

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.