NuffNang

Nuffnang

Translate


Sunday, April 17, 2011

Artikel Pilihan - Jalan Perubahan Tanpa Pilihan Raya (HTM)

SN Keluaran 14 April 2011


  alt

JALAN PERUBAHAN TANPA PILIHAN RAYA
 
[SN256] Pesta demokrasi yang sedang berlangsung secara besar-besaran di negeri Sarawak sekarang akan mencapai kemuncaknya pada 16 April nanti apabila hari mengundi untuk Pilihan Raya Negeri ke-10 tiba. Pilihan raya kali ini menjadi medan penting bagi kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang kerana kejayaan yang diperolehi bakal mencorakkan bukan sahaja kerajaan negeri itu sendiri malah kerajaan Persekutuan juga. Kemenangan di peringkat negeri tentunya akan menjadi penanda aras untuk kedua-dua pihak yang bertanding, dalam merebut kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-13 nanti dan seterusnya akan menentukan siapakah yang bakal memerintah Malaysia.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya kita melihat kedua-dua pihak bekerja keras siang dan malam di dalam pesta yang dicipta oleh Barat ini demi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, untuk ke sekian kalinya kita menyaksikan pelbagai pesta maksiat lainnya yang merupakan satu pakej yang tidak terpisah dengan proses demokrasi ini seperti fitnah-memfitnah, keji-mengeji, penipuan, ugutan, rasuah, penyelewengan, kemunafikan dan lain-lain yang berlaku hampir setiap saat dan dapat disaksikan oleh setiap orang yang mempunyai penglihatan. Bagi mereka yang ikhlas dan bertakwa, mual dan muak rasanya apabila membaca atau menonton berita-berita tentang perkembangan pilihan raya yang laporannya sangat menjengkelkan. Kita menyaksikan perpecahan sesama umat Islam secara terang-terangan di mana sifat ukhuwah (persaudaraan), sayang-menyayang, lemah-lembut dan hormat-menghormati sudah tidak wujud sama sekali dan diganti dengan sifat permusuhan dan benci-membenci. Masing-masing berusaha menjatuhkan satu sama lain demi merebut kekuasaan. Semuanya berlaku kerana sebuah proses yang diagung-agungkan yang dipanggil demokrasi dan pilihan raya!!! Sungguh, pesta demokrasi ini bukannya semakin mendekatkan kemenangan Islam, malah semakin menjauhkan pejuang demokrasi dan juga umat Islam dari Islam.

Bagi para penganut sekularisme, demokrasi sememangnya menjadi jalan utuh untuk mereka terus kekal berkuasa dan meraih segala habuan dunia dengannya. Namun sungguh aneh bagi para pejuang Islam yang mengambil jalan demokrasi ini, di mana, walaupun mereka tahu bahawa pilihan raya di dalam demokrasi ini penuh dengan penipuan dan maksiat dan yang paling penting, tidak pernah membawa kemenangan Islam, namun mereka tetap mencintai dan bergelumang dengannya. Mereka sungguh sayang dan tidak mahu melepaskan dakapan mereka terhadap demokrasi seolah-olah Allah SWT sudah tidak menyediakan jalan lain (yang syar’ie) untuk menegakkan Islam kecuali dengan demokrasi! Padahal dari segi fakta sekalipun, revolusi Tunisia dan Mesir baru-baru ini yang berjaya menumbangkan diktator Ben Ali dan Mubarak sesungguhnya menjadi bukti nyata bahawa perubahan pemerintahan boleh berlaku di luar demokrasi dan di luar parlimen! Selama ini, para pejuang dan pendukung demokrasi dari kalangan umat Islam kerap menyatakan bahawa perubahan tidak mungkin dapat dilakukan kecuali dengan terlibat di dalam sistem demokrasi, mengikuti pilihan raya dan duduk di Parlimen. Tidak sedikit dari kalangan pejuang demokrasi ini yang menuding jari kepada parti Islam yang berjuang “di luar demokrasi” sebagai gerakan yang ‘menyusahkan’ mereka, gerakan yang sia-sia, tidak praktikal, tidak berpijak di bumi nyata dan tidak akan berjaya. Namun, dengan tumbangnya rejim Zein al-Abidin Ben Ali (Tunisia) dan Husni Mubarak (Mesir) di hadapan mata mereka sendiri, apakah para pejuang demokrasi ini masih ingin mengatakan bahawa demokrasi dan pilihanraya adalah satu-satunya jalan yang terbaik, praktikal dan benar? Sesungguhnya perubahan rejim selain melalui demokrasi dan pilihanraya ini bukanlah suatu yang baru di mana hal yang sama pernah berlaku di Iran semasa tumbangnya Syah Reza Pahlevi, di Filipina dengan kejatuhan Marcos dan di Indonesia dengan tersungkurnya diktator Soeharto. Apakah umat Islam pejuang demokrasi ini tidak mahu menyedari akan ini semua?

Sedikit Pengajaran Dari Kebangkitan Negara Arab

Setelah revolusi di Tunisia dan Mesir berjaya menumbangkan diktator di negara tersebut, umat Islam di negara-negara Arab lain pun turut bangkit untuk menjatuhkan pemerintah masing-masing yang terkenal kejam dan pembunuh. Di Libya, peperangan masih berlangsung di antara tentera Qaddafi dan umat Islam yang diparahkan lagi dengan kemasukan tentera Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. NATO juga telah turut mengirim tentera atas nama menyelamatkan warga sivil, namun ternyata apa yang dilakukan oleh NATO ialah sebaliknya, yakni mereka turut melakukan serangan ke atas umat Islam yang memberontak terhadap Qaddafi. Kejatuhan diktator seperti Ben Ali dan Mubarak telah memberikan semangat yang besar kepada para peserta demonstrasi di negara lain sehingga mereka telah sanggup mengorbankan harta dan nyawa mereka untuk perubahan. Kita kini masih menyaksikan kebangkitan umat Islam di Yemen, Syria, Bahrain dan Algeria dengan menyuarakan aspirasi yang sama iaitu untuk menggantikan rejim opresif yang telah berpuluh tahun menyebabkan mereka menderita. Kesemua kebangkitan dan perubahan ini ternyata berlaku tanpa melalui pilihan raya!

Benar, pilihan raya boleh merubah sesebuah kerajaan, namun terbukti setakat ini bahawa hal ini amat sukar, di samping melibatkan banyak pelanggaran hukum syarak di dalamnya. Kerajaan yang sedang berkuasa tidak akan sanggup ‘menyerahkan’ kekuasaan mereka dengan begitu mudah melalui sebuah pilihan raya yang telus dan adil. Mereka akan melakukan apa sahaja tindakan keji demi memastikan mereka terus kekal berkuasa, bermula dari penipuan, rasuah, ugutan termasuklah sampai ke tahap pembunuhan, jika perlu. Inilah hakikat pilihan raya di seluruh dunia, apatah lagi di dunia Islam. Negara seperti Mesir, Tunisia, Algeria, Uzbekistan, Afghanistan, Pakistan dan banyak lagi, kesemuanya mengamalkan cara ‘pilihan raya demokratik’ untuk membentuk kerajaan. Namun lihat sahajalah apa yang berlaku di negara-negara ini setiap kali menjelang pilihan raya. Parti-parti kerajaan selalunya menang besar dan pembangkang boleh dikatakan langsung tidak mempunyai peluang untuk menang dan memerintah.

Sebagai contoh, kita telah menyaksikan pada awal tahun 90-an di Algeria bagaimana umat Islam cuba bangkit untuk menolak pemerintah melalui pilihan raya. Parti Front Islamic du Salut (FIS) telah pun berjaya memenangi pilihan raya peringkat pertama dan mereka menang dengan majoriti yang lebih besar pada kali yang kedua. Namun sayangnya kemenangan mereka telah ‘dijawab’ dengan darah dan peluru terhadap anggota-anggota FIS. Dengan dukungan dari Perancis, kerajaan yang sedia ada telah menggunakan tentera yang mereka miliki dan mengisytiharkan bahawa kemenangan FIS adalah tidak sah. Malah lebih buruk, pihak tentera telah melakukan pemburuan, penangkapan dan pembunuhan ke atas anggota-anggota FIS sehingga parti berasaskan Islam yang baru menang itu terus ‘hancur’ dalam sekelip mata sahaja.

Begitu jugalah apa yang berlaku ke atas Hamas di Palestin. Setelah Amerika dan Israel berjaya ‘menjinakkan’ Hamas agar masuk ke dalam pilihan raya, lalu Hamas terus terjerumus ke dalam perangkap kuffar itu dan terjun ke dalam jurang demokrasi. Namun, seluruh dunia mengetahui bahawa setelah Hamas diisytiharkan menang di dalam pilihan raya, kemenangan mereka tidak diiktiraf oleh AS dan Israel dan mereka terus diperangi. Hamas kemudian ‘disibukkan’ dengan perjuangan untuk mendapatkan pengiktirafan bahawa kemenangan mereka melalui proses pilihan raya yang demokratik itu adalah sah.

Senario yang hampir sama boleh dilihat di seluruh dunia umat Islam hatta di Malaysia sekalipun. Kemenangan Pakatan Rakyat di Perak sebagai contoh, melalui pilihan raya yang demokratik telah berakhir dengan amat tragis melalui sebuah proses ‘rampasan kuasa yang sah’ di bawah sistem demokrasi! Malangnya, para pencinta dan pendukung demokrasi dari kalangan gerakan Islam masih tetap setia dengan demokrasi dan pilihan raya dan sanggup di patuk ular dari lubang yang sama walau berpuluh-puluh kali sekalipun!!!

Keberkesanan Dan Kejayaan Perjuangan Di Luar Pilihan Raya Dan Di Luar Parlimen

Sesungguhnya kebangkitan umat Islam yang berlaku di negara Arab adalah sebuah kebangkitan yang baik. Mereka telah digerakkan oleh keinginan untuk berubah setelah sekian lama hidup di dalam penindasan di bawah rejim diktator. Ternyata, mereka sudah tidak percaya atau menunggu proses pilihan raya untuk menumbangkan kerajaan kerana mereka sedar bahawa pilihan raya bukan lagi jalan terbaik untuk mereka dan tidak pernah menjadi jalan terbaik pun! Pendapat umum (ra’yul am / public opinion) yang dibangun secara efektif ternyata mampu menggerakkan masyarakat menuju suatu perubahan. Cumanya, hal itu tidaklah boleh berdiri sendiri kecuali disertai oleh sokongan dari pihak tentera selaku ahlu al-quwwah (pemilik kekuatan). Di sinilah, di dalam perjuangannya, Hizbut Tahrir selalu menyatakan dan menekankan bahawa proses thalabun nusrah (mencari pertolongan) dari ahlu al-quwwah, selain menjadi thariqah (jalan) yang efektif, ia merupakan satu-satunya cara yang syar’ie di dalam meraih kekuasaan, setelah dalam masa yang sama masyarakat dibentuk dengan kesedaran umum (wa’yul am) tentang Islam dan Khilafah sebagai sistem pemerintahan yang sebenar. Dan semua ini dilakukan tanpa kekerasan dan tanpa mengangkat senjata, sesuai dengan thariqah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Peranan tentera sangat signifikan untuk merealisasikan sebuah perubahan. Keberhasilan perubahan di Tunisia dan Mesir tidak boleh dipisahkan dari keputusan pihak tentera yang berbalik arah dan tidak lagi mendukung rejim yang sedang berkuasa. Hal yang hampir sama sebenarnya terjadi di Indonesia pada detik-detik terakhir kejatuhan Soeharto pada tahun 1998. Tentu lain kesudahannya jika pihak tentera tetap mempertahankan rejim sedia ada, bahkan lebih buruk sekiranya tentera berada dalam keadaan memusuhi rakyat. Demikianlah yang terjadi di Algeria ketika kemenangan FIS. Kini, kita menyaksikan hal yang sama apabila tentera yang setia kepada diktator Libya (Qaddafi) tidak bersama rakyat. Sesungguhnya kunci kemenangan kepada revolusi damai di Tunisia dan Mesir adalah munculnya ra’yul am yang menggerakkan masyarakat dan disertai oleh dukungan dari ahlul quwwah (tentera). Ternyata, segala perubahan damai ini boleh berlaku dan telah berlaku, tanpa sebuah pilihan raya!

Namun sayangnya perubahan di Tunisa dan Mesir telah ‘dicemari’ dengan tangan-tangan kotor Barat dan hanya berlaku sebatas penggantian rejim, bukannya sistem. Padahal, yang menjadi persoalan di kedua-dua negara itu bukanlah sekadar masalah ‘siapa’ yang memerintah, tetapi ‘sistem’ apa yang digunakan untuk memerintah. Sistem kufur-sekular di Tunisia dan Mesirlah yang menjadi pangkal kepada segala kerosakan dan sistem ini masih lagi dipertahankan sekarang kerana yang berlaku hanyalah sebatas penggantian rejim, bukannya penggantian sistem. Sistem kufur-sekular inilah yang memberikan jalan kekuasaan bagi rejim diktator yang menjadi penjilat Barat atas nama demokrasi. Atas nama demokrasi jugalah, Barat masuk ke negara umat Islam dan meletakkan bonekanya untuk menjadi rejim berkuasa mengikut kehendak Barat. Atas nama demokrasi jugalah, Barat dan para penguasa umat Islam berusaha membendung gerakan-gerakan yang menyuarakan penegakan syariah Islam dan Khilafah.

Dari aspek lain, perubahan di Tunisia dan Mesir tidak terjadi sebagaimana yang diinginkan kerana tidak wujud kesatuan misi politik di kalangan umat Islam yang bangkit. Gerakan-gerakan mahupun orang-perorangan yang turut serta di dalam protes, walaupun mereka menginginkan perubahan, namun masing-masing mempunyai visi yang tersendiri. Seperti diketahui, revolusi rakyat (people power) di Mesir diusung oleh pelbagai elemen, ada aktivis Islam seperti Ikhwanul Muslimin, aktivis Hak Asasi Manusia, aktivis parti sekular, kaum buruh, pelajar dan sebagainya. Mungkin mereka sepakat dalam satu hal, yakni untuk menumbangkan Husni Mubarak, namun apa yang jelas adalah mereka tidak mempunyai visi bersama mengenai sistem pemerintahan ideal yang sepatutnya diterapkan.

Dari fenomena ini, ia seharusnya menjadi pengajaran kepada umat Islam bahawa sekarang dan selepas ini, suatu gerakan massa seharusnya dilaksanakan oleh umat Islam melalui satu visi yang sama, yang dikendalikan oleh satu kelompok yang benar dan ikhlas untuk membawa perubahan melalui thariqah (jalan) sebagaimana yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Dengan cara ini sahajalah, jika terjadi perubahan, maka perubahan itu akan terjadi tidak hanya sebatas kepada pertukaran rejim (individu penguasanya), namun juga perubahan di dalam sistem pemerintahannya yakni dari sistem pemerintahan kufur-sekular kepada sistem pemerintahan Islam di bawah naungan Khilafah.

Untuk itu, apa yang menjadi seruan Hizbut Tahrir di Tunisia dan Mesir kepada para peserta demonstrasi khususnya dan umat Islam amnya merupakan suatu hal yang amat penting untuk difahami. Seruan Hizbut Tahrir adalah agar perubahan dilakukan bukannya dengan hanya mengganti seorang ejen kepada ejen yang lain, bukan pula dengan mengganti sebuah perlembagaan sekular dengan perlembagaan sekular lainnya, tetapi ia hendaklah perubahan dari satu sistem (sistem kufur) kepada sistem yang lain (sistem Islam). Di Mesir, Hizbut Tahrir menyerukan bahawa perubahan yang sejati hanya akan terjadi ketika Mesir kembali menjadi ibukota umat Islam dengan tegaknya Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah, sebagai sebuah negara Islam yang merupakan satu-satunya negara untuk seluruh kaum Muslimin. Perubahan hakiki, dengan tegaknya pemerintahan Islam yang diwajibkan oleh Allah Azza Wa Jalla ini sahajalah yang akan menjamin keamanan dan kesejahteraan buat umat Islam dan yang akan membuatkan darah para pejuang yang gugur itu, tidak gugur dengan sia-sia!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sekiranya kalian benar-benar mahukan perubahan di dalam suasana pemerintahan ini, tanyalah diri kita sendiri dan tanyalah kepada saudara-saudara kalian yang lainnya, apakah ‘bentuk’ perubahan yang kita ingini? Adakah kita inginkan perubahan dengan hanya pertukaran seorang pemimpin lama kepada pemimpin yang baru? Atau adakah kita inginkan perubahan dengan pertukaran seorang pemimpin dari parti A kepada pemimpin dari parti B? Apakah kalian tidak melihat selama ini bahawa sudah berlaku dan berlalu berapa puluh kali perubahan kepimpinan melalui setiap pilihan raya yang diadakan, namun hakikatnya tidak pernah berlaku perubahan di dalam ‘sistem’! Sistem kufur-sekular masih tetap membelit umat Islam walaupun parti yang menang adalah dari parti Islam dan sistem Islam masih tetap tidak dapat diterapkan sehingga sekarang. Dengan sejarah dan perkembangan yang berlaku, baik di negara ini mahupun di seluruh dunia yang telah dan sedang kita saksikan, masihkah kalian menaruh harapan dan ingin mengatakan bahawa satu-satunya jalan perubahan yang terbaik adalah melalui pilihan raya di bawah sistem demokrasi? Sedarlah wahai mereka yang masih terlena dan terleka, bahawa sesungguhnya umat Islam tidak pernah dan tidak akan pernah menang, malah Islam tidak pernah dan tidak akan pernah dapat ditegakkan selama mana umat Islam itu masih tetap terbelenggu dengan sihir demokrasi.

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin”? [TMQ al-Mai'dah (5) : 50].

2 comments:

  1. Jalan Perubahan Tanpa Pilihanraya Demokrasi Sekular Warisan Penjajah Kafir Laknatullah Lord Reid ke Jalan Perubahan Khilafah Ala Minhaj An Nubuwwah.

    Ar Rayah World News
    http://ibnuyassir.blogspot.com/

    ReplyDelete

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.