NuffNang

Nuffnang

Translate

Tuesday, July 22, 2008

Kisah Kelahiran Nabi Yahya Dan Perjuangannya.

Assalamualaikum.

Kali ini saya hendak berkongsi dengan anda semua serba sedikit tentang kisah kelahiran Nabi Yahya dan perjuangannya kepada semua. Semoga kita mendapat iktibar dan mempelajari sesuatu dari kisah ini.

Nabi Yahya adalah anak kepada Nabi Zakaria. Sebelum kelahiran Nabi Yahya, Nabi Zakaria memang mengetahui bahawa kebanyakkan keluarga dan saudara maranya terdiri dari kalangan yang fasik dan mungkar. Walaupun berasal dari keturunan baik2 tetapi kerana keimanan dan semangat keagamaan yang lemah mendorong mereka melakukan maksiat. Nabi Zakaria sudah berumur kira2 90 tahun dan isterinya tidak boleh melahirkan anak. Tuhan belum mengurniakan anak kepadanya. Pada suatu malam yang hening, Nabi Zakaria duduk di mirhab berdoa dan bermunajat kepada Allah dengan suara yang lemah lembut meminta supaya dikurniakan seorang waris untuk mewarisi dirinya dan keluarga Nabi Yaakub. Allah telah memperkenan doa Nabi Zakaria, Allah makbulkan dianya lalu berfirman melalui malaikat Jibrail, "Wahai Zakaria! Sesungguhnya kami memberi khabar yang menggembirakan mu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu seorang pun yang senama dengannya." Oleh kerana memikirkan dirinya yang sudah tua dan isterinya yang mandul, beliau bertanya kepada Allah seperti yang tertulis di dalam Al-Quran, surah Maryam ayat 4-8 iaitu "Wahai Tuhanku, bagaimanakah caranya aku akan beroleh anak, sedangkan isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri telah sampai umur yang setuanya." Melalui Jibrail, Allah berfirman bahawa semua keraguan Nabi Zakaria itu sangat mudah bagi Tuhan, kerana Dia telah menciptakan Nabi Zakaria, padahal ketika itu beliau belum ada sama sekali.

Akhirnya isteri Nabi Zakaria mengandung dan apabila genap harinya, beliau pun melahirkan anak lelaki yang comel dan diberi nama Yahya seperti mana firman Allah. Nabi Zakaria telah mendidik dan memelihara anaknya Yahya dengan sebaik-baiknya. Setelah dewasa, Nabi Yahya menjadi seorang yang alim dan soleh. Beliau telah menghafal kitab Taurat sehingga menjadi tempat rujukan kalau ada masalah. Kealiman Nabi Yahya A.S. meliputi hingga hukum-hukum syariat Nabi Musa dan menjadi hakim untuk menghukum sesuatu perselisihan mengenai hukum-hukum agama bagi masyarakat bani Israil.

Pada zaman Nabi Yahya terdapat seorang raja bani Israil yang bernama Hirodus. Pusat pemerintahannya ialah di Palestin. Beliau mencintai anak tirinya yang bernama Hirodia. Ibu gadis itu tidak dipedulikan langsung! Dia merancang untuk berkahwin dengan anak tirinya itu. Menurut hukum syariat, perkahwinan antara bapa tiri dengan anak tiri memang dilarang sama sekali. Tetapi raja itu tetap dengan niatnya yang hendak berkahwin dengan anak tirinya itu. Berita ini sampai ke pengetahuan Nabi Zakaria dan Nabi Yahya dan raja itu pula meminta pula Nabi Zakaria dan Nabi Yahya menghalalkan pernikahannya itu. Nabi Yahya mengutuk perbuatan itu dan kemana saja dia pergi berdakwah, dia memberitahu rakyat bahawa rancangan raja itu adalah amat salah di sisi Tuhan dan tidak boleh diteruskan. Rancangan raja itu tergandala dan mengambil keputusan bahawa sesiapa yang menghalang pernikahannya akan dibunuh. Tetapi Nabi Yahya tetap bertegas tidak mahu menghalalkan perkahwinan itu. Lalu beliau ditangkap dan dipenjara. Di dalam penjara itu juga raja itu cuba memujuk Nabi Yahya supaya mengeluarkan fatwa bahawa ayah tiri boleh bernikah dengan anak tiri. Tetapi Nabi Yahya tetap dengan pendiriannya dengan mengikut perundangan Tuhan, bahawa kedua-dua mereka tidak dihalalkan bernikah. Raja tersebut tidak mengalah dan terus memujuk Nabi Yahya sehingga raja itu mengugut, kalau tidak dihalalkan pernikahannya itu, Nabi Yahya akan dipancung. Nabi Yahya berkata, beliau lebih rela mati daripada hidup dalam kemungkaran dan kemaksiatan. Kemudian raja itu memerintahkan pengawalnya menjalankan hukuman pancung itu. Dengan itu berakhirlah hidup Nabi Yahya. Selepas itu, raja tersebut mencari Nabi Zakaria pula dan mengugut akan turut membunuhnya jika permintaannya itu tidak dituruti. Nabi Zakaria tetap dengan pendiriannya iaitu tidak menghalalkan pernikahan bapa tiri dengan anak tiri.

Begitulah kisah para nabi kita yang begitu tegas menjalankan perintah Allah S.W.T. tanpa mengambil kira nyawa sendiri. Bagi mereka nyawa mereka itu tidak berharga tetapi yang lebih berharga ialah menjalankan perintah Allah S.W.T. Bagaimanakah ketegasan kita dalam menjalankan perintah Allah? Berapa ramaikah yang sanggup mencegah kemungkaran dan berapa ramaikah yang sanggup berdakwah demi mendapatkan keredhaan Allah? Ramai saudara mara kita, jiran-jiran kita, kawan-kawan semuslim kita yang sedang lemas dalam lautan dunia, tidaklah kekal kecantikan seseorang itu, tidaklah kekal permainan dunia ini, yang kekal hanyalah kehidupan akhirat. Cuba bayangkan dan fikirkanlah berapa ramaikah saudara mara semuslim kita yang sedang khayal dengan arak, khayal dengan kelab malam dan disco, yang khayal dengan kerja-kerja maksiat, yang khayal dengan berjudi dan sebagainya. Mereka seperti berbangga dan riak dengan apa yang mereka lakukan. Setiap kali setelah melakukan maksiat dan berzina, mereka menceritakannya kembali pada keesokan harinya dan berjanji akan mengulanginya lagi dan lebih teruk lagi mereka membawa kawan-kawan yang lebih ramai untuk berbuat maksiat dan zina.

Zaman sekarang ini, berpakaian seksi seolah-olah hampir tidak berpakaian sudah menjadi trend. Aurat tidak lagi dipedulikan sesama lelaki dan perempuan. Bila ditegur, mereka melenting dan marah kerana menggangu cara hidup mereka. Mereka lebih suka bergesel sesama mereka sehingga terjadinya zina. Lelaki pula yang sepatutnya menjadi pemimpin dan membimbing para wanita, menjadi perosak wanita. Maruah diri tidak lagi menjadi kepentingan seolah-olah maruah itu sesuatu yang sangat tidak berharga. Wanita pula yang sememangnya lemah, terus menjadi lalai dan leka dengan keseronokan dunia.Wanita dari asal kejadiannya memang telah diciptakan berlainan dan berbeza dengan lelaki, adanya kelainan atau perbezaan itu tentu ada maksud dan tujuannya yang tertentu. Lemahnya agama bagi golongan wanita tidak harus dijadikan alasan untuk memadamkan semangat dalam beribadah kerana pada saat seseorang perempuan itu haid atau nifas di mana mereka tidak dapat menjalankan ibadah solat dan puasa, mereka sebenarnya masih mampu menjalankan amal ibadah lain yang berpahala yang dapat mendekatkan diri pada Allah, kecuali sebaliknya iaitu jika mereka melibatkan diri dalam perbuatan yang mendatangkan dosa dan segala sesuatu yang dapat melalaikan bahkan menjauhkan diri daripada Allah. Manakala perempuan dikatakan kurang atau lemah akalnya kerana fikiran mereka mudah sekali terpengaruh, tertipu dan terpedaya kerana mereka dikurniakan dengan banyak nafsu dan lazimnya mereka tidak berfikir lebih panjang dan bersifat emosional. Oleh itu dalam hal pengadilan Islam lebih mengutamakan lelaki. Tetapi dalam hal yang lain, Islam sama sekali tidak menolak akan hakikat ketajaman pemikiran golongan wanita yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Hanya sesungguhnya yang membezakan antara makhluk Allah S.W.T, tidak lain hanyalah nilai ketaqwaan mereka. Jika dengan hukum Allah tidak sedikit pun mereka malu dan takut, apatah lagi dengan sesama manusia. Saya berani jamin, ramai diantara mereka ini tahu dosa dan pahala, tahu mana yang halal dan mana yang haram, tapi mereka tidak mengendahkan semua itu kerana menyangka mereka akan sempat bertaubat di hari tua nanti apabila mereka sudah tidak mempunyai tenaga untuk melakukan maksiat itu lagi. Apakah kita orang-orang Islam hendak disamakan dengan orang-orang kafir? Mengapa harus terjadi sebegini? cuba lihat sendiri tentang perjalanan mereka yang berdisko, adakah mereka itu tetap menjadi kaki disko setelah berkahwin, beranak pinak dan sehingga tua? sudah tentulah tidak. Tetapi manusia sekarang ini lebih suka memilih untuk memuaskan nafsu syaitan dan kemudian kembali sujud kepada Allah. Allah maha pengampun dan maha mengasihani hambaNya. Tetapi kita fikirlah balik, sempatkah kita bertaubat dihari tua nanti? Sempatkah kita sujud kepadaNya pada hari tua nanti? Apa akan terjadi jika suatu hari nanti jika kita semua tidak sempat bertaubat dan mati dalam keadaan yang kufur dan mengaibkan? Bertaubatlah sementara masih ada lima perkara dan sebelum hilangnya lima perkara ini iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati. Kenapa nak berhenti pelan-pelan? apa akan jadi kalau dalam kita hendak berhenti pelan-pelan tu, Allah tarik nyawa kita? kan lebih elok jika berhenti dan bertaubat terus. Inilah yang dikatakan dengan kerja bodoh. Apabila sudah tahu Islam itu cara hidup yang sempurna, dipilihnya dan dicari juga cara hidup yang lain daripada Islam. Islam ini adalah agama yang mudah bagi yang beriman. Dari Abu Musa r.a, dari nabi s.a.w katanya:”Allah Azza wa Jalla membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah siang hari, dan membentangkan tangan-Nya siang hari untuk menerima taubat orang yang bersalah malam hari sehingga matahari terbit di Barat.” Jadi segeralah kita bertaubat dan kembali kepangkal jalan selagi belum terlambat.


Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Sebolehnya sila tinggalkan nama anda, sekadar nama samaran pun dah cukup agar orang lain senang menyebut nama anda. Terlalu banyak anynomous (tanpa nama) menyukarkan perbincangan. Sila jaga tatasusila anda semasa memberikan komen. Pihak kami juga tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga kerosakan yang berlaku terhadap penggunaan maklumat di dalam blog ini.